Ahad, 13 Jun 2010

Pas dulu, Pas sekarang

Parti Pas yang ditubuhkan hampir 60 tahun lalu telah menzahirkan satu perubahan yang `besar' dalam lipatan sejarah parti itu pada alaf baru ini apabila dasar perjuangannya `dirombak' dari sebuah parti yang bersifat satu agama sebelum ini kepada sebuah parti yang bercirikan pelbagai kaum dan agama.

Ini jelas terbukti apabila Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang dinaikkan taraf dibenarkan berucap atas tiket `perwakilan' pada Muktamar Tahunan ke 56 parti itu di Kota Bharu, Kelantan yang sedang berlangsung sekarang. 

Jika dilihat dari segi keperluan politik secara keseluruhannya tindakan itu tidak memeranjatkan kerana politik memang sentiasa berwarna warni . Akan tetapi jika direnung kembali kepada tindak tanduk parti itu pada masa silam ia agak mengejutkan.

Ini kerana di ketika awal penubuhannya dahulu sehingga menjelang ke alaf baru parti itu lantang dengan perjuangan konsep negara Islamnya, kepimpinan Islamnya, parti Islamnya dan sebagainya. Justeri lahirlah parti Pas ( dalam tulisan Jawi dieja pa, alif, sin = parti Islam se Malaysia).

Pun tidak mengapa, namun bila mengenang kembali segala label yang diberikan kepada pesaingnya (UMNO) yang bergabung dengan MCA dan MIC dalam satu ikatan yang diberi nama Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional (BN) sejak tahun 1974 perubahan itu amat mengejutkan , terutama bagi masyarakat Melayu Islam di negara ini.

Ini kerana pernah suatu ketika dahulu sebahgian daripada label yang diberikan itu cukup menakutkan lantaran ia melibatkan kedudukan akidah seseorang Muslim, semata-mata kerana konsep Perikatan atau BN sedemikian rupa sahaja. Pada hal konsep yang diambil guna UMNO itu (dulu dan sekarang) lebih `longgar' berbanding dengan apa yang digunakan Pas sekarang..

Dan difahamkan pula Pas akan memilih calon bukan Melayu (Islam) sebagai wakilnya dalam pilihan raya akan datang di mana kawasan yang terdapat majoriti pengundinya bukan Melayu. Inilah di antara perubahan-perubahan `besar'  parti itu yang dizahirkan pada Muktamar Tahunannya yang ke 56 yang sedang berlangsung sekarang di Kota Bharu, Kelantan .

Apakah perubahan itu akan memberi impak positif atau sebaliknya kepada parti itu hanya masa dan pengundi sahaja yang akan menentukannya. Demikianlah keadaannya Pas dulu dan Pas sekarang.

Apa pun pengajaran bagi kaum Muslimin dan Muslimat, kita janganlah terlalu mudah melabelkan orang lain  dengan label yang bukan-bukan, kerana nanti Allah SWT kembalikan segala `yang bukan-bukan' itu kepada kita pula pada suatu hari kelak.

Tiada ulasan: