Rabu, 7 April 2010

Yang mana satu menjadi pilihan :kaduk atau sirih ?

Salleh Saad :

Mari kita sama-sama renungi kejadian Allah Yang Maha Berkuasa. Kemudian kita lihat hikmahnya di dalam kehidupan manusia, khususnya dalam masyarakat Melayu. Kejadian yang dimaksudkan itu ialah mengenai tumbuhan.

Kedua-dua jenis tumbuhan tersebut hampir serupa saiz dan bentuknya tetapi berlainan sifat dan rasanya. Namanya sirih dan kaduk.

Sirih, kebanyakannya mempunyai saiz yang lebih besar berbanding kaduk. Rasanya pedas tetapi kaduk rasanya sedikit pahit .

Kaduk tumbuh meliar di muka bumi dan lebih sesuai di kawasan yang agak lembab. Manakala sirih tumbuh membiak di tempat yang ada `pelantar' atau junjung.

Bagi orang Melayu sirih dimakan bersama pinang yang `dikacip' dan dan dicampur dengan bahan lain seperti kapur dan gambir. Tetapi kaduk dimakan dengan nasi, dibuat ulam setelah direbus atau gulai bersama ikan kering atau daging salai.

Selain dimakan, masyarakat dan budaya Melayu meletak sirih pada kedudukan yang lebih baik iaitu dijadikan `kepala' item untuk acara meminang. Dikenali sebagai `sirih junjung' atau `tepak sirih'.

Kaduk tidak lebih dari dimakan. Namun kedua-duanya dijadikan simbol atau makna dalam peribasa atau bidalan Melayu. Contohnya `seperti sirih pulang ke gagang' dan bagi kaduk `seperti kaduk naik junjung'.

Kedua-dua perumpamaan itu membawa makna yang cukup besar . Kaduk yang memang sifatnya tidak pernah naik junjung ditamsilkan kepada mereka yang gila kuasa lantaran tidak pernah mendapat kuasa. Jadi, apabila beroleh kuasa ada-ada sahaja yang nak dibuatnya.

Sirih pulang gagang ditamsilkan kepada mereka yang memang selayaknya seseorang itu berada di kedudukannya . Begitulah apa yang saya dapat rasakan hikmah di sebalik dua jenis tumbuhan itu dan kaitannya dengan nilai budaya dan sosial Melayu terhadap kedua-duanya.

Secara simbolik kaitan kedua-dua jenis tumbuhan tersebut dengan budaya dan masyarakat Melayu ialah sirih mempunyai status yang lebih baik, manakala kaduk adalah sebaliknya.

Merujuk simbolik fungsi kedua-duanya di dalam masyarakat Melayu , maka yang mana satu yang kita nak pilih untuk dimanfaatkan dalam kehidupan kita, kaduk atau sirih ?

Saya percaya dengan akal dan iman yang ada pada kita , kita pasti tahu membuat pilihannya. Apa yang harus direnungi ialah setiap kejadian Allah itu ada hikmahnya - ada baik dan buruk. `Tepuk dada tanya selera'.

Tiada ulasan: