Sabtu, 19 Jun 2010

PRU lebih awal perlu isyarat `cerah' dari banyak sumber

Pilihanraya (PRU) lebih awal ? Persoalan itu hanya boleh dijawab oleh Perdana Menteri (PM) , Datuk Seri Najib Tun Razak sahaja kerana kuasa di tangannya dan beliau telah pun memberitahu media ia `satu kejutan'.

Apa pun pilihan raya boleh diadakan dengan terlebih dahulu memperoleh isyarat jelas dari pelbagai sudut; terutama sekali sudut politik, ekonomi dan psykologi pengundi, iaitu sikap pengundi terhadap parti pemerintah (BN) mestilah `positif'.

Isyarat tersebut boleh didapati daripada banyak sumber , termasuk kajian kajian pendapat umum atau sikap pengundi (bukan rakyat umum) oleh pihak-pihak berwibawa.

Baru-baru ini sebuah badan mendedahkan dapatan yang menunjukkan populariti Najib di kalangan rakyat berada pada tahap 72 peratus.

Seperti kata PM itu hanya dapatan dari "satu sumber sahaja". Kerajaan mungkin ada banyak lagi sumber yang boleh dirujuk secara objektif .

Di samping itu saya rasa petunjuk dari `Bilik Gerakan' (BG) parti-parti politik komponen BN dan BN sendiri juga perlu diambil kira. Tetapi petunjuk itu mestilah berasaskan kemaskinian fakta dan maklumat , terutama mengenai sikap pengundi terhadap kerajaan dan BN sama ada positif atau negatif.

Oleh itu, jika PM membayangkan pilihanraya boleh diadakan lebih awal maka secara mudah andaiannya ialah BG sudah memberi isyarat `cerah' untuk mengadakan PRU. Sekiranya BG memberi isyarat sebaliknya maka BN dan parti-parti komponennya sudah tentu mesti bekerja keras demi memperoleh sokongan padu pengundi dan semestinya pada masa sama BG juga berada dalam keadaan kemaskini. 
  

Tiada ulasan: