Sabtu, 8 Mei 2010

Implikasi pemberian lesen judi kejohanan bola sepak

Menjelang kejohanan bola sepak antarabangsa Jun ini kerajaan melalui seorang Timbalan Menteri yang beragama Islam mengumumkan akan mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen pertaruhan (judi) dengan alasan untuk mengelak pertaruhan atau judi haram.

Pengumuman itu amat memeranjatkan masyarakat Islam di negara ini. Ia bukan bermakna perjudian berlesen itu satu perkara asing bagi masyarakat Islam di negara ini tetapi disebabkan ia diumumkan oleh seseorang yang beragama Islam yang berwibawa dan mewakili parti orang Islam.

Niat kerajaan di sebalik itu memang baik iaitu untuk mencegah kegiatan perjudian yang tidak dibenarkan undang-undang negara (tanpa lesen) tetapi dalam usaha untuk mencegah yang diharamkan perundangan negara itu terjebak dengan yang diharamkan agama Islam yang juga dimaktubkan sebagai agama Persekutuan di dalam Perlembagaan.

Ia seolah-olah memandang ringan syariat agama yang bukan sahaja sebagai agama rasmi negara tetapi agama yang dianuti sekian lama oleh orang Melayu yang juga menjadi pendukung kuat parti terbesar kerajaan.

Jadi, sebaiknya, jangan umumkan . Isu seperti ini amat sensitif kepada masyarakat Melayu . Perasaan mereka kena juga dijaga walaupun di luar lingkaran masa kempen pilihan raya.

Andai kata cadangan itu menjadi kenyataan beberapa kesan negatif dijangka akan timbul terhadap kerajaan dan parti kerajaan yang mewakili orang Islam. Ini kerana kedudukan perjudian sebagai perkara terlarang dalam agama Islam terlalu asas serta jelas bagi masyarakat Islam di negara ini. Semua lapisan masyarakat Islam tahu mengenainya.

Kerajaan pun mungkin sedar tindak balas yang mungkin akan timbul dari masyarakat Islam negara ini ekoran dari pengumuman itu, apatah lagi jika dilaksanakan. Mereka akan marahkan kerajaan dan bencikan parti UMNO  yang menjadi tulang belakang . Pada hal sehingga ke saat ini UMNO sangat perlukan sokongan padu orang Melayu/Islam setelah merosot menjelang dan selepas PRU 2008..

Oleh itu, cadangan itu tidak sesuai . dan tidak sejajar dengan prinsip perjuangan UMNO sendiri sebagai parti yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Maka itu kerajaan patut tarik balik cadangan itu dan cari mekanisme lain bagi menghadapi kemungkinan wujud perjudian haram . Lagi pun rasanya sama ada diberikan lesen atau sebaliknya perjudian haram tetap akan berlaku juga. Cuma pertingkatkan langkah  pemantuan sahaja.

.

Tiada ulasan: