Sabtu, 29 Mei 2010

Dalam politik angka dan emosi sama penting

Memang tidak dinafikan kepentingan angka di dalam kehidupan manusia, namun pada masa sama emosi juga tidak boleh ketepikan begitu sahaja. malahan di dalam politik kedua-duanya saling berperanan antara satu sama lain.

Angka dan emosi menentukan kekuatan dan kelemahan sesebuah kerajaan. Malahan kedua-duanya menjadi angkubah kepada perhubungan antara rakyat dengan kerajaan.

Ini terbukti apabila emosi rakyat tidak `stabil' dengan sesebuah kerajaan emosi itu akan `menurunkan' sejumlah `angka' yang biasanya disebut sebagai kerusi sama ada di dewan rakyat atau dewan undangan negeri bagi negara-negara yang mengamalkan sistem pemerintahan sama.

Begitu juga sebaliknya jika emosi atau sentimen rakyat stabil dengan sesebuah kerajaan atau parti tertentu emosi itu akan mengubah kedudukan angka (kerusi) di dewan-dewan berkenaan menjadi stabil atau lebih stabil dan justeru kedudukan pengaruh sesebuah kerajaan itu menjadi lebih kukuh..

Sebaliknya jika berlaku ketidakstabilan emosi rakyat terhadap mana-mana kerajaan yang memerintah maka emosi itu akan mengecilkan angka (kerusi) menjadi lebih kecil atau terlalu kecil yang bukan sahaja membentuk `majoriti mudah' bahkan kadang kala menghilangkan langsung `kuasa' memerintah dan tergantilah dengan pihak lain.

Kedudukan angka yang dikecilkan oleh emosi rakyat itu akan mempengaruhi pula emosi kerajaan kerana bimbang dengan kedudukan kuasa pemerintahannya atau pengaruhnya berbanding dengan dengan pihak pembangkang yang mempunyai angka (kerusi) yang hampir sama akibat dari perubahan emosi rakyat.

Maka pelbagai usaha akan dicari dan dibuat bagi menstabilkan semula emosi rakyat agar dapat menukar angka pada pilihan raya berikutnya menjadi lebih besar berpihak kepada kerajaan. Ini juga akan memakan kos  . 

Oleh sebab itulah bagi sesetengah pihak yang menyintai atau menyayangi sesebuah kerajan itu akan merasa gusar apabila  melihat sesuatu tindakan yang terlalu menyandarkan kepada pembuktian angka dalam perencanaan sesuatu dasar baru dan sebagainya tanpa mengambil kira emosi rakyat sama.

Kegusaran itu timbul kerana bimbang akan kemungkinan tahap emosi negatif rakyat akan meningkat dan seterusnya mengubah angka (kerusi) yang sepatutnya diperoleh sesebuah kerajaan bagi mengekal kesinambuangan `hayatnya' menjadi terlalu kecil atau kemungkinan tiada langsung.
Namun ini mungkin dipandang remeh oleh sesetengah pihak yang terlalu mementingkan angka..


Jumaat, 28 Mei 2010

Tolong jangan hapuskan subsidi

Isu subsidi meletakkan kerajaan dan sebahagian besar rakyat berada dalam keadaan serba salah - ditelan emak diluah mati bapa.

Pada tahun 2009 kerajaan membelanjakan RM74 bilion kerana membayar subsidi. Oleh itu Makmal Rasionalisasi Subsidi mennganjurkan kerajaan supaya menghapuskan subsidi secara beransur-ansur ke atas beberapa bidang termasuk barang-barang kawalan seperti gula, tepung, minyak masak dan lain-lain. Subsidi tol juga dicadangkan ditarik balik.

Berhubung dengan apakah langkah kerajaan seterusnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melihat `feedback' dari rakyat dulu sebelum membuat sebarang keputusan sama ada akan diteruskan memberi subsidi atau akan memansuhkannya.

Kalau direnung-renungkan isu subsidi ini agak lain dari yang lain. Ini kerana jika kerajaan berikan seperti amalan selama ini ia akan memberi faedah kepada semua 28 juta rakyat  negara ini, bahkan orang asing juga yang tinggal di sini . Tetapi jika ia ditarik balik sebahagian rakyat pasti akan menanggung akibatnya iaitu golongan di bawah paras kemiskinan, termiskin dan sederhana.

Secara kebetulannya pula golongan-golongan tersebutlah yang merupakan golongan terbanyak yang menentukan kesinambungan `hayat' kuasa pemerintahan kerajaan pada setiap kali pilihan raya.

Di sinilah letaknya kedudukan yang menserbasalahkan kerajaan sama ada meneruskan subsidi atau memberhentikannya. Kedua-duanya ada risiko tersendiri.

Jika meneruskannya ia akan membawa risiko negara `kehabisan' wang. Tetapi jika dimansuhkanannya ia membawa risiko kerajaan akan `kehabisan' pengaruhnya. Malah jika tersilap langkah pembangkang akan meraih `sepakan percuma'. Justeru perkara ini tidak harus terlepas pandang dalam membuat keputusan.

Rakyat pun serbah salah juga. Bukan tidak bersimpati dengan kerajaan kerana sebab subsidi hutang negara meningkat . Tetapi jika subsidi dimansuhkan risiko yang akan ditanggung oleh sebahagian besar rakyat ialah kuasa beli rakyat akan susut , yang membawa makna yang miskin akan jadi kedana, yang sederhana akan jatuh miskin dan seterusnya.

Apa yang dibimbangkan selalunya kemiskinan membawa padah yang bukan sedikit. Ia mengakibatkan pelbagai tingkah laku yang di luar dugaan . Dari perspektif Islam "Kemiskinan boleh membawa kepada kekufuran (keingkaran) ". Ertinya dalam konteks ini jika kemiskinan menghantui rakyat, rakyat akan mudah menukar selera sokongan dari kerajaan yang didukunginya kepada orang lain.

Oleh itu, mengguna hujah ekonomi sahaja sebagai asas tindakan tidak mencukupi , jika tidak digunakan sama hujah politik . Ini kerana asas kepada ketepatan hujah ekonomi ialah angka dan fakta semata-mata, sedangkan ketepatan natijah hujah politik membabitkan sama emosi manusia selain kedua-duanya.

Maka sehubungan itu, saya fikir kerajaan tidak perlu hapuskan subsidi pada semua sektor tetapi hanya sekadar mengurangkannya dan mengekalkan pada sektor `kritikal' seperti minyak dan makanan atau apa-apa yang membawa kesan kenaikan harga barang keperluan harian kerana ia melibatkan "perut" rakyat. Tidak boleh biarkan perut kosong..

Khamis, 27 Mei 2010

MIC kena jaga hubungan baik dengan UMNO

Dalam Barisan Nasional (BN) UMNO dan MIC dan lain-lain parti yang bergabung adalah diibaratkan sebagai anggota bagi satu badan. Maknanya mereka saling perlu memerlukan dan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.

Namun kejadian terkini nampak sedikit berbeza. MIC menuduh UMNO campur tangan dalam krisis dalaman mereka, terutama sejauh yang berkaitan dengan usaha `menjatuhkan' Presiden, Datuk Seri S. Samy Vellu. Bahkan pengujudan GAS (Gerakan Anti Samy Vellu) UMNO didakwa `terlibat' sama.

Ekoran itu panaslah hati semua orang UMNO. Betapa tidaknya UMNO dan MIC bukan baru berkenalan serta berkawan. Tetapi sejak sebelum merdeka lagi. Dari induk Perikatan hinggalah ke BN sekarang ini. Dalam tempoh itu banyak perkara yang melibatkan tolak ansur, pengorbanan dan kerjasama demi kepentingan politik dan negara.

Oleh itu tak patutlah kalau MIC melenting cepat sangat dan membuat tuduhan terbuka kepada UMNO. Apalah salahnya jika dibuat menerusi saluran yang betul antara parti ke parti . Siapa pun tak tahu. Persada politik negara pun tak kecoh. Anggaplah UMNO itu sebagai abang dan MIC itu adik. Jadi buatlah cara adik beradik. Selesaikan secara baik segala yang terbuku di hati itu.

Nah ! Sekarang satu dunia sudah tahu tentang hubungan antara MIC dan UMNO . Jenuh pula nanti kepimpinan tertinggi BN berusaha mencari jalan `damai'. Maka sebelum sampai ke tahap itu eloklah rasanya MIC mohon maaf sahaja dengan UMNO dan sebagai `abang' dipercayai UMNO akan memaafkannya. 
Matangkan tindakan mengikut usia parti, bukan usia ahli dan ahli yang muda belajarlah mencari kematangan dari mereka yang lebih lama.

Sabtu, 22 Mei 2010

Idea melesenkan profesion perguruan perlu berhati-hati

Lazimnya di Malaysia aktiviti yang dilesenkan kerajaan akan memperoleh sejumlah hasil mengikut ketentuan yang dibuat. Untuk tujuan itu kerajaan mungkin akan melesenkan seberapa banyak aktiviti atau apa jua yang boleh membawa hasil kepada negara. 

Baru-baru ini misalnya kerajaan, melalui timbalan menteri sebuah kementerian, mengumumkan akan mengeluarkan lesen judi bola sepak piala dunia, dengan alasan untuk `mengawal' atau menyekat perjudian haram .  Ekorannya berbagai pihak telah menyuarakan pendapat yang kebanyakannya tidak setuju, atas alasan ia `menghalalkan' judi, sedangkan judi itu haram di sisi agama Islam yang menjadi agama rasmi negara. 

Terbaru, menerusi seorang timbalan menteri sebuah kementerian juga, kerajaan mengumumkan akan mengkaji kebarangkalian mengenakan lesen kepada setiap orang guru untuk membolehkan mereka mengajar di sekolah. Rasional yang diberikan kerajaan di sebalik idea  itu adalah untuk menjaga integriti perguruan dari dicemarkan. Ini berikutan laporan media mengenai insiden seorang guru lelaki di Sarawak  mencabul lima orang murid perempuan di bawah umur .

Kenyataan ini amat mengelirukan. Ia kerana antara lainnya, guru adalah digolongkan sebagai kakitangan kerajaan. Ini bermakna guru, seperti kakitangan lain, tertakluk di bawah Perintah Am dan lain-lain `perintah' yang dibuat kerajan dari semasa ke semasa. Tindakan tatatertib boleh diambil mengikut tahap-tahap tertentu yang dibenarkan, malah sehingga boleh dipecat dan sebagainya kepada mereka yang menlanggarinya. Saya percaya peraturan sedia ada sudah mencukupi untuk mengawal intergiti kakitangan kerajaan. 

Bahkan kerajaan juga mempunyai pelbagai agensi, jabatan, institusi untuk memberikan kefahaman, dan menambahbaikkan integriti kakitangannya . Mengapa tidak dimanfaatkan saluran berkenaan.

Jika dengan sebab seorang guru sahaja yang didapati mencemar integriti guru  maka semua yang lain `dihukum' dengan dimestikan mengambil lesen adalah sesuatu yang tidak wajar.

Pelbagai soalan akan timbul sekiranya peraturan itu dikenakan seperti apakah sijil dan diploma yang mereka perolehi menerusi selama beberapa tahun di isntitusi pendidikan guru itu `tidak laku' dan sebagainya.

Semua ini akan memberi kesan kepada pengaruh dan imej kerajaan. Rakyat akan melihat perkara ini dengan lebih jauh maknanya. Apakah dengan mensyaratkan pengambilan lesen itu kerajaan berharap dapat mengukukuhkan integriti perguruan atau kerajaan hendak mengwangkan bidang perguruan ? Bayangkan sekiranya 390,000 orang guru itu dikena caj RM100 untuk satu lesen yang dikeluarkan, berapa jumlah wang yang akan diperoleh kerajaan sebagai hasil. Bagaimanapun terpulang kepada kerajaan sama ada mengenakan caj atau tidak.

Walau macam mana sekali pun , saya bimbang idea-idea seperti ini akan `melumpuhkan' usaha yang dibuat  oleh Perdana Menteri untuk memulih serta meningkatkan imej dan pengaruh BN di kalangan rakyat dan dibimbangi juga idea seperti ini akan menimbulkan lagi kemarahan rakyat kepada kerajaan (BN) dan akhirnya rakyat sekali lagi `menghukumkannya' dalam kertas undi pada pilihan raya umum akan datang..

Jumaat, 21 Mei 2010

Wajarkah DUN Kedah dibubarkan ?

Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Azizan Abdul Razak menafikan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan, kerana menurutnya pemerintahannya masih stabil. Cuma beliau berkata, khabar-khabar angin itu mungkin dicetuskan oleh "tangan-tangan tersembunyi"..

Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shafie Afdal yang juga Naib Presiden UMNO pula meminta MB Kedah `jangan kaitkan BN dengan maksud "tangan-tangan tersembunyi" itu.
Tidak kiralah sama ada wujudnya "tangan tersembunyi" atau tidak ataupun siapa yang menjadi `dalang' atau tiada langsung "dalang". Tetapi jika DUN dibubarkan pasti akan berlaku pilihan raya kecil (negeri) , bukan kawasan.

Ini suatu perkara berat. Siapa akan menang dan siapa kalah belum tahu lagi. Namun yang pasti sekurang-kurangnya wang, masa, tenaga pihak yang terlibat secara langsung akan digunakan sehabis-habisan. Ini tak dikira lain-lain perkara lagi.

Tuduh menuduh, cerca mencerca dan sebagainya akan timbul lagi antara pihak yang bertanding. Biasalah demi mencari kemenangan. Pelbagai tawar menawar , berjanji janjian itu dan ini akan menjadi perkara biasa di dalam masa berkempen . Kadang-kadang benda yang tidak begitu wajar pun mungkin menjadi wajar dan sebagainya .

Akhirnya pihak yang pandai dan licik bermain politik akan mendapat faedah yang banyak. Kata orang Kedah , "Bila mana lesung dan alu bertemu ayam dogiang yang kenyang.".

Jadi , elak dulu dari cari sebab bubar DUN. Tunggu  sehingga pilihan raya umum tiba. Insya Allah semakin hari semkian dekat. Pasti. Tapi masing-masing kenalah sabar banyak banyak . Tak kan lari gunung dikejar, hilang kabus nampaklah ia..

Khamis, 20 Mei 2010

SPR marah DAP ?

Wauu! SPR betul-betul tersinggung dengan tindak tanduk DAP di Sibu baru-baru ini.

Betapa tidaknya , mengikut laporan akhbar Utusan Malaysia di muka surat 6 di bawah tajuk DAP biadap di Sibu - SPR, DAP dilihat sebagai "kurang ajar" dan "biadap" oleh SPR apabila pemimpin dan penyokong parti itu "menceroboh kawasan larangan" SPR dan membuat "sidang akhbar" dan  "boo" kepada petugas SPR.

Bagi SPR `perilaku seumpama itu tidak pernah berlaku dalam siri pilihan raya di negara ini'. Bagi orang ramai pula, pun sama ( tidak pernah lagi sebelum ini mendengar cerita seperti ini dilakukan oleh mana-mana parti politik di negara ini ) dan juga tidak pernah lagi dengar ungkapan SPR sedemikian rupa. Maknanya SPR benar-benar tersinggung

Dalam pada itu SPR memuji para pemimpin BN menerusi ungkapan , " Apabila calon BN menang di Bagan Pinang dan Hulu Selangor sebelum ini, para pemimpinnya duduk dengan tertib dalam dewan sementara menanti pengumuman tetapi DAP ini seoalah-olah mahu menguasai dewan.".

"Tidak seperti Barisan Nasional, apbila kami berdepan dengan DAP mereka seoalah-olah penuh dengan sikap prasangka dan tidak menghormati undang-undang ".


Ungkapan ini memberi gambaran jelas tentang perbezaan sikap dan tingkah laku antara pemimpin dan penyokong BN dengan pemimpin dan penyokong DAP.

Seterusnya SPR dilaporkan berkata, " Kami, petugas-petugas SPR bekerja sehari suntuk, janganlah bersikap kurang ajar dan seolah-olah hendak menunjuk ajar kami"

Demikianlah secebis `kisah dan tauladan '  yang disampaikan oleh SPR sebuah badan bebas pengendali pilihan raya yang berpengalaman di negara ini. Terpulang kepada diri kita masing-masing untuk menterjemahkannya ke dalam kertas undi mana-mana pilihan raya akan datang.

Selasa, 18 Mei 2010

Harapan kepada BN janji biar berbaloi

Dalam pilihan raya kecil Sibu baru-baru ini BN dikalahkan oleh DAP sebanyak 398 undi . Angka itu tidaklah sebesar mana tetapi dalam pertandingan, apatah lagi dalam pilihan raya ia amat bermakna dan tetap kalah . Bagi BN saya kira kekalahan itu memberi kesan besar kepadanya kerana sebelum itu BN sebagai penyandangnya, sama seperti PKR di Hulu Selangor.


Seperti lazimnya setiap kali pilihan raya kecil BN akan membuat macam-macam janji dengan pengundi, bukan sahaja di Sibu tetapi di mana-mana juga kawasan, termasuk sebelum itu di Hulu Selangor. Memberi banyak projek atau peruntukan besar kepada rakyat bukan tidak baik tetapi kena tengok juga caranya.


Kadang-kadang projek atau peruntukan diambilnya tetapi undi belum tentu lagi kerana undi itu hak peribadi dalam sistem demokrasi yang diamalkan dan lagi pun ia  "rahsia" . Jadi, berjanji semasa kempen pilihan raya, khususnya pilihan raya kecil kalau boleh jangan jadikan amalan tetap dan jangan keterlaluan .


Bukan apa , kadang-kadang terlampau banyak sangat janji pun pengundi naik `meluat' . Jika ini berlaku janji itu akan makan diri sendiri. Oleh demikian, saya nak cadangkan di sini agar kerajaan harus berhati-hati dengan janji dalam kempen pilihan raya. Buat yang patut padan sudah memadai atau sediakan projek-projek yang terdesak serta mustahak seperti memberi kemudahan kemudahan asas dan sebagainya.

Sepatutnya banyak pengajaran dan tauladan boleh diambil untuk dijadikan yang terbaik sebagai landasan perancangan dan tindakan dan yang sebaliknya sebagai sempadan selepas PRU 2008. Janji biar berbaloi.

Bagaimana pun kita ucapkan tahniah kepada kerajaan kerana akan tetap menunaikan janji-janjinya yang diumumkan semasa kempen pilihan raya kecil itu.

Ahad, 16 Mei 2010

Buruknya berpura-pura

Pada Isnin minggu lalu saya ke daerah Sik kerana menziarahi seorang sahabat yang juga ada hubungan
kekeluargaan.Ketika dalam perjalanan pulang saya singgah di pekan Jeniang, kira-kira 19 kilometer dari pekan Sik.


Hari Isnin adalah hari nat (pasar sehari) di pekan Jeniang. Jadi banyaklah `benda' yang boleh dibeli dan di bawa pulang, terutama buah-buahan.Semasa sedang berjalan mencari benda itu tiba-tiba nama saya dipanggil oleh seseorang. Rupa-rupanya panggilan itu dari seorang sahabat lama saya yang saya kenalinya pada tahun 1960-an ketika sama-sama tinggal di Alor Setar. Dia adalah peniaga buah durian di Pekan nat itu.


Saya pun terus ke arahnya. Setelah beberapa ketika berbual saya diperkenalkan dengan seseorang yang dipanggil `ustaz'. Banyak perkara yang disembangkan antara kami. Antara yang saya nampak menarik dan ingin diketengahkan ialah kata-kata `ustaz' tersebut yang berbunyi, " Hidup kita jangan jadi seperti gunung, dari jauh nampak cantik tetapi bila dekat nampak berserabut".


Apabila ditanya maksudnya, dia berkata," Itulah gambaran hidup berpura-pura ". Saya diam sahaja mendengar hujahnya itu. Tidak lama kemudian saya pun mohon diri untuk beredar dan pulang. Ketika sedang memandu saya terfikir ada juga kebenarannya kata-kata `ustaz' itu. Jika begitu, bisik hati kecil saya, mengapa ramai orang suka berpura-pura ?

Selasa, 11 Mei 2010

Tidak perlu mansuh imuniti

Datuk Ibrahim Ali, wakil rakyat (Bebas) Parlimen Pasir Mas, Kelantan mencadangkan di satu sidang media di Kuala Lumpur agar imuniti wakil-wakil rakyat yang berucap di Dewan Rakyat dihapuskan supaya mereka boleh disaman dan dibawa ke mahkamah jika terdapat ucapan `fitnah terhadap orang lain'.

Saya rasa tidak perlu , biarkan peraturan itu kekal sebagaimana ia sekarang. Cumanya wakil-wakil rakyat sendiri perlu mengawal emosi masing-masing ketika berbahas agar tidak `terlajak' cakap..

Apabila seseorang wakil rakyat berbahas di Dewan Rakyat hendaklah meletakkan dirinya sebagai wakil kepada rakyat, bukan wakil kepada parti yang dianutinya atau atas sifat peribadi.

Dengan itu sentimen yang keterlaluan kepada parti masing-masing akan terhapus dan perasaan tanggungjawab untuk membela rakyat menjadi gantinya . Ini baru betul sebab rakyatlah yang meletakkan mereka di tempat itu.

Sekiranya itu dapat dialkukan saya kira pada waktu itu tidak lagi timbul ucapan yang berunsur fitnah memfitnah atau apa jua perkataan yang tidak patut atau tidak sesuai diucapkan akan terucap kerana `rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan .

Bukankah ini landasan sebenar yang perlu dipatuhi ?.Manakal imuniti itu  hanya sebagai `alat' sahaja bagi memudahkan dan melancarkan proses lontaran idea dan pandangan agar ia berjalan dengan bebas dan berkesan.

Ingatlah ibu itu wanita.....wanita itu ibu

Masih tidak terlambat untuk meraikan Hari Ibu yang jatuh pada 9 Mei lalu. Selamat meraikan Hari Ibu kepada semua. Tiada siapa yang lahir ke dunia ini tanpa ibu, kecuali Adam & Hawa.

Ibu itu siapa ? 
Ibu itu adalah wanita.

Demikian sunnah Allah .
Semua manusia , lelaki atau perempuan atau lain-lain diwujud serta disimpan di dalam perut wanita selama lebih sembilan bulan sebelum dilahirkan ke dunia.

Dan secara normal semua manusia (termasuk binatang) dilahirkan melalui alat sulit wanita.
Ini adalah sunnatullah.
Tidak siapapun boleh pertikaikannya.
Allah maha tahu apa yang Dia buat.

Kenapa demikian rupa ? Wallahu a'lam. Hanya Allah sahaja yang maha tahu.

Tetapi kita boleh berfikir tentang kejadian Allah. Allah juga menghendaki kita berbuat demikian tentang  ciptaan-Nya.

Semoga dengan cara itu kita akan sentiasa bermuhasabah tentang diri kita , tentang siapa kita, dan sekali gus  berusaha untuk kurangkan rasa ego yang ada pada diri kita.

Mari kita renung seketika .
Sekarang ini semakin ramai wanita dizalimi dan dikejami oleh lelaki.
Mereka menjadi mangsa kepada peragut, penyamun, perogol, pembunuh, penyiksa dan lain-lain.

Cuba kita perasankan sedikit diri kita dari siapa ?
Siapa kandungkan kita, siapa lahirkan kita, siapa menyusukan kita, siapa yang tidurkan kita semasa kita masih bayi , masih kecil-kecilan,
siapa jaga kita sampai bersekang mata;
siapa dan siapa ?

Mengapa apabila kita besar kita lupa mereka.
Kita lupa diri kita dari mana.

Kasihlah ibu, sayangi ibu...jagalah mereka, belailah mereka...
Ingatlah ibu itu wanita...wanita itu ibu..

Ahad, 9 Mei 2010

Memahamkan dasar kerajaan menerusi perjumpaan bulanan

Cuepacs mendakwa ada dalang atau pihak-pihak tertentu menghasut kakitangan awam supaya membenci kerajaan dan menolak beberapa dasar kerajaan yang diketengahkan pada era Datuk Seri Najib Tun Razak seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan Model Ekonomi Baru (MEB).

Di sini dilihat ada dua isu yang jelas iaitu isu membenci kerajaan dan isu menolak dasar kerajaan. Ia boleh berlaku sama ada disebabkan oleh masalah ideologi politik yang berbeza atau masalah tidak memahami secara mendalam akan dasar-dasar kerajaan.

Faktor perbezaan ideologi saya rasa agak sukar untuk diatasinya . Tetapi jika berlaku kedua-duanya kerana tidak faham, maka itu adalah lebih mudah. Hanya dengan memberi penjelasan sahaja kepada mereka itu masalah dapat diselesaikan

Berhubung dengan usaha Cuepacs `menjelajah' ke seluruh negara untuk memperjelaskan isu-isu tersebut kepada ahli-ahlinya amat dialu-alukan tetapi mampukah Cuepacs melakukannya kerana jumlah ahlinya melebihi satu juta orang.

Saya fikir ada cara lain lagi jika Cuepacs benar-benar berhasrat supaya ahlinya tidak `terpedaya' dengan kegiatan manipulasi isu-isu tersebut iaitu dengan cara edaran surat pekeliling atau arahan kepada semua ketua jabatan di semua peringkat agar mereka bertanggung jawab memberikan taklimat kepada `anak buah' mereka pada setiap ` Perjumpaan Bulanan".

Bagi maksud melaksanakan kaedah kedua  itu saya rasa Cuepacs  lebih maklum iaitu dengan meminta kerja sama Ketua Setiausaha Negara (KSN) atau Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan  Awam (JPA) agar keluarkan arahan . Saya rasa cara itu lebih berkesan lagi.

Sabtu, 8 Mei 2010

Implikasi pemberian lesen judi kejohanan bola sepak

Menjelang kejohanan bola sepak antarabangsa Jun ini kerajaan melalui seorang Timbalan Menteri yang beragama Islam mengumumkan akan mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen pertaruhan (judi) dengan alasan untuk mengelak pertaruhan atau judi haram.

Pengumuman itu amat memeranjatkan masyarakat Islam di negara ini. Ia bukan bermakna perjudian berlesen itu satu perkara asing bagi masyarakat Islam di negara ini tetapi disebabkan ia diumumkan oleh seseorang yang beragama Islam yang berwibawa dan mewakili parti orang Islam.

Niat kerajaan di sebalik itu memang baik iaitu untuk mencegah kegiatan perjudian yang tidak dibenarkan undang-undang negara (tanpa lesen) tetapi dalam usaha untuk mencegah yang diharamkan perundangan negara itu terjebak dengan yang diharamkan agama Islam yang juga dimaktubkan sebagai agama Persekutuan di dalam Perlembagaan.

Ia seolah-olah memandang ringan syariat agama yang bukan sahaja sebagai agama rasmi negara tetapi agama yang dianuti sekian lama oleh orang Melayu yang juga menjadi pendukung kuat parti terbesar kerajaan.

Jadi, sebaiknya, jangan umumkan . Isu seperti ini amat sensitif kepada masyarakat Melayu . Perasaan mereka kena juga dijaga walaupun di luar lingkaran masa kempen pilihan raya.

Andai kata cadangan itu menjadi kenyataan beberapa kesan negatif dijangka akan timbul terhadap kerajaan dan parti kerajaan yang mewakili orang Islam. Ini kerana kedudukan perjudian sebagai perkara terlarang dalam agama Islam terlalu asas serta jelas bagi masyarakat Islam di negara ini. Semua lapisan masyarakat Islam tahu mengenainya.

Kerajaan pun mungkin sedar tindak balas yang mungkin akan timbul dari masyarakat Islam negara ini ekoran dari pengumuman itu, apatah lagi jika dilaksanakan. Mereka akan marahkan kerajaan dan bencikan parti UMNO  yang menjadi tulang belakang . Pada hal sehingga ke saat ini UMNO sangat perlukan sokongan padu orang Melayu/Islam setelah merosot menjelang dan selepas PRU 2008..

Oleh itu, cadangan itu tidak sesuai . dan tidak sejajar dengan prinsip perjuangan UMNO sendiri sebagai parti yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Maka itu kerajaan patut tarik balik cadangan itu dan cari mekanisme lain bagi menghadapi kemungkinan wujud perjudian haram . Lagi pun rasanya sama ada diberikan lesen atau sebaliknya perjudian haram tetap akan berlaku juga. Cuma pertingkatkan langkah  pemantuan sahaja.

.

Khamis, 6 Mei 2010

Baik buruk tenaga profesional mengalir keluar

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengumumkan beberapa hari lalu besar kemungkinan 100 orang lulusan kedoktoran universiti itu akan bekerja di Singapura. Tahun ini sahaja dikatakan sudah 20 orang memilih bekerja di negara tersebut dan dijangka akan menyusul 80 orang lagi.

Kita boleh berbangga dengan pemergian mereka itu dan kita juga boleh bersedih dengan keadaan itu. Kita berbangga kerana universiti yang diasaskan pada tahun 1970 itu dan dijadikan universiti pertama di negara menggunakan bahasa penghantar bahasa Melayu.

Signifikan dari pemergian itu ialah pengiktirafan di peringkat antarabangsa akan kedudukan serta keupayaan lulusan universiti itu yang pernah satu ketika dulu dilebalkan sebagai universiti `kampung' oleh pihak tertentu tetapi kini ia membuktikan tanggapan negatif itu tidak benar sama sekali.

Inilah antara faktor yang membolehkan kita untuk berasa bangga dengan situasi itu. Pada sudut lain pula pemergian itu membuatkan kita rasa sedih kerana pemergian itu boleh mendatangkan kesan kepada keperluan tenaga profesional negara sendiri yang masih belum sepenuhnya terisi.

Apakah pemergian itu kerana terdapat faktor dorongan kewangan seperti bayaran gaji yang lebih lumayan  atau layanan perkhidmatan yang lebih baik berbanding dengan apa yang ada di negara ini ?

Maka itu langkah-langkah tertentu perlu dibuat bagi memastikan supaya aliran keluar tenaga profesional dan tenaga pakar negara khususnya doktor tidak menjadi parah pada satu ketika nanti .

Jika ramai tenaga profesional dan pakar keluar mencari rezeki di negara lain nanti ramai rakyat jelata di negara ini akan menghadapi kesulitan dan negara akan mengalami berbagai kerugian .

Saham 1 Malaysia habis, gambaran Cina banyak duit

Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan 3 bilion daripada 10 bilion unit Amanah Saham 1 Malaysia yang diperuntukkan kepada kaum Cina telah habis dilanggan.Yang masih belum habis dilanggan adalah unit-unit yang diperuntukkan kepada Bumiputera , India dan lain-lain.

Bumiputera diperuntukkan sebanyak 5 bilion unit, India 1.5 bilion dan bakinya untuk lain-lain kaum.Dengan nilai bagi setiap 1 unit RM1, bermakna kaum Cina sudah melabur sebanyak RM3 bilion . Ini menggambarkan kaum Cina di negara ini mempunyai kedudukan ekonomi yang kukuh berbanding kaum-kaum lain.

Bahkan, menurut kenyataan PNB mereka dibolehkan untuk melabur dalam unit-unit amanah saham yang lain yang disediakan kerajaan seperti Amanah Saham Nasional tiga (ASN 3) dan Amanah Saham Gemilang (ASG).

Ini menunjukkan peluang untuk mereka mendapat sesuatu di negara ini tidak diabai atau dipinggirkan, namun sebahagian dari mereka masih memperlihatkan rasa tidak puas hati terhadap pengagihan kek ekonomi negara..

Beginilah erti keadilan dalam sistem pemerintahan negara ini selama ini....