Rabu, 16 Jun 2010

Kedudukan bahasa ibunda di SK hendaklah mengikut Akta Pelajaran

Isu terbaru mengenai pendidikan ialah berkaitan dengan kedudukan bahasa ibunda di sekolah kebangsaan. Pada mulanya menteri pelajaran dipetik media sebagai berkata kerajaan akan mewajibkan bahasa Manderin dan Tamil di sekolah kebangsaan, namun ia kemudiannya dinafikan.

Apa pun sejauh pengetahuan saya, Dasar Pelajaran Kebangsaan (DPK) kita diasaskan daripada rumusan  sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan pada tahun 1956 yang dipengerusikan Allahyarham Tun Razak Hussein, bekas Perdana Menteri yang ketika itu Menteri Pelajaran. Ia kemudiannya dinamakan Penyata Razak 1956 dan perkukuhkan dengan Ordinan Pelajaran 1957.

Pada tahun 1960 sebuah lagi jawatankuasa berkaitan ditubuhkan bagi menyemak serta menambahbaikkan dasar tersebut yang dikenali dengan nama Penyata Rahman Talib, sempena dengan nama Menteri Pelajaran ketika itu yang juga sebagai pengerusi jawatankuasa berkenaan. Ia diperkukuhkan dengan Akta Pelajaran 1961. Namun akta tersebut dimansuhkan pada tahun 1996 setelah diwujudkan Akta Pelajaran baru.

Sepanjang hayatnya saya rasa semua dasar mengenai pelajaran dirujuk dan diasaskan kepada akta tersebut, termasuk perubahan-perubahan tertentu seperti mempekenalkan KBSR dan KBSM dalam jawatankuasa kabinet mengenai pendidikan yang ditubuhkan pada 1976 dan dipengerusikan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu Menteri Pelajaran.

Antara perkara penting dalam akta berkenaan yang boleh dikaitkan dengan isu ini ialah `sekiranya terdapat lebih 21 orang murid bukan Melayu di sekolah kebangsaan hendaklah kerajaan sediakan guru secukupnya' untuk mengajar bahasa ibunda mereka , sama seperti `sekiranya terdapat 21 orang murid beragama Islam di sekolah Jenis Kebangsaan maka hendaklah kerajaan sediakan guru agama (Islam) secukupnya bagi mengajar matapelajaran berkenaan. Jika tidak salah ingatan saya peruntukan ini masih diguna pakai dalam Akta Pelajaran 1996

Oleh itu, dengan mengambil kira peruntukan berkenaan yang terdapat dalam akta pelajaran , saya rasa tidak timbul soal sama ada hasrat untuk menjadikan subjek bahasa ibunda itu `wajib' atau `pilihan' di sekolah kebangsaan kerana kita sudah ada akta tertentu yang boleh dirujuk; melainkan jika ianya dimansuhkan. Justeru untuk memudahkan cara dan mententeramkan keadaan ikutlah sahaja apa yang telah dimaktubkan di di dalam akta berkenaan. Semoga ia tidak harus menjadi isu perdebatan umum.

Tiada ulasan: