Isnin, 26 April 2010

Peratus keluar mengundi tinggi, semua pihak wajar dihargai

Salleh Saad:

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor pada 25 April lalu, telah mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 76 peratus yakni 49,000 daripada 64,500 jumlah pengundi berdaftar . Angka itu dikira agak tinggi bagi suatu PRK. Ini kerana sebelum PRU ke-12 , 2008 angka sebanyak itu sukar diperolehi pada PRK.

Ia didorongi oleh banyak sebab. Antaranya , pada hemat saya ialah kerana sikap pengundi untuk mempertahankan habis-habisan imej parti masing-masing serta kerja keras jentera pilihan raya kedua-dua parti bertanding.

Tanpa `kerahan' bertubi-tubi oleh jentera parti terhadap penyokong mereka saya yakin peratusan keluar mengundi tidak mungkin boleh dicapai sebanyak itu sekalipun wujud faktor-faktor kondusif lain seperti cuaca dan sebagainya.

Selain dari jentera parti , saya percaya ada lagi `jentera' lain yang sama-sama bekerja keras bagi mempastikan para pengundi menunaikan hak mereka dalam sistem demokrasi di negara ini.

Untuk tujuan itu mereka sudah tentu memainkan peranan sebaik mungkin bagi mendorong pengundi agar keluar membuang undi sebanyak mungkin di samping mengurangkan kadar undi rosak.Ia mungkin melibatkan agensi komunikasi dan sebaran am bagi membantu SPR.

Mereka juga saya kira sudah tentu bekerja keras.

Faktor cuaca, pengangkutan, kawalan keselamatan bagi menjamin keselamatan pengundi adalah juga sebagai faktor penyumbang ke arah peratusan keluar mengudi melebihi 70 peratus.

Oleh itu, pihak berwajib yang mengendalikan pilihan raya dapat memahami hakikat ini dan jangan lupa menghargai sumbangan pihak-pihak yang disebutkan di atas , meski pun barangkali tidak diminta mereka.

Tiada ulasan: