Khamis, 8 April 2010

Tidak perlu semua peringkat kakitangan awam aktif politik

Salleh Saad :

Isu mengenai keperluan membenarkan kakitangan awam bergerak cergas dalam politik sekali lagi dibangkitkan. Seorang ahli akademik membangkitkannya di suatu majlis perbicangan umum.

Berhubung dengan isu ini saya tertarik untuk berkongsi pandangan . Saya kira cadangan itu ada pro dan kontranya. Apa yang perlu dilihat ialah kebaikannya secara menyeleruh, termasuk impaknya kepada kerajaan dan rakyat bila dilaksanakan.

Bagaimana pun saya fikir perkara yang perlu dibahaskan ialah kumpulan dan kategori kakitangan awam itu sendiri, seperti kumpulan dan kategori mana yang perlu diberi kebenaran aktif dalam politik, yakni dengan memegang pelbagai jawatan politik.

Ini kerana maksud aktif dalam politik ialah bilamana seseorang memegang jawatan tertentu dalam politik baik di peringkat cawangan, bahagian, negeri ataupun pusat. Ia juga bermaksud boleh bergerak cergas dalam mana-mana parti yang diminati dan didukunginya.

Ini bererti seseorang kakitangan awam boleh aktif dalam mana-mana parti politik yang disukainya sama ada kerajaan atau pembangkang.

Manakala kerajaan pula tidak boleh melarang seseorang kakitangannya itu jika bergerak cergas dalam parti pembangkang sekalipun, sekiranya ia dibenarkan oleh Perintah Am, Pekeliling Perkhidmatan dan sebagainya .

Justeru , keadaan begini ini akan mencetuskan suasana tidak sihat di dalam urusan pentadbiran dan di kalangan kakitangan awam itu sendiri .

Cuba kita bayangkan apabila dalam sebuah jabatan kerajaan misalnya ada dua kumpulan ideologi politik yang berbeza dan jentera kerajaan membuat dua `tugas' dalam satu masa - tugas politik dan pentadbiran - sudah tentu macam-macam boleh terjadi dan perjalanan pentadbiran pula besar kemungkinan tidak lancar. Maka impaknya kepada kerajaan dan rakyat bukan kecil.

Apatah lagi apabila kakitangan awam yang aktif dalam politik itu terdiri daripada mereka yang diberi `kuasa' berkaitan dengan pelaksanaan dasar dan projek di peringkat negeri, daerah dan sebagainya.

Tidak dapat tidak keputusan pentadbiran akan dipengaruhi kedudukannya dalam politik, sekalipun ia hanya di peringkat cawangan; apatah lagi jika di peringkat lebih tinggi. Ini kerana di bawahnya ramai `pengikut' dari kalangan akar umbi yang mana hati mereka perlu dijaga demi kesinambungan politik.

Andai kata senario seperti ini berlaku di seluruh negara nescaya suasana akan menjadi hiruk pikuk dan hura hara , bukan lagi `kemantapan' dan `kemeriahan' sebagaimana diharapkan.

Melainkan mereka yang dibenarkan itu adalah kakitangan yang secara tersurat `kelayakan tarafnya' tidak terlibat dengan membuat keputusan dalam pelaksanaan dasar atau projek atau mendapat `kuasa' tertentu seperti di dalam kumpulan sokongan. Bagaimanapun , jika tidak silap saya untuk pegawai kumpulan ini peraturannya sudah ada.

Kesimpulannya, kakitangan awam kumpulan tertentu seperti kumpulan Pengurusan dan Profesional serta lebih tinggi, tidak wajar diberikan kebenaran aktif dalam politik dengan memegang apa-apa jawatan (politik) di semua peringkat .

Tiada ulasan: