Rabu, 30 Jun 2010

Cara meraikan keputusan peperiksaan awam perlu diubah

Dalam pada kita sedang memberi perhatian serius terhadap isu cadangan pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR daripada sistem peperiksaan awam sebagaimana dilontarkan oleh Kementerian Pelajaran minggu lalu yang mana berikutan itu terdapat pihak yang menyokong dan tidak menyokong; dengan alasan-alasan tertentu masing-masing mari pula kita sama-sama melontarkan perhatian kita kepada cara mana kita meraikan keputusan kedua-dua peperiksaan tersebut dan lain-lain peperiksaan awam seperti SPM dan STPM ketika ini.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita rasa cara sambutan atau raian kita terhadap keputusan yang kita lebalkan sebagai cemerlang itu yang mana menjadikan A dan jumlahnya sebagai ukuran agak keterlaluan. Ini jelas apabila pihak kepimpinan Kementerian Pelajaran sendiri tampil mendahulu `acara' itu dengan mengadakan sidang media untuk menguar-uarkannya .

Kemudiannnya media pula akan berperanan menyiarkan hasil sidang media itu kepadaa massa yang terdiri dari pelbagai golongan. Manakala mereka itu, sama ada akan menyaksikan segala fakta dan angka yang didedahkan itu menerusi pendengaran, tontonan atau bacaan dari media massa. Akibatnya bukan semua akan merasa seronok dengan maklumat berkenaan tetapi ramai juga yang akan tersentuh dan tersinggung perasaannya kerana mereka mungkin tidak berada di dalam kelompok yang diuar-uarkan itu .

Ini mungkin disebabkan mereka tidak beroleh berapa banyak A yang dikehendaki pihak penganjur peperiksaan atau kalau dapat A pun mungkin tidak cukup `korum'. Dengan demikian sama ada pelajar itu sendiri atau warisnya akan merasa amat tidak selesa dengan situasi berkenaan beberapa hari selepas `upacara'  itu dilangsungkan dan kemungkinan berpanjangan ketika berhadapan dengan rakan-rakan , jiran-jiran dan ahli-ahli keluarga lain yang mana anak-anak mereka mendapat jumlah A yang banyak. Pada ketika itu tekanan psikologi semakin meningkat.

Oleh itu, cara yang kita lakukan dan malahan telah dijadikan tradisi itu dildapati telah memberi impak yang sangat besar kepada psikologi massa yang kalau tidak dikawal dan berhati-hati akan membawa kepada kesan yang lebih buruk yang lebih besar.

Memang niat kita adalah baik iaitu untuk memberi inspirasi atau  motivasi dan sebagainya , namun zaman untuk tujuan seperti itu dikira telah berlalu . Zaman yang sesuai dengan cara tersebut hanya pada waktu di mana tidak ramai masyarakat yang berminat atau tidak tahu berkenaan keperluan pendidikan dan keputusan yang baik di dalam peperiksaan sebagai jalan mudah untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Sekarang ini masyarakat bukan lagi berkedaan sedemikian tetapi sudah ramai yang menyedari keperluan dan kepentingan kecemerlangan dalam pelajaran , tinggal lagi keupayaan untuk mencapainya mungkin tidak ada atau sukar dek kerana beberapa sebab seperti masalah kewangan untuk memberi tuisyen, membeli buku tambahan, pengangkutan  dan sebagainya. Lebih-lebih lagi dalam keadaan tekanan kos hidup yang semakin meningkat tinggi ketika ini .

Justeru perkara ini hendaklah juga diberi perhatian oleh pihak berwajib. Maknanya jika mahu kedua-dua peperiksaan itu diteruskan atau pada mana-mana peperiksan awam lain, maka cara meraikan kejayaan itu seperti yang dilakukan sekarang hendaklah diubah kepada yang lebih wajar dan sesuai ; contohnya seperti pada zaman dulu di mana yang layak masuk atau sambung pelajaran ke sekolah terbaik masukkan sahajalah tanpa diuar-uarkan secara besar-besaran dan begitu juga kalau mana-mana sekolah atau berapa jumlah yang mendapat sejumlah A yang banyak tak payahlah diuar-uarkan secara berlebihan melalui sidang media dan sebagainya.

Selasa, 29 Jun 2010

Punca Melayu tidak berminat menjadi pemilih

Menurut dapatan kajian yang dibuat Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda UMNO  nisbah antara Melayu dan bukan Melayu yang mendaftar sebagai pemilih (pengundi) baru sejak Pilihanraya Umum 2008 hingga tahun ini ialah 1 : 40 (Melayu 1, Bukan Melayu 40) - Berita Harian, 28 Jun 2010.

Ia  satu  petunjuk yang sangat tidak menggembirakan ! Tetapi itulah hakikatnya. 

Oleh kerana kajian itu , seperti diberitahu  Pengerusinya , Hishamudin Yahya merangkumi `semua aspek' iaitu melibatkan umur dan jantina maka bolehlah kita simpulkan bahawasanya itulah gambaran sikap orang Melayu terhadap masa depan politik tanah airnya .

Namun begitu kita kena juga mencari puncanya. Jika memerlukan kajian kita buat kajian juga. Bagaimanapun sebelum kajian dibuat kita buat dulu andaian yang kita asaskan kepada pemerhatian dan pengalaman kita sendiri.

Dari segi andaian, antara punca kepada wujudnya senario itu adalah disebabkan :

i - Orang ramai  , terutama yang muda-muda, berasa bosan dengan sikap sebahagian pemimpin politik Melayu yang sering bertengkar sesama sendiri mengenai isu yang tidak menguntungkan bangsanya . Baik antara kerajaan dengan pembangkang atau sesama pro kerajaan.

ii - Parti-parti politik Melayu yang sedikit itu, berbanding dengan parti politik bukan Melayu, seolah-olah tidak ada hala tuju yang jelas terhadap perjuangan untuk kepentingan bangsanya dalam menyusun strategi atau ketika mendepani sesuatu isu besar termasuk  yang sensentif; meskipun berlunaskan Perlembagaan.

iii.  Parti-parti politik Melayu yang sedikit itu (kerajaan +  pembangkang ) tidak juga menunjukkan perpaduan dan kesatuan dalam memperjuangkan isu-isu penting orang Melayu mengikut keperluan masyarakat majmuk; meski pun berlunaskan Perlembagaan.

iv - Terdapat perbezaan jelas antara yang dipamerkan parti-parti politik bukan Melayu; meskipun jumlahnya berganda banyaknya berbanding part-parti politik Melayu (kerajaan dan pembangkang) mereka ada perpaduan dan kesatuan dalam tindakan ,  walaupun berlainan ideologi dan kedudukan `kuasa'.

Oleh itu,  nyata  sekali tindak tanduk yang diperlihatkan parti-parti politik bukan Melayu mampu merasangkan komuniti sendiri untuk terus berminat dengan perjuangan mereka tanpa peduli pada ideologi yang dimiliki. Keadaan ini tentulah  berbeza dengan cara pemimpin Melayu berpolitik.

Harapan daripada catatan ini agar semua pihak mesti mengubah sikap masing-masing demi kepentingan negara dan bangsa.    Yang belum mendaftar sebagai pemilih berduyun-duyunlah ke tempat pendaftaran (SPR) dan yang menjadi `pemimpin' (tak kira di peringkat mana), pekalah dengan kehendak komuniti yang dipimpin di samping tidak mengenepikan mereka lain. Selamat 1 Malaysia.

Ahad, 27 Jun 2010

Peperiksaan punca penyakit psikologi kanak-kanak ?

Hari ini Mingguan Malaysia melaporkan dari Bentung (Pahang) Kementerian Kesihatan bimbang dengan trend peningkatan mendadak penyakit berkaitan psikologi terutama di kalangan kanak-kanak berumur antara lima hingga 15 tahun.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai dipetik sebagai berkata, kajian menunjukkan penyakit `tidak berjangkit' itu meningkat dari 13 peratus hingga 20.3 peratus antara tahun 1996 hingga 2006.

Beliau membuat kenyataan itu pada sidang akhbar selepas merasmikan Fiesta Jom Sihat - Hidup Sungguh Bermakna anjuran Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Menengah Teknik Tengku Ampuan Afzan (SMVTAA) , Bentung.

Beliau juga, dikatakan `tidak menolak' punca kepada penyakit psikologi itu yang dihadapi kanak-kanak di negara ini antara lainnya, adalah faktor sistem pelajaran yang berorientasikan peperiksaan seperti UPSR dan PMR. 

Berdasarkan pemerhatian saya, memang penyakit tersebut sudah diagak berlaku dan menular dalam masyarakat kita , terutama sekali ketika kita sama-sama perbesarkan keputusan cemerlang peperikasaan tertentu , khususnya di peringkat UPSR dan PMR.

Ia bukan sahaja berlaku pada kanak-kanak berumur sedemikian tetapi juga melibatkan sebahagian ibu bapa berkaitan apabila anak-anak mereka tidak memperoleh tahap kejayaan tertentu seperti diharapkan kerana beberapa faktor. 

Perkara ini telah saya sebutkan dalam entri saya yang bertajuk, "Sokong mansuh UPSR dan PMR ", terbitan 26 Jun 2010 sebagai hujah menyokong cadangan kerajaan menghapuskan peperiksaan UPSR dan PMR dalam sistem peperiksaan awam. 

   

Sabtu, 26 Jun 2010

Minta ulama perjelaskan takrif judi

Kerajaan telah muktamadkan pendiriannya untuk tidak mengeluarkan lesen pertaruhan (judi) sukan kerana faktor agama dan implikasi politik. Ini bermakna semua pertaruhan (judi) yang berkaitan dengan sukan, termasuklah kejohanan bola sepak piala dunia yang sedang berlangsung di Afrika Selatan sekarang. Namun boleh dikatakan setiap hari media melaporkan polis menahan mereka yang terlibat dengan `petaruhan' sukan berkenaan yang melibatkan wang berjuta-juta ringgit.

Saya rasa bagi masyarakat umum umat Islam , mereka hendaklah diberikan penjelasan makna judi sebenar dengan seluas-luasnya agar mereka tidak terkeliru. Ini adalah peranan ulama dan mereka hendaklah sekurang-kurangnya mengguna media massa bagi tujuan tersebut . Ini kerana mungkin sebahagian dari umat Islam kurang arif dengan maksud sebenar judi/pertaruhan mengikut kaca mata Islam.

Saya sendiri pun adalah di dalam golongan yang kurang arif. Sejauh pengetahuan saya judi tidak semestinya ia menggunakan jumlah wang yang besar, sebaliknya walaupun hanya satu ringgit sahaja atau lebih kecil, tetapi jika ia bersifat "bertaruh" dikira judi juga dan apabila ditakrif sebagai judi maka jadilah ia "haram". Bagaimana pun ini hanya fahaman saya semata-mata dan saya bukan ulama. Justeru saya tidak boleh buat kesimpulan atau `memberi fatwa' kepada umum.

Oleh itu, sekiranya bersandarkan fahaman saya ini , seseorang yang bertaruh meskin pun dengan segelas teh tarik sahaja pun boleh dianggap sebagai judi atau satu pertaruhan. Dengan demikian ia adalah salah dan haram .Jika begitu, bagaimana jika teh tarik itu diminum ? Adakah ia tergolong sebagai minum `benda'  haram dan apakah kesannya ? Persoalan ini hanya ulama sahaja boleh menjawabnya, saya hanya sekadar melontar `persoalan' atau isu sahaja untuk mendapat penjelasan lanjut demi kepentingan (maslahah) umum.

Pada pandangan saya isu seperti ini patut diperjelaskan . Para ulama perlu membuat sesuatu supaya masyarakat umum umat Islam boleh mendapat maklumat jelas mengenai istilah "judi" atau "bertaruh" itu berserta dengan hukumnya mengikut syariat Islam. Sekalipun musim pertandingan bola sepak piala dunia semakin hampir  penutupannya , namun ia dirasakan belum terlambat lagi.   

Jumaat, 25 Jun 2010

Perang mulut antara Pemuda UMNO - Ibrahim Ali patut dihentikan

Perang mulut antara Datuk Ibrahim Ali (Presiden Perkasa) dengan Pemuda UMNO berhubung dengan kenyataan Ka Siong (Ketua Pemuda MCA) mengenai isu biasiswa JPA untuk pelajar di luar negara patut dihentikan segera.

Ini kerana dikhuatiri ia akan memberi impak negatif kepada UMNO dan BN sendiri. Kemarahan dan kebencian rakyat terhadap UMNO dan BN mungkin meningkat kerana isu itu sepatutnya antara Ibrahim Ali dengan Ketua Pemuda MCA sahaja, ataupun jika lebih dari itupun adalah dengan MCA; bukan dengan Pemuda UMNO. 

Tidak tahulah sebabnya kenapa Ketua Pemuda UMNO `masuk campur' walhal pendekatan itu , bagi orang tidak pandai berpolitik pun, dilihat tidak begitu sesuai dengan senario politik masakini. Lebih parah lagi apabila keadaan `tegang' itu tidak terhenti antara tiga penjuru - Ibrahim, Khairy, dan Ka Siong - tetapi kian bertambah dan mungkin bertambah .Oleh itu wajarlah dihentikan.

Sekiranya berterusan lagi maka dijangka semakin banyaklah lagi jumlah orang yang membuat kenyataan itu dan ini  dan mengeluarkan luahan hati masing-masing serta akan bertambahlah pula ungkit mengungkit dan tuduh menuduh antara satu pihak dengan pihak lain .

Sepatutnya orang-orang politik sudah terlebih dahulu memahami perkara ini dan justeru mengelak dari terjebak dengan kontroversi .

Khamis, 24 Jun 2010

Menanti kejutan UMNO pada Jumaat

Saya kira berpuluh juta rakyat Malaysia sedang menunggu dengan penuh debar akan `kejutan' yang akan dibuat oleh UMNO pada Jumaat ini apabila terdapat desas desus mengatakan kira-kira 100 orang ulama dan 40 daripadanya berkelulusan Ph.D akan menyertai parti itu pada hari itu. 

Marilah sama-sama kita tunggu `kejutan' itu. Mudah-mudahan ia adalah satu kenyataan dan bukan satu gimik atau spekulasi. Ini kerana yang menjadi kejutan itu bukan penyertaan `ulama' tetapi jumlahnya. Selama ini pun ramai juga ahli UMNO daripada golongan ulama yang berkelulusan tinggi. Tetapi menyertaan mereka bukanlah secara `berduyun-duyun' seperti mana yang dikhabarkan berlaku pada Jumaat ini. Bagaimana pun, penyertaan mereka itu sangat dialu-alukan.

Dikatakan juga para ulama yang akan menyertai UMNO itu memberitahu seorang ahli MT UMNO bahawa antara tujuan mereka menyertai UMNO adalah kerana untuk `menegur dari dalam' jika UMNO buat salah dan `memuji' jika buat baik.

Murni sungguh niat mereka itu. Namun adakah niat suci itu boleh dijelmakan dalam tindakan. Tentulah ia bergantung kepada banyak keadaan dan faktor. Antaranya adakah mereka akan hanya menjadi ahli biasa sahaja atau mereka akan diberikan kesempatan menduduki apa-apa jawatan yang membolehkan niat itu direalisasikan.

Orang yang biasa dengan sepak terajang politik tentu faham bahawa untuk berada di posisi tertentu yang ada `kuasa' sekalipun di peringkat Bahagian bukan satu perkara mudah. Ini kerana ia tidak menggunakan kaedah dan sistem perlantikan seperti mana bidang pekerjaan lain tetapi melalui pemilihan, kecuali beberapa posisi tertentu sahaja. Bukan itu sahaja, bahkan terdapat banyak liku dan ranjau yang harus dialalui bagi mendapatkannya.

Maka timbullah persoalan iaitu sanggupkah UMNO memberikan ruang posisi tertentu kepada mereka itu atau sebahagian mereka dengan mudah; sedangkan pasti ramai lagi orang yang berada di dalam `senarai menunggu' .

Sebaliknya jika mereka hanya sebagai ahli biasa sahaja sejauh manakah pula keupayaan untuk membolehkan niat itu dilaksanakan?  Sama-samalah kita tunggu dan lihat.

Selasa, 22 Jun 2010

Memang wajar KLIA dinamakan Lapangan Terbang Antarabangsa Tun Dr. Mahathir

Memang wajar Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) di Sepang itu dijenamakan semula dan diberi nama Lapangan Terbang Antarabangsa Tun Dr. Mahatihir (TDMIA) seperti mana dicadangkan UMNO Bahagian Cheras baru-baru ini. Cadangan itu dilihat ada asas kukuh.

Kita semua sedia maklum lapangan terbang itu adalah antara `projek besar' Dr. Mahathir dalam usahanya memprojek imej negara ini di peringkat antarabangsa selain Puterajaya, jambatan Pulau Pinang dan lain-lain. Jasa beliau kepada bangsa dan negara adalah banyak dan projek-projek besar yang dilahirkannya pun banyak . 

Jadi kenapa tidak kita ambil sebahagian kecil daripadanya untuk diabadikan sebagai barang kenangan kita dan pengetahuan generasi akan datang, kalau tidak semua projek utamanya pun. Satu atau dua daripadanya pun sudah cukup bermakna.

Oleh itu, tidak salah bagi kerajaan memberi perhatian serius terhadap cadangan itu dan menyegerakan pelaksanaannya selepas mendapat keizinan Tun Dr.Mahathir. Ia sebagai mengenang serta mengabadikan jasa-jasa Tun semasa beliau menjadi PM.

Di samping itu, setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada UMNO Bahagian Cheras kerana mengenengahkan idea tersebut. 

Isnin, 21 Jun 2010

Sokong mansuh UPSR dan PMR

Memansuhkan UPSR dan PMR daripada peperiksaan awam dalam sistem pendidikan negara adalah satu langkah yang baik.

Saya bersetuju dengan cadangan itu. Ia bukan sahaja menggambarkan sistem pendidikan `terlalu berorientasikan peperiksaan' seperti pendapat sesetengah pihak  tetapi juga kedua-duanya saya lihat mutakhir ini lebih memberi impak psikologi yang besar kepada ibu bapa dan pelajar juga, baik yang berjaya atau sebaliknya.

Bagi pelajar-pelajar yang beroleh keputusan cemerlang dengan jumlah A yang banyak akan bersorak gembira kerana kejayaan itu, manakala bagi yang mendapat A kurang (dari jumlah mata pelajaran yang diduduki) atau tiada langsung akan menyepi diri, malah boleh menjadi murung. Kalau tak silap saya pernah ada yang pernah membunuh diri. Ia satu petanda konfliks psikologi yang dahsyat !

Turut berkongsi perasaan yang sama (suka/duka) sudah tentulah ibu bapa . Petanda perkongsian emosi itu cukup ketara , sama ada bagi mereka yang berjaya atau sebaliknya . Masing-masing dengan cara tersendiri mengikut kedudukan keputusan berkaitan. Saya rasa tidak perlu saya menyebut secara mendalam di sini.

Bagi saya jika kerajaan mansuhkan kedua-dua jenis peperiksaan (ujian) tersebut , kerajaan patut wujudkan `peperiksaan khas' untuk memasuki sekolah - sekolah berkategori `hebat' seperti SBP dan sebagainya. Dan ini dibuat secara `tawaran'.

Ini maknanya mereka yang rasa diri mereka berkemampuan boleh memohon menduduki peperiksaan tersebut. Jadi , apa-apa keputusannya tidaklah memberi kesan kepada mereka yang lain seperti yang berlaku sekarang menerusi UPSR atau PMR.  

Kerajaan juga boleh adakan semula sistem `anika jurusan' di peringkat tingkatan satu hingga lima' mengikut kebolehan dan kecenderungan murid/pelajar supaya mereka dapat mengikuti pelajaran dengan lebih yakin dan gigih lagi

Tertarik dengan falsafah Nazir Razak

Saya amat tertarik dengan prinsip dan falsafah Datuk Seri Nazir Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB mengenai kedudukannya di dalam kerjaya dan rumah tangga, seperti yang disiarkan Mingguan Malaysia Ahad 20 Jun 2010 yang berbunyi," Di pejabat , saya adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) tetapi di rumah isteri adalah CEO saya".

Prinsip tersebut bagi saya adalah satu gambaran jelas tentang pemahaman mendalam mengenai peranan `ketua keluarga' dan `ketua organisasi' yang dipimpinnya dan bagaimana ia diletakkan secara adil serta bijaksana.

Penghargaan terhadap peranan isteri dan anak-anak dan pemahaman isteri serta anak-anak terhadap kerjaya `ketua keluarga' mereka adalah sesuatu yang amat penting dalam menjana kebahagian rumah tangga.

Namun, tidaklah baik bagi seseorang isteri itu `menceroboh' urusan kerajaya suaminya kerana itu boleh menjejaskan reputasi suami sebagai ketua dalam organisasinya dan begitulah sebaliknya. Wallahu a'lam.


Ahad, 20 Jun 2010

Muslihat di sebalik saranan wanita solat jumaat

Saranan supaya wanita solat Jumaat tidaklah mengejutkan sangat kerana kebanyakan orang Islam tahu bahawa wanita `diharuskan' solat Jumaat; meskipun tidak difardukan seperti mana lelaki.

Cuma dibimbangi saranan itu ada muslihat politik disebabkan ia bukan sahaja disaran oleh pemimpin politik tersohor tetapi sebelum ini terdapat sesetengah pihak menggunakan member masjid pada hari Jumaat untuk menonjolkan ideologi parti dan menghentam pesaing politik yang seagama dengan terang-terangan menerusi bacaan khutbah Jumaat.


Lagi pun kenapa sekarang cadangan itu timbul, sedangkan hukum `harus' itu sudah lama wujud. Justeru kehadiran wanita di masjid pada solat Jumaat dilihat sebagai `kumpulan tambahan' golongan sasar untuk tujuan tersebut.

Tetapi tidak mengapa jika ia satu cadangan yang ikhlas dan atas tujuan dan musliat syariat, maka saranan itu boleh diterima dan pihak berkuasa agama negeri hendaklah memberi perhatian bagi menyediakan ruang untuk wanita solat Jumaat. Cuma negeri mana nak mula dulu ?.

Sabtu, 19 Jun 2010

PRU lebih awal perlu isyarat `cerah' dari banyak sumber

Pilihanraya (PRU) lebih awal ? Persoalan itu hanya boleh dijawab oleh Perdana Menteri (PM) , Datuk Seri Najib Tun Razak sahaja kerana kuasa di tangannya dan beliau telah pun memberitahu media ia `satu kejutan'.

Apa pun pilihan raya boleh diadakan dengan terlebih dahulu memperoleh isyarat jelas dari pelbagai sudut; terutama sekali sudut politik, ekonomi dan psykologi pengundi, iaitu sikap pengundi terhadap parti pemerintah (BN) mestilah `positif'.

Isyarat tersebut boleh didapati daripada banyak sumber , termasuk kajian kajian pendapat umum atau sikap pengundi (bukan rakyat umum) oleh pihak-pihak berwibawa.

Baru-baru ini sebuah badan mendedahkan dapatan yang menunjukkan populariti Najib di kalangan rakyat berada pada tahap 72 peratus.

Seperti kata PM itu hanya dapatan dari "satu sumber sahaja". Kerajaan mungkin ada banyak lagi sumber yang boleh dirujuk secara objektif .

Di samping itu saya rasa petunjuk dari `Bilik Gerakan' (BG) parti-parti politik komponen BN dan BN sendiri juga perlu diambil kira. Tetapi petunjuk itu mestilah berasaskan kemaskinian fakta dan maklumat , terutama mengenai sikap pengundi terhadap kerajaan dan BN sama ada positif atau negatif.

Oleh itu, jika PM membayangkan pilihanraya boleh diadakan lebih awal maka secara mudah andaiannya ialah BG sudah memberi isyarat `cerah' untuk mengadakan PRU. Sekiranya BG memberi isyarat sebaliknya maka BN dan parti-parti komponennya sudah tentu mesti bekerja keras demi memperoleh sokongan padu pengundi dan semestinya pada masa sama BG juga berada dalam keadaan kemaskini. 
  

Khamis, 17 Jun 2010

Fikirlah untuk kesejahteraan negara sama

Masih ada lagikah rakyat Malaysia melihat agihan 30 peratus kek ekonomi negara kepada Bumiputera dari perspektif perkauman dan tidak dari perspektif kenegaraan di dalam rancangan pembangunan nasional; terutama rancangan pembangunan lima tahunnya seperti RMK -10 ?

Jika masih ada lagi golongan sedemikian, maka kita rasa amat malanglah bagi negara kita yang mencapai usia kemerdekaan lebih 50 tahun tetapi hala tuju pemikirian dan sikap rakyat masih tidak `sekata' !

Tidak bolehkah kita sama-sama melihat isu ini dari perspektif kenegaraan yakni dari segi kebaikan kepada negara secara keseluruhan seperti keharmonian, kedamaian, keutuhan, kedaulatan , ketabilan yang berpanjangan, kesepaduan, keamanan , keselesaan hidup , kesenangan mencari rezeki dan sebagainya.

Itulah sebahagian dari kepelbagaian elemen di dalam skop perspektif kenegaraan yang harus direnung dan dimiliki semua rakyat. Kita tidak rugi rasanya, jika kita sama-sama mengambil perhatian terhadap elemen-elemen tersebut lebih daripada kita melihat pada sudut-sudut lain yang sebaliknya, yang tidak menguntungkan dan boleh mendatangkan angkara kepada negara dan rakyat. 

Sebenarnya pun nisbah agihan itu bukanlah banyak sangat . Bahkan jika dibandingkan dengan nisbah kependudukan agak jauh bezanya . Bumiputera dianggarkan mewakili 60 peratus dari jumlah keseluruahn penduduk berbanding kaum-kaum lain, namun itu bukan persoalan pokok yang harus dicongkel dan didebatkan serta dijadikan isu. 

Sebaliknya yang lebih utama ialah bagaimana harus digembelingkan perkongsian semangat dan perasaan antara rakyat yang bersifat kepelbagaian dari segi kaum, agama dan budaya ini ke dalam satu gelanggang usaha membangunkan negara.

Saya percaya ini sudah ada di dalam kota pemikiran pemimpin negara dan kerajaan , manakala rakyat pula hendakla sewajarnya wajar berikan keyakinan dan kerjasama dengan sebaiknya agar ia berjalan lancar dan mencapai matlamat dan objektifnya. Jangan fikir yang bukan-bukan tetapi fikirlah untuk kebaikan dan kesejahteraan negara sama.   


Rabu, 16 Jun 2010

Kedudukan bahasa ibunda di SK hendaklah mengikut Akta Pelajaran

Isu terbaru mengenai pendidikan ialah berkaitan dengan kedudukan bahasa ibunda di sekolah kebangsaan. Pada mulanya menteri pelajaran dipetik media sebagai berkata kerajaan akan mewajibkan bahasa Manderin dan Tamil di sekolah kebangsaan, namun ia kemudiannya dinafikan.

Apa pun sejauh pengetahuan saya, Dasar Pelajaran Kebangsaan (DPK) kita diasaskan daripada rumusan  sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan pada tahun 1956 yang dipengerusikan Allahyarham Tun Razak Hussein, bekas Perdana Menteri yang ketika itu Menteri Pelajaran. Ia kemudiannya dinamakan Penyata Razak 1956 dan perkukuhkan dengan Ordinan Pelajaran 1957.

Pada tahun 1960 sebuah lagi jawatankuasa berkaitan ditubuhkan bagi menyemak serta menambahbaikkan dasar tersebut yang dikenali dengan nama Penyata Rahman Talib, sempena dengan nama Menteri Pelajaran ketika itu yang juga sebagai pengerusi jawatankuasa berkenaan. Ia diperkukuhkan dengan Akta Pelajaran 1961. Namun akta tersebut dimansuhkan pada tahun 1996 setelah diwujudkan Akta Pelajaran baru.

Sepanjang hayatnya saya rasa semua dasar mengenai pelajaran dirujuk dan diasaskan kepada akta tersebut, termasuk perubahan-perubahan tertentu seperti mempekenalkan KBSR dan KBSM dalam jawatankuasa kabinet mengenai pendidikan yang ditubuhkan pada 1976 dan dipengerusikan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu Menteri Pelajaran.

Antara perkara penting dalam akta berkenaan yang boleh dikaitkan dengan isu ini ialah `sekiranya terdapat lebih 21 orang murid bukan Melayu di sekolah kebangsaan hendaklah kerajaan sediakan guru secukupnya' untuk mengajar bahasa ibunda mereka , sama seperti `sekiranya terdapat 21 orang murid beragama Islam di sekolah Jenis Kebangsaan maka hendaklah kerajaan sediakan guru agama (Islam) secukupnya bagi mengajar matapelajaran berkenaan. Jika tidak salah ingatan saya peruntukan ini masih diguna pakai dalam Akta Pelajaran 1996

Oleh itu, dengan mengambil kira peruntukan berkenaan yang terdapat dalam akta pelajaran , saya rasa tidak timbul soal sama ada hasrat untuk menjadikan subjek bahasa ibunda itu `wajib' atau `pilihan' di sekolah kebangsaan kerana kita sudah ada akta tertentu yang boleh dirujuk; melainkan jika ianya dimansuhkan. Justeru untuk memudahkan cara dan mententeramkan keadaan ikutlah sahaja apa yang telah dimaktubkan di di dalam akta berkenaan. Semoga ia tidak harus menjadi isu perdebatan umum.

Isnin, 14 Jun 2010

Politik Perak akan panas lagi ?

Laporan media hari ini PKR Perak mendakwa tiga ADUN dari UMNO negeri itu akan meninggalkan parti itu dan menyertai PKR dalam masa terdekat.

Alasan yang diketengahkan ialah mereka tidak berpuas hati dengan kepimpinan UMNO negeri yang dikatakan lebih `melayan' bekas ADUN PKR yang `melompat' meninggalkan parti itu tidak lama sebelum ini darpada melayan ahli-ahli UMNO sendiri.

Menurut laporan media, pihak PKR negeri juga mendakwa selain dari tiga ADUN itu sebanyak 12 bahagian UMNO negeri itu juga turut melahirkan rasa `tidak puas hati' dengan kepimpinan UMNO negeri Perak dengan sebab dan alasan sama.

Manakala Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dilapor menafi kenyataan tersebut sambil menyifatkannya sebagai `tidak masuk akal' dan hanya menggambarkan `ketakutan' pihak pembangkang sahaja dengan `kebangkitan' UMNO dan BN negeri sekarang.

Pihak mana benar dan pihak mana tidak benar hanya Allah yang maha mengetahui dan terpulang kepada keadaan dan masa menentukannya .

Bagimanapun sekiranya dakwaan PKR itu benar, maka pastilah persada politik Perak panas lagi. Harap-harap tidak berlaku.

Ahad, 13 Jun 2010

Pas dulu, Pas sekarang

Parti Pas yang ditubuhkan hampir 60 tahun lalu telah menzahirkan satu perubahan yang `besar' dalam lipatan sejarah parti itu pada alaf baru ini apabila dasar perjuangannya `dirombak' dari sebuah parti yang bersifat satu agama sebelum ini kepada sebuah parti yang bercirikan pelbagai kaum dan agama.

Ini jelas terbukti apabila Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang dinaikkan taraf dibenarkan berucap atas tiket `perwakilan' pada Muktamar Tahunan ke 56 parti itu di Kota Bharu, Kelantan yang sedang berlangsung sekarang. 

Jika dilihat dari segi keperluan politik secara keseluruhannya tindakan itu tidak memeranjatkan kerana politik memang sentiasa berwarna warni . Akan tetapi jika direnung kembali kepada tindak tanduk parti itu pada masa silam ia agak mengejutkan.

Ini kerana di ketika awal penubuhannya dahulu sehingga menjelang ke alaf baru parti itu lantang dengan perjuangan konsep negara Islamnya, kepimpinan Islamnya, parti Islamnya dan sebagainya. Justeri lahirlah parti Pas ( dalam tulisan Jawi dieja pa, alif, sin = parti Islam se Malaysia).

Pun tidak mengapa, namun bila mengenang kembali segala label yang diberikan kepada pesaingnya (UMNO) yang bergabung dengan MCA dan MIC dalam satu ikatan yang diberi nama Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional (BN) sejak tahun 1974 perubahan itu amat mengejutkan , terutama bagi masyarakat Melayu Islam di negara ini.

Ini kerana pernah suatu ketika dahulu sebahgian daripada label yang diberikan itu cukup menakutkan lantaran ia melibatkan kedudukan akidah seseorang Muslim, semata-mata kerana konsep Perikatan atau BN sedemikian rupa sahaja. Pada hal konsep yang diambil guna UMNO itu (dulu dan sekarang) lebih `longgar' berbanding dengan apa yang digunakan Pas sekarang..

Dan difahamkan pula Pas akan memilih calon bukan Melayu (Islam) sebagai wakilnya dalam pilihan raya akan datang di mana kawasan yang terdapat majoriti pengundinya bukan Melayu. Inilah di antara perubahan-perubahan `besar'  parti itu yang dizahirkan pada Muktamar Tahunannya yang ke 56 yang sedang berlangsung sekarang di Kota Bharu, Kelantan .

Apakah perubahan itu akan memberi impak positif atau sebaliknya kepada parti itu hanya masa dan pengundi sahaja yang akan menentukannya. Demikianlah keadaannya Pas dulu dan Pas sekarang.

Apa pun pengajaran bagi kaum Muslimin dan Muslimat, kita janganlah terlalu mudah melabelkan orang lain  dengan label yang bukan-bukan, kerana nanti Allah SWT kembalikan segala `yang bukan-bukan' itu kepada kita pula pada suatu hari kelak.

Kekalkan Parlimen di KL

Agak lama saya tidak berhadapan dengan skrin komputer kerana berada di Kuala Lumpur atas urusan peribadi. Tidak seperti kebanyakan orang mengguna komputer riba tetapi saya masih mengguna komputer lama yang saya beli untuk kegunaan anak-anak saya semasa mereka belajar di IPT dahulu. Kini komputer yang saya dampingi ini berusia berbelas tahun. Al-hamdulillah ia masih boleh digunakan lagi !

Semasa berada di KL saya terbaca laporan berita akhbar bahawa kerajaan bercadang untuk memindahkan Parlimen dari KL ke Putrajaya yang bangunannya difahamkan akan dibina tidak lama lagi dengan memakan belanja di sekitar RM800 juta.

Pada pandangan saya kerajaan tidak perlu memindahkan Parlimen ke sana atau ke lain-lain tempat. Bahkan harus kekalkan di tempatnya sekarang kerana ia memberi makna tertentu serta nilai estetika kepada sejarah kemerdekaan dan sistem demokrasi berparlimen negara kita. Oleh itu ia wajar diteruskan pengunaannya untuk sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Rasanya kerajaan tidak perlu berasa gusar atau `malu' dengan sebab meneruskan sesi persidangan kedua-dua Dewan tersebut di bangunan yang dibena sejak merdeka dan tidak wajar juga dengan menjadikannya sebagai `bahan sejarah dan warisan' semata-mata untuk sekadar dilawati pelancong. Harus juga diingat ia adalah simbol patriotisme dan kenegaraan terpenting

Rabu, 9 Jun 2010

Rasa lega dengan kenyataan PM

Pada minggu lalu seluruh rakyat Malaysia dikejutkan dengan kenyataan seorang menteri kabinet bahawa negara ini akan `bankrap' seperti negara Greece dalam tempoh sembilan tahun akan datang sekiranya subsidi tidak dihapuskan.

Kenyataan tersebut sebagai merasionalisasikan hasrat kerajaan untuk menghapuskan subsidi yang dikaitkan menjadi penyebab kepada beban hutang negara sebanyak RM364 bilion atau 54 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bagaimana pun setelah mendapat pelbagai maklum balas dari rakyat , hari ini seluruh rakyat disirami dengan perasaan gembira dan lega apabila Perdana Menteri , Datuk Seri Najib sendiri mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa Malaysia tidak akan jatuh bankrap seperti Iceland dan Greece.

Ini kerana katanya, " jumlah hutang negara pada 2009 telah berkurangan kepada RM233.92 bilion daripada RM236.18 bilion pada 2008 " manakala kerajaan telah mengambil berbagai langkah bagi mengurangkan bebanan hutang itu.

Terima kasih PM..

Isnin, 7 Jun 2010

Tidak perlu keluarkan lesen peruncit

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan akan mengenakan lesen kepada setiap peruncit barang-barang kawalan seperti gula, tepung dan minyak masak serta dikenakan caj sebanyak RM10 mulai Julai depan.

Tiba-tiba kelmarin kerajaan mengumumkan pula lesen itu akan diberikan secara percuma; bermakna tidak dikenakan sebarang caj.

Apakah sebab sebenar di sebalik tindakan mengubah `dasar' itu dengan serta merta tidak diketahui secara jelas. Namun boleh diandaikan ia kerana atas sebab `desakan' pihak-pihak tertentu seblum ini seperti yang pernah disiarkan media massa.

Ada baik buruknya kesan dari keputusan mendadak itu. Baiknya kerana memuaskan hati pihak yang mendesak dan peruncit. Buruknya dilihat dari sisi imej kerajaan akan sedikit terjejas kerana kelihatan tidak begitu tegas, sedangkan jumlah caj hanya RM10 sahaja.

Berikutan itu, kini hanya diberikan lesen sahaja tetapi tidak dikenakan caj. Dari segi logiknya lesen yang dikeluarkan itu memakan kos tertentu. Lagi banyak jumlah lesen dikeluarkan lagi banyak kos yang akan ditanggung kerajaan . Ini bermakna kerajaan akan membelanja sejumlah wang kerajaan (rakyat) tanpa sebarang pulangan .

Oleh itu, pada pandangan saya jika hanya sekadar keluarkan lesen semata-mata tanpa caj ia bukan sahaja merugikan kerajaan dari segi kos tetapi juga membazirkan masa pegawai dari segi pentadbirannya . 

Justeru , lebih baik jika boleh , dikembalikan cara lama sahaja.. Apa yang mustahak ialah langkah pemantauan dan penguatkuasaan dipertingkatkan agar pengguna tidak berhadapan dengan masalah kekurangan atau ketiadaan bahan keperluan berkenaan di pasaran. Ia juga bermakna semua pihak mendapat `untung' atau kebaikan - baik peruncit, pengguna bahkan kerajaan sendiri.

Jumaat, 4 Jun 2010

Tanpa subsidi, yuran belajar di universiti lebih RM14,000 satu semesta

Sebuah akhbar arus pada 1 Jun lalu melaporkan, tanpa subsidi pelajar asing atau tempatan dikenakan yuran pengajian lebih RM14,000 bagi setiap satu semesta dan bergantung kepada kursus yang diambil. Selama ini belanjanya tidak sebesar itu kerana adanya subsidi.

Membaca laporan berita itu saya menarik nafas panjang dan cuba membayangkan kemampuan saya, saudara mara dan adik beradik yang berada di kampung sekiranya ingin anak-anak melanjut pelajaran di peringkat tinggi. Mana kami di kampung yang miskin ini mampu. Itu baru seorang, bagaimana jika lebih dari seorang belajar serentak.

Tetapi mujurlah semasa anak-anak saya , anak-anak saudara saya dan yang lain-lain di kampung  sempat belajar di bawah pemberian subsidi oleh kerajaan.

Namun yang saya sangat bimbangkan kini ialah cucu-cucu saya nanti, kerana kami semuanya dari golongan kurang berada, bukan golongan kaya. Kami orang kampung. Mana ada glongan elit dan berada tinggal di kampung atau rumah teres di bandar.

Saya percaya tentu masih ramai lagi orang-orang yang segolongan dengan saya baik di kampung mahu pun di bandar , malah di kota besar juga , merasa bimbang terhadap masa depan anak-anak cucu mereka apabila kerajaan melahirkan cita-cita untuk memansuhkan subsidi..  

Khamis, 3 Jun 2010

Tahniah KPDNKK kerana guna pendekatan betul

Tahniah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kerana mengambil pendekatan berhemah dan betul bagi menangani masalah kekurangan barang kawalan di pasaran terutama gula dan minyak masak.

Dikatakan betul dan berhemah kerana ia tidak tergesa-gesa menaikkan harga barangan keperluan seperti yang biasa dilakukan apabila ada tanda-tanda permintaan ke arah itu. Sebaliknya menggunakan beberapa peruntukan undang-undang yang sedia ada di dalam mengawal selia barangan di pasaran dan mendepani isu kekurangan barangan.

Antara undang-undang yang dilaporkan media diguna pakai oleh kementerian berkenaan ialah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan menguatkuasakannya serta merta. Syabas !

Dengan penguatkuasaan undang-undang di bawah peruntukan itu, dan penarikan balik pengecualian yang diberikan sejak 1991, kini penjualan runcit gula dan minyak masak dimestikan berlesen. Dengan itu aktiviti `penyelewengan' barangan tersebut dipercayai dapat dibendung.

Selanjutnya aktiviti menyorok barangan juga dikawal ketat dengan langkah `tidak lagi dikenakan kompaun' tetapi akan terus didakwa di mahkamah mengikut akta berkenaan. Ini suatu langkah yang dilihat amat efektif kerana ia melibatkan denda yang tinggi sehingga RM100,000 dan tiga tahun penjara.

Juga dilihat terdapat langkah yang cukup menarik apabila diumumkan bagi mengawal barangan tidak sampai ke kawasan sepatutnya, satu pendekatan baru digunakan iaitu memastikan pemborong membekalkan barangan tersebut di sekitar kawasan mereka sahaja. Pendekatan ini dilihat lebih praktikal berbanding secara merentasi negeri ke negeri.

Inilah di antara pendekatan yang saya kira amat baik, betul , adil dan berhemah. Ini kerana dengan adanya pendekatan seperti ini orang ramai boleh mendapat barangan dengan mudah dan isu `kehabisan stok' tidak mungkin berlaku.; aktiviti sorok juga dijangka dapat dielakkan dan yang lebih penting tiada lagi pembelian panik oleh sesetengah pembeli.

Rabu, 2 Jun 2010

Mari sama-sama berdoa untuk konvoi kemanusiaan Gaza

1 -   Alhamdulillah, marilah sama-sama kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana 12 orang rakyat Malaysia yang berada di dalam kapal Mavi Marmara yang diserang komando Israel semalam berada di dalam keadaan selamat tetapi ditahan di Haifa.

2 -   Oleh kerana mereka masih ditahan marilah sama-sama kita doakan agar mereka dibebaskan dengan seberapa segera di samping usaha-usaha yang dilakukan oleh bebebrapa pihak , khususnya Kementerian Luar kita.

3 -   Marilah juga kita berdoa agar mereka diberikan Allah SWT kekuatan , kesihatan dan ketabahan ketika sedang berhadapan dengan saat-saat cemas seperti ini ; semoga dengan berkat kesabaran itu Allah permudahkan urusan pembebasan mereka.

4 -   Harus juga kita berdoa untuk keluarga mereka di sini agar dikurniakan kesabaran dan kekuatan selain mereka sendiri berusaha memohon pertolongan Allah agar didatangkan kebaikan dan dijauhkan keburukan serta mala petaka.

5 -  Dan sama-sama juga kita doakan untuk keselamatan rakyat Malaysia lain yang menyertai konvoi kemanusiaan itu khasnya dan ahli-hali konvoi yang lain yang sedang menuju ke Gaza kerana menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.

6 -  Semoga Allah lindungi mereka daripada ditimpa sebarang kejadian buruk dan perkara-perkara lain yang tidak diingini.  Amin, amin, amin , ya Rabbal Alamin !

Selasa, 1 Jun 2010

Isu subsidi : ambil kira pandangan ahli ekonomi dan aktivis politik

Seorang pakar ekonomi dan pada masa sama beliau juga seorang aktivis politik memberi pandangan yang cukup menarik dan sama sekali bertentangan dengan pandangan yang dirumuskan oleh Makmal Rasionalisasi Subsidi (MRS) mengenai kewajaran penarikan balik subsidi dan kedudukan ekonomi negara.

Makmal itu sebelum ini menjadikan pemberian subsidi kepada rakyat sebagai penyebab kepada limpahan hutang negara yang tidak terdaya lagi oleh kerajaan untuk mendepaninya ; justeru ia mejadi alasan kepada penarikan balik sebagai cara untuk menyelamatkan negara dari ` muflis'  .

Namun rumusan itu nampaknya `disanggah' sama sekali oleh seorang pakar ekonomi , Datuk Dr. Norraesah Mohamad , yang juga anggota Ahli Majlis Tertinggi UMNO bahkan dengan alasan-alasannya tersendiri beliau penuh yakin bahawa negara ini tidak akan menjadi muflis.

Ini nampak jelas bahawa beliau bukan sahaja amat memahami tentang ekonomi tetapi juga tentang keperluan politik oleh sesebuah negara seperti Malaysia.

Dalam hubngan ini , nampaknya beliau juga tahu mengimbangi keperluan dua medan tersebut demi faedah jangka panjang bagi rakyat, kerajaan dan negara.

Harap pandangan beliau itu boleh dijadikan titik tolak kepada merangka langkah seterusnya di dalam mendepani isu subsidi dan hutang negara.