Jumaat, 28 Mei 2010

Tolong jangan hapuskan subsidi

Isu subsidi meletakkan kerajaan dan sebahagian besar rakyat berada dalam keadaan serba salah - ditelan emak diluah mati bapa.

Pada tahun 2009 kerajaan membelanjakan RM74 bilion kerana membayar subsidi. Oleh itu Makmal Rasionalisasi Subsidi mennganjurkan kerajaan supaya menghapuskan subsidi secara beransur-ansur ke atas beberapa bidang termasuk barang-barang kawalan seperti gula, tepung, minyak masak dan lain-lain. Subsidi tol juga dicadangkan ditarik balik.

Berhubung dengan apakah langkah kerajaan seterusnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melihat `feedback' dari rakyat dulu sebelum membuat sebarang keputusan sama ada akan diteruskan memberi subsidi atau akan memansuhkannya.

Kalau direnung-renungkan isu subsidi ini agak lain dari yang lain. Ini kerana jika kerajaan berikan seperti amalan selama ini ia akan memberi faedah kepada semua 28 juta rakyat  negara ini, bahkan orang asing juga yang tinggal di sini . Tetapi jika ia ditarik balik sebahagian rakyat pasti akan menanggung akibatnya iaitu golongan di bawah paras kemiskinan, termiskin dan sederhana.

Secara kebetulannya pula golongan-golongan tersebutlah yang merupakan golongan terbanyak yang menentukan kesinambungan `hayat' kuasa pemerintahan kerajaan pada setiap kali pilihan raya.

Di sinilah letaknya kedudukan yang menserbasalahkan kerajaan sama ada meneruskan subsidi atau memberhentikannya. Kedua-duanya ada risiko tersendiri.

Jika meneruskannya ia akan membawa risiko negara `kehabisan' wang. Tetapi jika dimansuhkanannya ia membawa risiko kerajaan akan `kehabisan' pengaruhnya. Malah jika tersilap langkah pembangkang akan meraih `sepakan percuma'. Justeru perkara ini tidak harus terlepas pandang dalam membuat keputusan.

Rakyat pun serbah salah juga. Bukan tidak bersimpati dengan kerajaan kerana sebab subsidi hutang negara meningkat . Tetapi jika subsidi dimansuhkan risiko yang akan ditanggung oleh sebahagian besar rakyat ialah kuasa beli rakyat akan susut , yang membawa makna yang miskin akan jadi kedana, yang sederhana akan jatuh miskin dan seterusnya.

Apa yang dibimbangkan selalunya kemiskinan membawa padah yang bukan sedikit. Ia mengakibatkan pelbagai tingkah laku yang di luar dugaan . Dari perspektif Islam "Kemiskinan boleh membawa kepada kekufuran (keingkaran) ". Ertinya dalam konteks ini jika kemiskinan menghantui rakyat, rakyat akan mudah menukar selera sokongan dari kerajaan yang didukunginya kepada orang lain.

Oleh itu, mengguna hujah ekonomi sahaja sebagai asas tindakan tidak mencukupi , jika tidak digunakan sama hujah politik . Ini kerana asas kepada ketepatan hujah ekonomi ialah angka dan fakta semata-mata, sedangkan ketepatan natijah hujah politik membabitkan sama emosi manusia selain kedua-duanya.

Maka sehubungan itu, saya fikir kerajaan tidak perlu hapuskan subsidi pada semua sektor tetapi hanya sekadar mengurangkannya dan mengekalkan pada sektor `kritikal' seperti minyak dan makanan atau apa-apa yang membawa kesan kenaikan harga barang keperluan harian kerana ia melibatkan "perut" rakyat. Tidak boleh biarkan perut kosong..

Tiada ulasan: