Isnin, 7 Jun 2010

Tidak perlu keluarkan lesen peruncit

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan akan mengenakan lesen kepada setiap peruncit barang-barang kawalan seperti gula, tepung dan minyak masak serta dikenakan caj sebanyak RM10 mulai Julai depan.

Tiba-tiba kelmarin kerajaan mengumumkan pula lesen itu akan diberikan secara percuma; bermakna tidak dikenakan sebarang caj.

Apakah sebab sebenar di sebalik tindakan mengubah `dasar' itu dengan serta merta tidak diketahui secara jelas. Namun boleh diandaikan ia kerana atas sebab `desakan' pihak-pihak tertentu seblum ini seperti yang pernah disiarkan media massa.

Ada baik buruknya kesan dari keputusan mendadak itu. Baiknya kerana memuaskan hati pihak yang mendesak dan peruncit. Buruknya dilihat dari sisi imej kerajaan akan sedikit terjejas kerana kelihatan tidak begitu tegas, sedangkan jumlah caj hanya RM10 sahaja.

Berikutan itu, kini hanya diberikan lesen sahaja tetapi tidak dikenakan caj. Dari segi logiknya lesen yang dikeluarkan itu memakan kos tertentu. Lagi banyak jumlah lesen dikeluarkan lagi banyak kos yang akan ditanggung kerajaan . Ini bermakna kerajaan akan membelanja sejumlah wang kerajaan (rakyat) tanpa sebarang pulangan .

Oleh itu, pada pandangan saya jika hanya sekadar keluarkan lesen semata-mata tanpa caj ia bukan sahaja merugikan kerajaan dari segi kos tetapi juga membazirkan masa pegawai dari segi pentadbirannya . 

Justeru , lebih baik jika boleh , dikembalikan cara lama sahaja.. Apa yang mustahak ialah langkah pemantauan dan penguatkuasaan dipertingkatkan agar pengguna tidak berhadapan dengan masalah kekurangan atau ketiadaan bahan keperluan berkenaan di pasaran. Ia juga bermakna semua pihak mendapat `untung' atau kebaikan - baik peruncit, pengguna bahkan kerajaan sendiri.

Tiada ulasan: