Jumaat, 23 April 2010

Saat pertemuan dengan bekas guru

Salleh Saad:


Kelamrin saya dan isteri bersama seorang anak perempuan pergi ke Alor Setar kerana ada urusan peribadi. Saya pun sudah tiga bulan lebih tidak ke Alor Setar. Memang pun sejak bersara saya memang jarang-jarang menjenguk bandar Alor Setar.

Kami bertolak dari Sungai Petani kira-kira pukul 10.00 pagi dan mengguna laluan lebuh raya kerana lebih cepat dan selesa. Kami sampai ke bandar Alor Setar sebelum pukul 12.00 tengah hari. Alhamdulillah.

Tempat pertama yang kami pilih ialah gerai nasi sotong di belakang bangunan Peruda, dekat Bulatan Teluk Wan Jah. Kami sekeluarga memang gemar makan nasi tomato lauk sotong lembik dan kuah campur ala nasi kandar itu. Bagi kami memang berselera dengannya.

Setelah selesai makan, saya bangun ke kaunter bayaran untuk membayar. Ketika itu saya dapati seorang warga emas (lebih tua dari saya) sedang memerhati saya. Lalu saya pun perhatikannya sama untuk mempastikan siapa beliau.

Lama-lama memerhati baru saya teringat beliau adalah bekas guru saya semasa di sekolah umum (rendah) tahun 1950-an dulu. Lantas saya segera menegurnya.

Kata saya, " Cik gu Nan ke ni ? Jawabnya," Ya." Saya merapatkan diri dengannya dan terus memeluknya.

Lepas itu kami berbual sektika berkaitan dengan hal-hal peribadi - maklumlah masing-masing sudah tua, sudah bersara, bercucu dan sebagainya.

Sebaik selesai beliau membuat pesanan dan mendapat tahu harganya saya minta izin  untuk membayarnya.  Sesudah diizinkan saya membayar bersekali dengan harga makanan saya sekeluarga.

Saya amat gembira dengan kesempatan itu yang mana saya dapat membelanja bekas guru saya makan. Sungguh pun ini bukan kali pertama buat saya, namun untuk beliau ini adalah kali pertama. Ia kerana saya amat jarang bertemu dengannya.

Sebagai seorang bekas murid, saya rasa itulah kesempatan yang wajar saya ambil sebagai mengenang jasa guru saya yang tidak terkira banyaknya itu.

Dan sekalipun nilai belanja saya tidak seberapa namun saya amat bersyukur dan amat berpuas hati.

Juga sekali pun beliau hanya mengajar saya dalam masa setahun sahaja tetapi perasaan hormat dan kasih kepada guru itu tetap serupa seperti mengajar beberapa tahun.

Ketika saya meminta izin untuk membelanjanya makan saya lihat matanya digenangi air. Saya faham, dan serentak itu saya rasa sebak. Kami masing-masing dilanda emosi.

Begitulah perasaan antara bekas seorang murid dan bekas seorang gurunya. Sesaat yang tidak boleh dilupakan.

Saya sedar tanpa guru mengajar dan mendidik saya, saya tidak mungkin berada dan menikmati nikmat kehidupan seperti sekarang. Dengan tidak menafikan ketetapan qada dan qadar Allah, kita tidak harus menafikan jasa dan budi kedua-dua ibu bapa dan guru-guru kita.

Dipendekkan cerita , setelah beredar dari tempat itu saya katakan kepada anak perempuan saya yang juga seorang guru dan mengajar di sebuah Kolej Matrikulasi, " Orang zaman dulu anggap guru macam ibu bapa . Orang sekarang bagaimana ?"

Akhir kata kunjungan saya ke Alor Setar kelmarin, selain dapat memenuhi urusan peribadi saya juga ditakdirkan berjumpa serta dapat membelanja guru saya makan. Satu saat yang cukup bermakna dalam usia semakin tua ini. Pesanan saya kepada pengunjung halaman ini, hormatilah guru walaupun sepatah perkataan yang diajarkan kepada kita, mudah-mudahan kita diberkati dan dirahmati Allah.

2 ulasan:

Temuk berkata...

Salam Sdr Salleh
Syukur alhamdulillah. Allah telah memberi peluang & ruang kepada sdr sehingga tanpa disangka dapat ketemu guru lama & membelanjanya makan. Tak semua orang mendapat peluang itu, termasuk saya! Insya Allah, budi baik sdr akan dibalas oleh Allah, dan insya Allah guru yg bergenang kelopak matanya itu akan mendoakan kesejahteraan sdr. Terima kasih di atas pesanan.

Pandangan Orang Kampung berkata...

Terima kasih, semoga kita sentiasa diberi hidayah dan taufik-Nya.