Sabtu, 22 Mei 2010

Idea melesenkan profesion perguruan perlu berhati-hati

Lazimnya di Malaysia aktiviti yang dilesenkan kerajaan akan memperoleh sejumlah hasil mengikut ketentuan yang dibuat. Untuk tujuan itu kerajaan mungkin akan melesenkan seberapa banyak aktiviti atau apa jua yang boleh membawa hasil kepada negara. 

Baru-baru ini misalnya kerajaan, melalui timbalan menteri sebuah kementerian, mengumumkan akan mengeluarkan lesen judi bola sepak piala dunia, dengan alasan untuk `mengawal' atau menyekat perjudian haram .  Ekorannya berbagai pihak telah menyuarakan pendapat yang kebanyakannya tidak setuju, atas alasan ia `menghalalkan' judi, sedangkan judi itu haram di sisi agama Islam yang menjadi agama rasmi negara. 

Terbaru, menerusi seorang timbalan menteri sebuah kementerian juga, kerajaan mengumumkan akan mengkaji kebarangkalian mengenakan lesen kepada setiap orang guru untuk membolehkan mereka mengajar di sekolah. Rasional yang diberikan kerajaan di sebalik idea  itu adalah untuk menjaga integriti perguruan dari dicemarkan. Ini berikutan laporan media mengenai insiden seorang guru lelaki di Sarawak  mencabul lima orang murid perempuan di bawah umur .

Kenyataan ini amat mengelirukan. Ia kerana antara lainnya, guru adalah digolongkan sebagai kakitangan kerajaan. Ini bermakna guru, seperti kakitangan lain, tertakluk di bawah Perintah Am dan lain-lain `perintah' yang dibuat kerajan dari semasa ke semasa. Tindakan tatatertib boleh diambil mengikut tahap-tahap tertentu yang dibenarkan, malah sehingga boleh dipecat dan sebagainya kepada mereka yang menlanggarinya. Saya percaya peraturan sedia ada sudah mencukupi untuk mengawal intergiti kakitangan kerajaan. 

Bahkan kerajaan juga mempunyai pelbagai agensi, jabatan, institusi untuk memberikan kefahaman, dan menambahbaikkan integriti kakitangannya . Mengapa tidak dimanfaatkan saluran berkenaan.

Jika dengan sebab seorang guru sahaja yang didapati mencemar integriti guru  maka semua yang lain `dihukum' dengan dimestikan mengambil lesen adalah sesuatu yang tidak wajar.

Pelbagai soalan akan timbul sekiranya peraturan itu dikenakan seperti apakah sijil dan diploma yang mereka perolehi menerusi selama beberapa tahun di isntitusi pendidikan guru itu `tidak laku' dan sebagainya.

Semua ini akan memberi kesan kepada pengaruh dan imej kerajaan. Rakyat akan melihat perkara ini dengan lebih jauh maknanya. Apakah dengan mensyaratkan pengambilan lesen itu kerajaan berharap dapat mengukukuhkan integriti perguruan atau kerajaan hendak mengwangkan bidang perguruan ? Bayangkan sekiranya 390,000 orang guru itu dikena caj RM100 untuk satu lesen yang dikeluarkan, berapa jumlah wang yang akan diperoleh kerajaan sebagai hasil. Bagaimanapun terpulang kepada kerajaan sama ada mengenakan caj atau tidak.

Walau macam mana sekali pun , saya bimbang idea-idea seperti ini akan `melumpuhkan' usaha yang dibuat  oleh Perdana Menteri untuk memulih serta meningkatkan imej dan pengaruh BN di kalangan rakyat dan dibimbangi juga idea seperti ini akan menimbulkan lagi kemarahan rakyat kepada kerajaan (BN) dan akhirnya rakyat sekali lagi `menghukumkannya' dalam kertas undi pada pilihan raya umum akan datang..

Tiada ulasan: