Rabu, 7 April 2010

Terima kasih kerana perkenalkan Akta Persaingan

SALLEH SAAD:


Daya usaha yang diambil oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenengahkan Akta Persaingan yang bertujuan untuk menyekat aktiviti monopoli barangan dan perkhidmatan oleh syarikat-syarikat besar wajar mendapat penghargaan rakyat selaku pengguna.

Akta tersebut akan dibentang di Parlimen hari ini bagi membolehkan ia dilaksanakan dan difahamkan ia akan dilaksanakan pada akhir tahun depan . Di samping itu juga dimaklumkan sebuah Suruhanjaya Persaingan akan diwujudkan sebagai pemantau.

Syabas di atas daya usaha tersebut ! Ia kerana selama ini pengguna seolah-olah tidak dilindungi langsung oleh akta yang berfungsi sebagai penyekat aktiviti monopoli barangan , khususnya barangan keperluan harian seperti gula, tepung, ikan , telor, ayam dan sebagainya.

Ini menyebabkan kedudukan harga dan juga barang-barang tersebut ditentukan sepenuhnya oleh pemilik syarikat tertentu.

Mereka boleh sewenang-wenangnya menetukan sama ada barangan tersebut mencukupi keperluan pasaran atau sebaliknya dan kedudukan harganya tanpa peduli langsung masalah pengguna, terutama pengguna kurang berada dan miskin.

Maka dengan adanya akta itu diharapkan fenomena seperti itu tidak akan berlaku lagi. Akta tersebut difahamkan bukan sahaja akan memberi kebaikan kepada pengguna tetapi juga kepada pengusaha-pengusaha kecil serta lain-lain pesaing.

Oleh itu, daya usaha serta langkah yang diambil oleh menteri berkenaan sangat wajar diterima baik dan dihargai rakyat selaku pengguna . Namun, apa pun jangan lupa keupayaan penguatkusaannya. Tanpa pemantauan serius serta penguatkuasaan apa juga akta diwujudkan tidak bermakna.

Tiada ulasan: