Khamis, 24 Jun 2010

Menanti kejutan UMNO pada Jumaat

Saya kira berpuluh juta rakyat Malaysia sedang menunggu dengan penuh debar akan `kejutan' yang akan dibuat oleh UMNO pada Jumaat ini apabila terdapat desas desus mengatakan kira-kira 100 orang ulama dan 40 daripadanya berkelulusan Ph.D akan menyertai parti itu pada hari itu. 

Marilah sama-sama kita tunggu `kejutan' itu. Mudah-mudahan ia adalah satu kenyataan dan bukan satu gimik atau spekulasi. Ini kerana yang menjadi kejutan itu bukan penyertaan `ulama' tetapi jumlahnya. Selama ini pun ramai juga ahli UMNO daripada golongan ulama yang berkelulusan tinggi. Tetapi menyertaan mereka bukanlah secara `berduyun-duyun' seperti mana yang dikhabarkan berlaku pada Jumaat ini. Bagaimana pun, penyertaan mereka itu sangat dialu-alukan.

Dikatakan juga para ulama yang akan menyertai UMNO itu memberitahu seorang ahli MT UMNO bahawa antara tujuan mereka menyertai UMNO adalah kerana untuk `menegur dari dalam' jika UMNO buat salah dan `memuji' jika buat baik.

Murni sungguh niat mereka itu. Namun adakah niat suci itu boleh dijelmakan dalam tindakan. Tentulah ia bergantung kepada banyak keadaan dan faktor. Antaranya adakah mereka akan hanya menjadi ahli biasa sahaja atau mereka akan diberikan kesempatan menduduki apa-apa jawatan yang membolehkan niat itu direalisasikan.

Orang yang biasa dengan sepak terajang politik tentu faham bahawa untuk berada di posisi tertentu yang ada `kuasa' sekalipun di peringkat Bahagian bukan satu perkara mudah. Ini kerana ia tidak menggunakan kaedah dan sistem perlantikan seperti mana bidang pekerjaan lain tetapi melalui pemilihan, kecuali beberapa posisi tertentu sahaja. Bukan itu sahaja, bahkan terdapat banyak liku dan ranjau yang harus dialalui bagi mendapatkannya.

Maka timbullah persoalan iaitu sanggupkah UMNO memberikan ruang posisi tertentu kepada mereka itu atau sebahagian mereka dengan mudah; sedangkan pasti ramai lagi orang yang berada di dalam `senarai menunggu' .

Sebaliknya jika mereka hanya sebagai ahli biasa sahaja sejauh manakah pula keupayaan untuk membolehkan niat itu dilaksanakan?  Sama-samalah kita tunggu dan lihat.

2 ulasan:

arif omar berkata...

minta-mintalah pada Allah ianya menjadi kenyataan. Amin

Pandangan Orang Kampung berkata...

mudah-mudahan..terima kasih.