Jumaat, 23 April 2010

Peratusan keluar mengundi, sekadar untuk catatan

Salleh Saad:

Sekadar untuk catatan. Trend peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK)sebelum dan sesudah Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 , tahun 2008 adalah ketara berbeza.

Sebelum PRU ke-12, secara umumnya pengundi dilihat lebih cenderung untuk tidak keluar membuang undi pada PRK , dengan alasan `kerajaan sudah ditubuhkan'.

Ini mungkin disebabkan pada masa itu kerajaan yang ditubuhkan kuat, dengan majoriti besar; baik yang dapat membentuk kerajaan di peringkat pusat mahupun di peringkat negeri.

Justeru, sebahagian pengundi merasa selesa dan berpuas hati dengan kedudukan kerusi yang diperolehi . Kalau keluar pun sekadar untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sahaja. Ia dirasakan tidak ada apa-apa signifikannya.

Oleh sebab itu peratusananya boleh dikatakan secara kesluruhannya mencatatkan tidak melebihi 70 peratus.

Namun, selepas PRU ke-12, trend ini berubah sama sekali. Malah dua PRK di negeri yang berbeza mencatatkan peratusan keluar mengundi melebihi 80 peratus. Ini terbukti pada PRK Manek Urai di Kelantan dan Bagan Pinang di Negeri Sembilan.

Perubahan itu, secara kasarnya boleh dirumuskan bahawa pihak kerajaan dan pihak pembangkang menang atau kalah tidak besar. 

Angka perbezaan tidak besar. Justeru masing-masing mesti berhempas pulas untuk mempertahankan kerusi yang sedia ada atau di pihak lain pula berusaha sedaya upaya bagi menambahkan seberapa banyak bilangan kerusi  .

Berbeza dengan sebelum ini, kini  yang pernah memerintah sudah menjadi pembangkang di beberapa negeri, manakala yang pernah menjadi pembangkang menjadi pemerintah pula di beberapa negeri. Pun begitu bukan banyak sangat beza kerusi yang diperolehinya.  Bak kata orang silap-silap langkah akan terbalik dan tenggelam. Bahkan  ini telah pun berlaku.

Sebagaimana kita sedia maklum, kedudukan kerusi parti-parti tertentu di Dewan Rakyat sekarang ini berada di dalam keadaan `tidak menentu'. Ini tentulah merisaukan sesetengah pihak. Jumlah keluar mengundi yang rendah akan memberi impak yang besar kepada parti. Oleh itu, langkah `mengerahkan' para penyokong mesti diperhebatkan oleh pihak-pihak yang bertanding.Atas faktor inilah agaknya tiba-tiba trend itu berubah dengan peratusan keluar mengundi  meningkat dengan mendadak.


Oleh itu jangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa jumlah keluar mengundi sebanyak 75 peratus pada  PRK Hulu Selangor itu , saya percaya boleh menjadi kenyataan. Apatah lagi ia pilihan raya untuk Parlimen.






Tiada ulasan: