Rabu, 14 April 2010

Pertimbangkan semula caj kenderaan di kawasan sesak

Salleh Saad :

Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat 2010 telah dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Mohamed Yakcop beberapa hari lepas untuk bacaan kali petama.

Dalam rang undang-undang tersebut , antara lainnya kerajaan akan mengenakan caj ke atas pemilik kenderaan yang berada di kawasan-kawasan tertentu yang akan diumumkan nanti bersekali dengan kada caj oleh menteri berkaitan setelah rang undang-undang itu diluluskan Parlimen.

Apa yang sangat menyentuh hati rakyat daripada rang undang-undang itu ialah hukuman yang bakal dikenakan ke atas rakyat yang didapati `gagal' membayar caj berkenaan iaitu denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Walaupun difahamkan menteri ada kuasa untuk mengecualikan caj atau kelas kenderaan tertentu tetapi rakyat merasakan itu tidak memadai dan bimbang akan wujudnya keadaan pilih kasih dalam menentukan siapa dan kenderaan yang bagaimana yang akan terlepas dari dikenakan caj.

Perlu diambil perhatian serta dicarikan jawapan apakah punca sebenar kesesakan di kawasan-kawasan tertentu dan waktu bila dan apakah ia berpunca dari masalah sikap rakyat atau penyediaan sistem pengangkutan awam?

Jawapan paling paling mudah dan lazim tentulah kerana kenderaan `berhimpun' serentak pada waktu tertentu seperti waktu puncak.

Kenapa jadi begitu ? Apakah masalah pengangkutan awam yang ada telah memenuhi keperluan pengguna ? Apakah sistemnya menarik minat pengguna ? Apakah pengangkutan awam hanya untuk rakyat biasa sahaja ?

Ini adalah beberapa persoalan yang perlu terlebih dahulu diambil peduli serta dicari jalan mengatasinya. Ia dilihat lebih baik daripada kerajaan membuat satu undang-undang mengenakan caj dan denda atau penjara kepada mereka (rakyat) yang didapati `gagal' membayar caj.

Undang-undang tersebut bila dilaksanakan nanti bukan sahaja dilihat membabitakn penghuni di ibu kota tetapi mereka di luar ibu kota yang ada urusan di ibu kota. Mereka termasuk yang datang dari negeri-negeri lain yang sesetengahnya jauh dari ibu kota. Tidak mustahil mereka juga akan terperangkap dengan keadaan kesesakan dan menjadi `mangsa' undang-undang berkenaan.

Kesihan kepada rakyat yang tinggal dan bekerja di ibu kota khasnya . Waktu puncak ialah waktu mereka sedang bergegas ke tempat kerja atau pulang ke tempat tinggal. Maknanya bukan waktu bersuka-suka (enjoy) atau makan angin.

Saya harap kerajaan akan pertimbangkan langkah tersebut (caj) untuk ditarik balik atau kurangkan kadar denda maksimum atau mencari jalan lain yang lebih wajar sebagai sumber perolehan negara. Lagi difahamkan pun urusan `kutipan' itu akan diserahkan kepada satu badan yang akan dilantik kerajaan.

Timbul juga persoalan mengapa perlu satu badan lain ? Mengapa tidak diserahkan kepada PBT berkaitan sahaja?

Tiada ulasan: