Jumaat, 30 April 2010

Menyeluruhkah peyediaan kemudahan asas kita ?

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan laporan di muka 16 mengenai seorang warga emas di sebuah kampung di Hulu Tembeling dekat Jerantut, Pahang menanggung `seksa' selama lima jam semata-mata bagi mendapatkan rawatan moden ke atas penyakit yang dihidapinya.

Ini kerana di tempat tinggalnya , di Hulu Tembeling tidak ada kemudahan kesihatan seperti hospital atau klinik kesihatan. Dengan sebab itu demi mendapatkan rawatan beliau terpaksa `mengembara' begitu jauh dan terpaksa menghadapi pelbagai masalah dan cabaran, termasuk terpaksa mengharungi ombak dan jeram dalam perjalanannya ke sebuah hospital di Jerantut.

Saya mengurut dada ketika membaca laporan itu. Maklumlah negara kita telah mencapai kemerdekaan sudah melebihi 50 tahun. Rancangan pembangunan lima tahun sahaja pun sudah masuk yang ke sepuluh. Kita pula tidak henti-henti cakap atau canang pelbagai kemudahan dan kemajuan dibuat untuk rakyat di seluruh negara. Namun cerita seperti ini masih kedengaran lagi.

Di mana silapnya ? Apakah ini kerana sebahagian dari kita terlampau asyik memberi perhatian kepada benda besar-besar dan di kawasan besar-besar sehingga di kawasan terpencil benda macam ini terlepas pandang atau tidak dipedulikan !

Marilah kita sepakat merenungi nasib malang segolongan rakan senegara dengan kita - rakyat negara kita juga - yang masih dihantui dengan masalah perhubungan serta mendapatkan kemudahan asas prasarana sebagaimana kita  yang tinggal di tempat lain dapat.

Apakah mereka harus menunggu berlakunya pilihan raya kecil baru dapat merasai kemudahan asas seperti mana orang lain. Saya harap tidak perlulah sampai ke tahap itu. Pihak berwajib kenalah lihat-lihat sama kawasan-kawasan begini. Biarlah mereka boleh senang sebagaimana kita senang.

Kita ada berbagai institusi yang berkaitan dengan pengurusan pembangunan sosio ekonomi rakyat, baik di bandar atau di luar bandar. Kita ada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Penghulu, Pejabat Daerah, Wakil - Wakil Rakyat dan lain-lain lagi di seluruh negara.

Kepada merekalah tempat rakyat jelata bergantung harap bagi merangka serta menyediakan mereka kemudahan-kemudahan asas seperti dilakukan di tempat-tempat lain. Tentulah amanah itu tidak tercicir dek kerana kampung mereka terpencil . Jika tidak kepada institusi sedemikian diletakkan harapan, kepada siapa lagi ?

Oleh itu , kita amat berharap sepenuhnya agar cerita seperti ini tidak berlaku di pedalaman lain dalam negara kita dalam usia kemerdekaan negara semakin meningkat ini dan semoga tiada pertanyaan: meneyeluruhkah penyediaan kemudahan asas kita ?

Tiada ulasan: