Isnin, 21 Jun 2010

Sokong mansuh UPSR dan PMR

Memansuhkan UPSR dan PMR daripada peperiksaan awam dalam sistem pendidikan negara adalah satu langkah yang baik.

Saya bersetuju dengan cadangan itu. Ia bukan sahaja menggambarkan sistem pendidikan `terlalu berorientasikan peperiksaan' seperti pendapat sesetengah pihak  tetapi juga kedua-duanya saya lihat mutakhir ini lebih memberi impak psikologi yang besar kepada ibu bapa dan pelajar juga, baik yang berjaya atau sebaliknya.

Bagi pelajar-pelajar yang beroleh keputusan cemerlang dengan jumlah A yang banyak akan bersorak gembira kerana kejayaan itu, manakala bagi yang mendapat A kurang (dari jumlah mata pelajaran yang diduduki) atau tiada langsung akan menyepi diri, malah boleh menjadi murung. Kalau tak silap saya pernah ada yang pernah membunuh diri. Ia satu petanda konfliks psikologi yang dahsyat !

Turut berkongsi perasaan yang sama (suka/duka) sudah tentulah ibu bapa . Petanda perkongsian emosi itu cukup ketara , sama ada bagi mereka yang berjaya atau sebaliknya . Masing-masing dengan cara tersendiri mengikut kedudukan keputusan berkaitan. Saya rasa tidak perlu saya menyebut secara mendalam di sini.

Bagi saya jika kerajaan mansuhkan kedua-dua jenis peperiksaan (ujian) tersebut , kerajaan patut wujudkan `peperiksaan khas' untuk memasuki sekolah - sekolah berkategori `hebat' seperti SBP dan sebagainya. Dan ini dibuat secara `tawaran'.

Ini maknanya mereka yang rasa diri mereka berkemampuan boleh memohon menduduki peperiksaan tersebut. Jadi , apa-apa keputusannya tidaklah memberi kesan kepada mereka yang lain seperti yang berlaku sekarang menerusi UPSR atau PMR.  

Kerajaan juga boleh adakan semula sistem `anika jurusan' di peringkat tingkatan satu hingga lima' mengikut kebolehan dan kecenderungan murid/pelajar supaya mereka dapat mengikuti pelajaran dengan lebih yakin dan gigih lagi

Tiada ulasan: