Khamis, 3 Jun 2010

Tahniah KPDNKK kerana guna pendekatan betul

Tahniah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kerana mengambil pendekatan berhemah dan betul bagi menangani masalah kekurangan barang kawalan di pasaran terutama gula dan minyak masak.

Dikatakan betul dan berhemah kerana ia tidak tergesa-gesa menaikkan harga barangan keperluan seperti yang biasa dilakukan apabila ada tanda-tanda permintaan ke arah itu. Sebaliknya menggunakan beberapa peruntukan undang-undang yang sedia ada di dalam mengawal selia barangan di pasaran dan mendepani isu kekurangan barangan.

Antara undang-undang yang dilaporkan media diguna pakai oleh kementerian berkenaan ialah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan menguatkuasakannya serta merta. Syabas !

Dengan penguatkuasaan undang-undang di bawah peruntukan itu, dan penarikan balik pengecualian yang diberikan sejak 1991, kini penjualan runcit gula dan minyak masak dimestikan berlesen. Dengan itu aktiviti `penyelewengan' barangan tersebut dipercayai dapat dibendung.

Selanjutnya aktiviti menyorok barangan juga dikawal ketat dengan langkah `tidak lagi dikenakan kompaun' tetapi akan terus didakwa di mahkamah mengikut akta berkenaan. Ini suatu langkah yang dilihat amat efektif kerana ia melibatkan denda yang tinggi sehingga RM100,000 dan tiga tahun penjara.

Juga dilihat terdapat langkah yang cukup menarik apabila diumumkan bagi mengawal barangan tidak sampai ke kawasan sepatutnya, satu pendekatan baru digunakan iaitu memastikan pemborong membekalkan barangan tersebut di sekitar kawasan mereka sahaja. Pendekatan ini dilihat lebih praktikal berbanding secara merentasi negeri ke negeri.

Inilah di antara pendekatan yang saya kira amat baik, betul , adil dan berhemah. Ini kerana dengan adanya pendekatan seperti ini orang ramai boleh mendapat barangan dengan mudah dan isu `kehabisan stok' tidak mungkin berlaku.; aktiviti sorok juga dijangka dapat dielakkan dan yang lebih penting tiada lagi pembelian panik oleh sesetengah pembeli.

Tiada ulasan: