Sabtu, 26 Jun 2010

Minta ulama perjelaskan takrif judi

Kerajaan telah muktamadkan pendiriannya untuk tidak mengeluarkan lesen pertaruhan (judi) sukan kerana faktor agama dan implikasi politik. Ini bermakna semua pertaruhan (judi) yang berkaitan dengan sukan, termasuklah kejohanan bola sepak piala dunia yang sedang berlangsung di Afrika Selatan sekarang. Namun boleh dikatakan setiap hari media melaporkan polis menahan mereka yang terlibat dengan `petaruhan' sukan berkenaan yang melibatkan wang berjuta-juta ringgit.

Saya rasa bagi masyarakat umum umat Islam , mereka hendaklah diberikan penjelasan makna judi sebenar dengan seluas-luasnya agar mereka tidak terkeliru. Ini adalah peranan ulama dan mereka hendaklah sekurang-kurangnya mengguna media massa bagi tujuan tersebut . Ini kerana mungkin sebahagian dari umat Islam kurang arif dengan maksud sebenar judi/pertaruhan mengikut kaca mata Islam.

Saya sendiri pun adalah di dalam golongan yang kurang arif. Sejauh pengetahuan saya judi tidak semestinya ia menggunakan jumlah wang yang besar, sebaliknya walaupun hanya satu ringgit sahaja atau lebih kecil, tetapi jika ia bersifat "bertaruh" dikira judi juga dan apabila ditakrif sebagai judi maka jadilah ia "haram". Bagaimana pun ini hanya fahaman saya semata-mata dan saya bukan ulama. Justeru saya tidak boleh buat kesimpulan atau `memberi fatwa' kepada umum.

Oleh itu, sekiranya bersandarkan fahaman saya ini , seseorang yang bertaruh meskin pun dengan segelas teh tarik sahaja pun boleh dianggap sebagai judi atau satu pertaruhan. Dengan demikian ia adalah salah dan haram .Jika begitu, bagaimana jika teh tarik itu diminum ? Adakah ia tergolong sebagai minum `benda'  haram dan apakah kesannya ? Persoalan ini hanya ulama sahaja boleh menjawabnya, saya hanya sekadar melontar `persoalan' atau isu sahaja untuk mendapat penjelasan lanjut demi kepentingan (maslahah) umum.

Pada pandangan saya isu seperti ini patut diperjelaskan . Para ulama perlu membuat sesuatu supaya masyarakat umum umat Islam boleh mendapat maklumat jelas mengenai istilah "judi" atau "bertaruh" itu berserta dengan hukumnya mengikut syariat Islam. Sekalipun musim pertandingan bola sepak piala dunia semakin hampir  penutupannya , namun ia dirasakan belum terlambat lagi.   

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya bersetuju dengan pandangan itu, harap dapat perhatian pihak berkenaan.

Pandangan Orang Kampung berkata...

Terima kasih.