Ahad, 9 Mei 2010

Memahamkan dasar kerajaan menerusi perjumpaan bulanan

Cuepacs mendakwa ada dalang atau pihak-pihak tertentu menghasut kakitangan awam supaya membenci kerajaan dan menolak beberapa dasar kerajaan yang diketengahkan pada era Datuk Seri Najib Tun Razak seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan Model Ekonomi Baru (MEB).

Di sini dilihat ada dua isu yang jelas iaitu isu membenci kerajaan dan isu menolak dasar kerajaan. Ia boleh berlaku sama ada disebabkan oleh masalah ideologi politik yang berbeza atau masalah tidak memahami secara mendalam akan dasar-dasar kerajaan.

Faktor perbezaan ideologi saya rasa agak sukar untuk diatasinya . Tetapi jika berlaku kedua-duanya kerana tidak faham, maka itu adalah lebih mudah. Hanya dengan memberi penjelasan sahaja kepada mereka itu masalah dapat diselesaikan

Berhubung dengan usaha Cuepacs `menjelajah' ke seluruh negara untuk memperjelaskan isu-isu tersebut kepada ahli-ahlinya amat dialu-alukan tetapi mampukah Cuepacs melakukannya kerana jumlah ahlinya melebihi satu juta orang.

Saya fikir ada cara lain lagi jika Cuepacs benar-benar berhasrat supaya ahlinya tidak `terpedaya' dengan kegiatan manipulasi isu-isu tersebut iaitu dengan cara edaran surat pekeliling atau arahan kepada semua ketua jabatan di semua peringkat agar mereka bertanggung jawab memberikan taklimat kepada `anak buah' mereka pada setiap ` Perjumpaan Bulanan".

Bagi maksud melaksanakan kaedah kedua  itu saya rasa Cuepacs  lebih maklum iaitu dengan meminta kerja sama Ketua Setiausaha Negara (KSN) atau Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan  Awam (JPA) agar keluarkan arahan . Saya rasa cara itu lebih berkesan lagi.

Tiada ulasan: