Rabu, 30 Jun 2010

Cara meraikan keputusan peperiksaan awam perlu diubah

Dalam pada kita sedang memberi perhatian serius terhadap isu cadangan pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR daripada sistem peperiksaan awam sebagaimana dilontarkan oleh Kementerian Pelajaran minggu lalu yang mana berikutan itu terdapat pihak yang menyokong dan tidak menyokong; dengan alasan-alasan tertentu masing-masing mari pula kita sama-sama melontarkan perhatian kita kepada cara mana kita meraikan keputusan kedua-dua peperiksaan tersebut dan lain-lain peperiksaan awam seperti SPM dan STPM ketika ini.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita rasa cara sambutan atau raian kita terhadap keputusan yang kita lebalkan sebagai cemerlang itu yang mana menjadikan A dan jumlahnya sebagai ukuran agak keterlaluan. Ini jelas apabila pihak kepimpinan Kementerian Pelajaran sendiri tampil mendahulu `acara' itu dengan mengadakan sidang media untuk menguar-uarkannya .

Kemudiannnya media pula akan berperanan menyiarkan hasil sidang media itu kepadaa massa yang terdiri dari pelbagai golongan. Manakala mereka itu, sama ada akan menyaksikan segala fakta dan angka yang didedahkan itu menerusi pendengaran, tontonan atau bacaan dari media massa. Akibatnya bukan semua akan merasa seronok dengan maklumat berkenaan tetapi ramai juga yang akan tersentuh dan tersinggung perasaannya kerana mereka mungkin tidak berada di dalam kelompok yang diuar-uarkan itu .

Ini mungkin disebabkan mereka tidak beroleh berapa banyak A yang dikehendaki pihak penganjur peperiksaan atau kalau dapat A pun mungkin tidak cukup `korum'. Dengan demikian sama ada pelajar itu sendiri atau warisnya akan merasa amat tidak selesa dengan situasi berkenaan beberapa hari selepas `upacara'  itu dilangsungkan dan kemungkinan berpanjangan ketika berhadapan dengan rakan-rakan , jiran-jiran dan ahli-ahli keluarga lain yang mana anak-anak mereka mendapat jumlah A yang banyak. Pada ketika itu tekanan psikologi semakin meningkat.

Oleh itu, cara yang kita lakukan dan malahan telah dijadikan tradisi itu dildapati telah memberi impak yang sangat besar kepada psikologi massa yang kalau tidak dikawal dan berhati-hati akan membawa kepada kesan yang lebih buruk yang lebih besar.

Memang niat kita adalah baik iaitu untuk memberi inspirasi atau  motivasi dan sebagainya , namun zaman untuk tujuan seperti itu dikira telah berlalu . Zaman yang sesuai dengan cara tersebut hanya pada waktu di mana tidak ramai masyarakat yang berminat atau tidak tahu berkenaan keperluan pendidikan dan keputusan yang baik di dalam peperiksaan sebagai jalan mudah untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Sekarang ini masyarakat bukan lagi berkedaan sedemikian tetapi sudah ramai yang menyedari keperluan dan kepentingan kecemerlangan dalam pelajaran , tinggal lagi keupayaan untuk mencapainya mungkin tidak ada atau sukar dek kerana beberapa sebab seperti masalah kewangan untuk memberi tuisyen, membeli buku tambahan, pengangkutan  dan sebagainya. Lebih-lebih lagi dalam keadaan tekanan kos hidup yang semakin meningkat tinggi ketika ini .

Justeru perkara ini hendaklah juga diberi perhatian oleh pihak berwajib. Maknanya jika mahu kedua-dua peperiksaan itu diteruskan atau pada mana-mana peperiksan awam lain, maka cara meraikan kejayaan itu seperti yang dilakukan sekarang hendaklah diubah kepada yang lebih wajar dan sesuai ; contohnya seperti pada zaman dulu di mana yang layak masuk atau sambung pelajaran ke sekolah terbaik masukkan sahajalah tanpa diuar-uarkan secara besar-besaran dan begitu juga kalau mana-mana sekolah atau berapa jumlah yang mendapat sejumlah A yang banyak tak payahlah diuar-uarkan secara berlebihan melalui sidang media dan sebagainya.

Tiada ulasan: