Sabtu, 31 Julai 2010

Ada elemen gerak saraf dalam kenyataan Chua Soi Lek

Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek  kata , jika pakatan rakyat (PR) menang dalam PRU akan datang jawatan perdana menteri akan diberikan kepada parti Pas, bukan PKR seperti yang pernah diperkatakan sebelum ini.

Kenyataan Soi Lek itu saya nampak ada unsur-unsur `gerak saraf' yang cukup efektif . Sekurang-kurangnya terdapat dua elemen gerak saraf dalam kenyataan itu.

Pas adalah parti `Islam' yang selama ini `berjuang' untuk menegakkan `negara Islam' sekiranya dapat membentuk kerajaan. Masyarakat bukan Islam sangat gerun dengan gagasan politik Pas itu.

Jadi kenyataan Soi itu boleh mencetuskan perasaan bimbang dan takut di kalangan masyarakat bukan Islam. Impak kenyataan itu kepada orang bukan Islam ialah mereka akan menolak Pas, sekali gus PR.

Selain itu , impak kenyataan itu juga mencetuskan perasaan curiga dan `dengki' di antara pemimpin dan ahli parti-parti gabungan PR terhadap Pas , terutama bukan Islam. Jika ini berlaku jalinan kerjasama antara mereka akan sedikit goyah.

Sekiranya kedua-dua elemen ini menjadi kenyataan ruang dan peluang kepada BN terbuka untuk dimanfaatkan.

Saya tidak tahu sejauh mana pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong BN akan mencekup ruang dan peluang itu, jika ditakdirkan berlaku.

Sekarang ini pun kita boleh tengok apa tindak balas susulan oleh para pemimpin BN sendiri terhadap kenyataan Soi Lek itu.

Kita tunggu dan kita lihat. Dalam dunia ini siapa smart dia hebat. Siapa hebat dia dapat.

Khamis, 29 Julai 2010

Waktu operasi pasar raya UMNO ada kuasa

Naib Ketua Puteri UMNO, Shahanim Mohd. Yusof mengadu kepada akhbar Utusan Malaysia di Sungai Petani bahawa waktu operasi pasar raya besar yang bermula seawal jam 8 pagi itu memberi ancaman kepada peniaga-peniaga kecil, terutama mereka yang berniaga di pasar basah dan pasar tani.

Katanya ,"Pasar raya besar mengambil peluang memintas pembeli. Malah, tindakan menjual barangan yang serupa (di pasar basah dan pasar tani) dan ada kalanya jauh lebih murah, meninggalkan implikasi negatif terhadap peniaga kecil tempatan"

Menurutnya, " Dahulu ia dibenarkan beroperasi mulai pukul 10 (pagi) namun sekarang mereka buka seawal 8 pagi. Situasi ini meninggalkan kesan langsung kepada peniaga kecil tempatan yang rata-ratanya terdiri daripada orang Melayu dan bumiputera".

Tambahnya lagi," Lama kelamaan pasar harian atau pasar tani tidak dapat diadakan kerana pembeli lebih berminat pergi ke pasar raya besar"..

Sumber : Utusan Malaysia , 29 Julai 2010

Betul juga kata Naib Ketua Puteri UMNO itu. Namun , saya kira ia tidak sukar untuk mengatasinya. Kuasa membuat peraturan dan undang-undang ada pada tangan UMNO. Buatlah peraturan , selesailah masalah.   

Penghakisan hak orang Melayu, salah siapa ?

Pada suatu ketika dulu seorang watak penting dalam epik Melayu, Hang Tuah, pernah meninggalkan ungkapan bermakna iaitu: "Melayu tak akan hilang di dunia".

Ungkapan itu berlaku beratus-ratus tahun lalu ketika kegemilangan kuasa Melayu di rantau Nusantara ini. Waktu itu semua orang tahu kekuasaan Melayu cukup kuat  sehingga wilayah taklukannya merentasi kepuluan Melayu di rantau ini.

Kekuasaan itu, walaupun mengecil kemudiannya yang hanya di sekitar Tanah Melayu sahaja ketika mencapai kemerdekaan pada 1957, namun kekuatan itu terus kekal sehinggalah pilihan raya umum Mac 2008. . Kekuatan itu diperkukuhkan lagi dengan penubuhan negara baru yang diberi nama Malaysia pada 1963 di mana Sarawak dan Sabah turut menjadi sebahagian daripadanya.

Singapura yang pada mulanya turut serta tetapi kemudiannya keluar untuk menjadi sebuah negara `asing' pada tahun 1965 dan ditadbir oleh sebuat parti politik yang diberi nama People Action Party (PAP) yang  berdasarkan prinsip kesamarataan dan menggunakan sistem meritokrasi.

Sebuah parti yang juga hampir sama konsepnya ditubuhkan di Malaysia. Parti itu diberi nama Democratic Action Party (DAP). Kebanyakan parti itu dianggotai bukan Melayu atau Bumiputra.   

Selepas pilihan raya umum 2008 parti itu menguasai dan menerajui secara langsung negeri Pulau Pinang dan tidak langsung di Selangor dan Perak, namun atas beberapa sebab Perak terjatuh kembali ke tangan BN. Yang masih kekal tinggal ialah Pulau Pinang dan Selangor.

Pelbagai isu yang berkaitan dengan hak Bumiputra terus berbangkit di negeri-negei berkenaan. Terbaru adalah mengenai penghakisan hak potongan nilai harga pemilikan hartanah untuk Bumiputra khususnya di Selangor yang dibangkitkan oleh salah seorang wakil rakyat DAP. Riuh rendahlah sekampung orang Melayu dibuatnya.

Tetapi apa boleh buat nasi hampir menjadi bubur. Lagi pun seperti kata peribahasa Melayu " Anjing menyalak bukit tak kan  runtuh " !

Kesilapannya saya rasa adalah orang Melayu juga. Ketika diberi kuasa selama lebih 50 tahun orang Melayu akhirnya leka atau terlalu ghairah dengan kuasa yang ada atau mungkin sebahagian kecilnya ada niat tidak ikhlas dalam mengurus kuasa sehingga kuasa hilang agak banyak bak darah mengalir ketika luka membesar.

Justeru, sesiapa pun dari kalangan orang Melayu sama ada yang ada hak untuk memberi kuasa (rakyat) atau yang berhak menerima kuasa (kerajaan) perlulah mengambil ini sebagai iktibar dan pengajaran yang cukup besar dan jangan berulang lagi pada masa akan datang.

Ruang untuk seiapa pun , yang mungkin telah terkhilaf langkah atau membuat keputusan , masih ada untuk membuat pembetulan. Buatlah pembetulan dan beringat-ingatlah selalu. Pilihan Raya Umum untuk kali seterusnya masih ada dan semakin hari semakin hampir.

Maka gunakanlah kesempatan itu sebaik-baiknya. Yang lalu itu biarlah berlalu , masa berlalu tidak akan berpatah balik. Namun hanya yang baik sahaja dijadikan tauladan, manakala yang buruk mesti dijadikan sempadan. Ingat pesanan orang tua-tua buat baik berpada-pada , buat jahat jangan sekali . 


Rabu, 28 Julai 2010

Persada politik negara kembali kepada asal

Tahniah kepada 140,000 pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48 kerana diizinkan mencebur diri secara aktif dalam politik mulai 1 Ogos depan. Ini bermakna mereka dibolehkan memegang atau dilantik memegang apa jua jawatan politik di semua peringkat.

Bagaimanapun ia bukan perkara baru dalam arena politik negara kerana ianya pernah diamalkan sebelum pindaan Perkara 21, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (kelakuan dan tatatertib) 1993.

CUEPACS pula dilaporkan memohon agar selain kumpulan pendidikan (DG) pun diberi kebenaran sama. Ini kerana mengikut skim gaji dan perjawatan dalam Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang digunapakai dalam perkhidmatan awam sekarang selain kumpulan DG terdapat banyak lagi seperti M, N, S, J, U,.DS dan sebagainya. Menurut CUEPACS kumpulan tersebut yang berada pada gred sama dianggarkan 350,000.

Saya bersetuju dengan cadangan CUEPACS itu asalkan penyandang gred-gred berkenaan tidak terlibat dalam tugas - tugas pentadbiran yang diberi kuasa membuat keputusan seperti ketrua jabatan misalnya . Ini kerana dibimbangi akan mempengaruhi sikap ketika membuat sesuatu keputusan dan tindakan terhadap i sesuatu isu , khususunya yang berkaitan dengan rakyat.

Saya rasa tidak ada apa salahnya jika mereka juga diberikan hak yang sama. Apa yang penting jawatan di dalam politik itu tidak digunakan untuk tujuan peribadi dan politik kepartian ketika menjalankan tugas-tugas awam di tempat kerja.

Andainya mereka juga diberikan kebenaran yang sama sudah pasti jumlahnya menjadi  490,000 kesemuanya dari jumlah keseluruhan 1.2 juta kakitangan awam. Ini suatu jumlah yang agak besar . Walaupun tidak mungkin semua mereka akan melibatkan diri secara aktif dalam politik namun, ruang sudah dibuka dan hanya terpulang kepada cita rasa mereka sahaja.

Apa pun setakat ini masyarakat umum tidak mengetahui setakat mana ruang kebenaran itu dibuka kerana tidak dinyatakan dengan jelas . Ini bermakna mereka boleh menyertai dan bergerak aktif dalam mana-mana parti jua , tidak kira kerajaan atau pembangkang. 

Dalam hal ini ada baik dan buruknya kepada kerajaan , namun dirasakan kerajaan tentu mempunyai pengalaman tertentu kerana ianya pernah diamalkan sebelum ini. Walau bagaimanapun dengan melihat kepada situasi politik semasa negara langkah yang diambil kerajaan itu diharapkan akan mendatangkan pulangan yang memberangsangkan dan bukan sebaliknya. Tidak kiralah sama ada mereka itu dari golongan perkhidmatan pendidikan atau lain-lain perkhidmatan (jika dibenarkan).     

Jelaskan perbazaan haram zati dan a'ridhi kepada umum

Isu terkini kepada umat Islam di Malaysia adalah berkaitan dengan sijil halal dan logo halal terutama di premis makanan/minuman. Sebuah restoran kopitiam di Kepong dilaporkan ditutup atas sebab berkaitan dengan dua perkara tersebut.

Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) adalah satu-satunya agensi kerajaan yang diberi kuasa khusus mengenai pengeluaran, pelesenan dan pemantauan berkaitan dengan penyediaan makanan/minuman halal di di negara ini .

Namun barangkali disebabkan terpengaruh dengan dasar penswastaan atau persyarikatan Malaysia yang diperkenalkan pada awal 1980-an dahulu, kedua-dua perkara itu juga turut diswastakan.

Justeru , dengan alasan berurusan dengan Jakim mengahdapi banyak `karenah' , `tidak cekap' dan prosedur yang ketat pihak pengusaha makanan/minuman , terutama restoran-restoran yang diusahakan oleh orang bukan Islam mengambil jalan mudah berurusan dengan pihak swasta.

Oleh kerana pihak swasta juga menguruskan tanggungjawab itu atas dasar `perniagaan' maka dipermudahkan lagi dengan hanya melalui telefon sahaja dan hanya ditanya dua soalan sahaja iaitu `adakah ada daging babi' atau `arak' lalu diluluskan permohonan dan dapatlah kedua-dua perkara itu .

Lalu yang menjadi mangsanya adalah umat Islam yang gemar mengunjungi tempat-tempat sedemikian. Yang menggelikan hati baru-baru ini media melaporkan Jakim sendiri `meragui' cara pengeluaran kedua-dua perkara tersebut oleh syarikat yang mereka sendiri berikan kebenaran.

Mengenai perkara haram dan halal ini sepatutnya tidak perlu kepada tolak ansur dari awal-awal lagi. Agensi agama Islam hendaklah dijadikan sebagai `pihak berkuasa tunggal' dalam pengurusan kedua-dua perkara tersebut , bukan dengan cara dikongsikan bersama pihak lain seperti pihak swasta. Apatah lagi jika di sana ada unsur-unsur `perniagaan' yang pastinya bermatlamatkan keuntungan.

Ini bukan apa, ia bertujuan supaya umat Islam terpelihara daripada mengambil makanan/minuman yang status haramnya bersifat a'ridhi seperti daging ayam, lembu dan sebagainya; bukan zati seperti daging babi. Maknanya soal haram itu bukan sahaja hanya kepada haram zati (daging babi) tetapi juga haram a'ridhi (daging ayam dan seumpama).

Oleh itu wajarlah jika Akta Perihal Perdagangan 1972 itu dipinda bagi membolehkan kuasa tunggal dalam pengeluarkan sijil halal dan logo halal ini diberikan hanya kepada pihak berkuasa agama Islam sahaja; baik di peringkat pusat atau negeri.

Agensi-agensi itu pula mestilah mengambil tanggungjawab sepenuhnya menguruskan kedua-dua perkara tersebut  dengan penuh kecekapan agar tidak menimbulkan kesusahan kepada pihak pengusaha dan boleh memberi gambaran buruk terhadap agama Islam dan terhadap institusi itu sendiiri.

Agensi agama Islam hendaklah juga sentiasa mengwar-warkan mengenai takrif atau konsep haram zati dan haram a'ridhi pada makanan/minuman khususnya, supaya umat Islam umumnya dapat memahami maksud halal dan haram dalam penyediaan makanan/minuman kepada umat Islam.

Selasa, 27 Julai 2010

UMNO/BN tunggu apa lagi

Laporan terkini mengenai pola pengundi di Malaysia memaklumkan 62 peratus daripada tujuh juta pengundi muda tidak memihak kepada mana-mana parti politik. Ini suatu petunjuk yang tidak begitu menggalakkan !

Golongan muda juga sepatutnya mempunyai pendirian tetap , sama ada menyokong atau menolak mana-mana parti politik mengikut `selera' masing-masing seperti mana pengundi lama.

Kecenderungan untuk memihak atau menentang kepada mana-mana parti politik adalah perkara biasa dalam amalan sistem demokrasi dan ia sangat-sangat dikehendaki bagi merancakkan lagi pentas politik negara, malah masa depan bangsa, agama dan negara juga..

Sikap atau pendirian menyokong atau sebaliknya tidak semestinya terhadap ideologi semata-mata tetapi boleh jadi  kepada cara dan pendekatan yang ditunjukkan oleh sesebuah parti terhadap sesuatu dasar atau isu yang wujud ; baik isu politik , kenegaraan, kegamaan, kebudayaan, pendidikan dan sebagainya.

Kecenderungan seseorang individu terhadap mana-mana parti politik itu juga tidak semestinya diukur dari segi penyertaan dan keahliannya semata-mata tetapi boleh terjadi dalam bentuk lain seperti perlakuan dan tindakan.

Petak membuang undi atau peti undi tidak memerlukan keahlian seseorang tetapi kecenderungan seseorang pengundi. 

Jika ada pihak yang menentang kerajaan mengenai sesuatu isu misalnya tidak semestinya menggambarkan penentangan terhadap ideologi parti yang mendukung kerajaan itu secara keseluruhannya , begitulah juga sebaliknya.

Oleh itu , pendirian yang `tidak kemana-mana' ini perlu diubah sepaya wujud suatu bentuk kecenderungan ke arah tertentu yang lebih khusus dan menasabah. Terpulang kepada selera masing-masing dan terpulang juga kepada partii-parti politik untuk mengambil peluang ini membentuk kecenderungan golongan tersebut .

Dalam hubungan ini sudah tentu siapa cekap dia dapat.

Parti mana yang merasa selesa dengan kedudukan mereka sekarang akan hanya melihat sahaja situasi ini dan membiarkannya berlalu  . 

Mana-mana parti politik yang merasa tidak selesa dengan situasi sekarang dan jangkaan pada masa akan datang akan merubut peluang dan raung ini .

UMNO/BN tunggu apa lagi.


Rabu, 21 Julai 2010

Hmmm beginilah politik kita..

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria didakwa `menipu' oleh pemimpin politik tertentu seperti disiarkan media kelmarin. Ini berikutan kenyataannya bahawa beliau telah didatangani beberapa pemimpin UMNO dan Pas  sebelum itu untuk membincangkan berkaitan dengan dayausaha `menyatukan' kedua-dua parti terbut demi kepentingan ummah. Maka ketika membaca mengenai dakwaan itu perasaan saya amat meraguinya kerana beliau adalah seorang Mufti, tak kan nak berbohong !

Hari ini media menyiarkan penafiannya terhadap dakwaan berkenaan. Saya amat yakin apa yang dinyatakan oleh beliau itu adalah benar. Sebagai seorang yang alim lagi warak tak akan tergamak sama sekali beliau sanggup berbohong atau bercakap tidak benar demi `dunia'. Lagi pun beliau tidak terbabit dengan politik berpartian. Pasti tiada kepentingan diri dalam kenyataannya itu.

Hmmm....Beginilah politik bangsa kita...

Jumaat, 16 Julai 2010

Renungan hari Jumaat

Ingat mengingat itu adalah satu kebaikan kepada orang-orang Mukminin dan Mukminat. Oleh itu pada hari Jumaat yang mulia ini mari sama-sama kita ingatkan diri kita dan kaum sekalian kaum Mukminin dan Mukminat  menerusi maksud ayat-ayat al-Quran seperti berikut, mudah-mudahan kita mendapat rahmat dan keradaan Allah SWT.

Maksud al-Quran dari surah al-Maidah:-

*   Ayat 90 : "Wahai orang-orang yang beriman ! Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang anak panah itu adalah kotor (keji) dari perbuatan syaitan; oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya". 

*  Ayat 91 : " Sesungguh syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu , mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?"

             

Khamis, 15 Julai 2010

Jalinan kerjasama tidak semestinya sebab lemah

Perdana Menteri, yang juga Presiden UMNO , Datuk Seri Najib Tun Razak dalam laporan akhbar hari ini menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa UMNO ketika ini berada di dalam keadaan lemah, justeru terpaksa sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak, termasuk Pas.

Bekerjasama dengan Pas, saya kira, bukanlah petanda UMNO lemah tetapi untuk menambahkan lagi kekuatan yang sedia ada dan mengurangkan masalah yang sedang melanda masyarakat Melayu selepas  pilihan raya umum 2008.

Jadi,  gagasan itu membawa erti ke arah memantapkan lagi kuasa politik orang Melayu yang telah terhakis sejak pilihan raya umum ke -12  itu dan diikuti dengan masalah perpecahan orang Melayu yang terlalu serius sekarang ini sehingga boleh diperkotak katikan oleh pihak-pihak berkepentingan.

Pas merupakan parti orang Melayu kedua tertua di negara ini selepas UMNO dan ia juga merupakan parti pembangkang yang paling tua. Kedua-duanya pernah bekerjasama dalam Barisan Nasional pada zaman Allahyarham Tun Razak menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO sekitar awal tahun 1970-an. 

Oleh itu, saya rasa tidaklah salah sekiranya sekarang jalinan kerjasama itu dihidupkan semula demi kebaikan orang Melayu dan agama Islam. Tak kan nak dibiarkan keadaan tidak menentu yang melanda hala tuju politik orang Melayu sekarang berpanjangan.

Lagi pun, ia bukan lagi boleh dilihat sebagai masalah politik dan ideologi semata-mata tetapi hendaklah lebih menjurus kepada masalah keselamatan dan servival negara bangsa untuk masa depan. Oleh demikian pendekatan untuk `menyatukan' kedua-dua parti terbesar serta berpengaruh orang Melayu itu wajar disambut baik oleh semua golongan masyarakat Melayu. 

Rabu, 14 Julai 2010

Penyatuan Umno dan Pas tidak mustahil

Baru-baru ini bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammad mengatakan orang-orang Melayu menjadi semakin sedikit atau peratusannya semakin menguncup kerana berpecah kepada tiga puak mengikut parti politik terbesar; iaitu satu untuk UMNO , satu untuk Pas dan satu untuk PKR.

Dari segi kependudukan bangsa Melayu dikatakan berada dalam golongan `majoriti' kerana mewakili 60 peratus dari jumlah keseluruhan penduduk, namun apabila dibahagi secara kasar mengikut sifir paling mudah dalam konteks `kuasa politik'nya orang Melayu adalah golongan paling kecil iaitu 20 peratus sahaja.

Pandangan mantan PM itu, yang juga mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam politik dan pentadbiran negara,  sangat tepat dan bermakna . Wajar untuk dilihat, direnungi dan diambil iktibar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula kelmarin, membuat pengumuman UMNO bersedia untuk bekerjasama dan bersatu dengan Pas untuk kepentingan Islam orang Melayu. Difahamkan pengumuman itu mendapat respon positif daripada Datuk Nik Abd. Aziz Nik Mat selaku Mursyidul Am Pas.

Tahniah kepada kedua-duanya. Ada cahaya di sebalik terowong. Ada sinar di tirai senja dan ada nur di sudut nurani. 

Sememangnya pun UMNO dan Pas boleh bersatu atau disatukan. Kedua-duanya mempunyai `lapangan rujuk' yang sama seperti persamaan dari segi keturunan, agama, kebudayaan, adat resam, sosio ekonomi dan berbagai-bagai lagi. Yang tidak samanya ideologi politik dan cara persembahannya kepada rakyat sahaja.

Pas mempersembahkan ideologi politiknya dengan mengaitkan perjuangannya untuk membentuk negara Islam, dan UMNO pula dikaitkan sebagai mempejuangkan nasionalisme. Itu sahaja. Namun natijahnya umat Melayu menjadi kucar kacir.

Negara Islam sebagaimana pernah dilaungkan boleh ditegakkan menerusi langkah memperbanyakkan program-program dan aktiviti muamalat seperti bank , insuran, pajak gadai, pentadbiran dan lain-lain . Ini kerana dari segi ibadat dan munkahat telah lama berjalan.


Saya percaya jika cara `persembahan' itu dapat diubahsuai sejajar dengan kehendak politik semasa seperti mana Pas lakukan terhadap rakan kongsinya DAP di dalam pakatan pembangkang sekarang, tidak mustahil UMNO dan Pas boleh bersatu atau disatukan dalam tempoh terdekat ini dan tidak perlu kepada orang tengah.

Yang pentingnya sikap pemimpin perlu sama berubah dan di samping itu semangat ke arah penyatuan itu mestilah konsisten serta kuat semata-mata dengan niat untuk kebaikan agama, bangsa dan tanah air menerusi wasilah politik. Oleh itu titik persamaannya ialah keikhlasan niat dan hala tuju perjuangan iaitu ke arah mana .



Selasa, 13 Julai 2010

Peratus penurunan kelahiran bayi dan akta buruh 1955

Malaysia kini sedang berhadapan dengan dua masalah utama kependudukan iaitu masalah penguncupan kadar kelahiran bayi dan pembesaran saiz warga tuanya.

Mengikut kenyataan Timbalan Meneteri Pembangunan Wanita , Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seia Kie dalam satu sidang akhbar pada 12 Julai 2010, kadar kelahiran bayi adalah 2.2 peratus ketika ini berbanding 2.6 peratus pada tahun 2000 dan angka itu dijangka menguncup lagi pada 2030.

Dengan wujudnya fenomena itu dan di samping meingkatnya jangka hayat di kalangan warga tua , maka saiz jumlah warga golongan berkenaan dijangka mengembang.

Mengikut beliau lagi, perkembangan itu cukup membimbangkan kerana ia bukan sahaja akan memberi kesan kepada pertumbuhan penduduk tetapi juga kepada daya produktiviti dan maju negara.

Pada pandangan penulis , situasi itu berlaku kerana berpunca daripada masalah tekanan hidup yang melampau serta kian menjadi-jadi sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Jika sebelum ini pendapatan lebih RM1,500 sebulan dengan dua orang anak boleh mencukupi tetapi sekarang sudah tidak lagi. Apatah lagi sekiranya tinggal di bandar-bandar besar.

Justeru, warga muda yang baru berkahwin akan lebih berhati-hati tentang jumlah anak-anak. Bukan setakat untuk memberi makan dan pakai sahaja tetapi lebih penting lagi untuk memberi pelajaran dan jagaan. Semuanya menghendakki perbelanjaan yang besar.

Kerajaan pasti sedar perkara ini. Mungkin kerajaan juga akan berhadapan dengan situasi delima dalam meningkatkan taraf kesihatan dan taraf hidup rakyat.

Pertambahan usia warga tua salah satu faktornya kerana taraf perkhidmatan kesihatan yang baik yang diberikan kerajaan. Dengan segala kemudahan kesihatan yang ada kebelakangan ini telah membantu kelanjutan usia masyarakat.

Untuk menggalakkan peningkatan kadar kelahiran pula saya rasa bukan sahaja perlu kepada perkhidmatan nasihat atau rundingcara kependudukan tetapi juga mengenai keperluan peningkatan taraf hidup yang antaranya mungkin melibatkan kajian terhadap beberapa undang-undanh yang membabitkan pekerja, misalnya Undang-Undang Buruh 1955.

Saya difahamkan pekerja-pekerja di sektor swasta yang mendapat gaji melebihi RM1,500 sebulan tidak layak menerima elaun lebih masa. Kebanyakan mereka dari golongan eksekutif dan supervisor . Ini menyebabkan mereka yang berada di tangga gaji berkenaan menghadapi masalah kewangan. 

Oleh itu, adalah baik sekiranya peruntukan seumpama itu di dalam akta buruh berkenaan dikaji semula dan had itu dinaikkan kepada sekurang-kurangnya RM2,000 misalnya,  supaya secara tidak langsung taraf hidup mereka dapat dipertingkatkan.

Sewbagaimana kita sedia maklum pengecilan saiz kelahiran ada baik dan buruknya. Buruknya lebih kepada bertambahnya gejala sosial dan jenayah, tetapi baiknya dari segi pembangunan ekonomi di mana mereka adalah sumber tenaga yang penting. Bahkan secara teorinya kemasukkan pekerja asing juga boleh dihadkan apabila tenaga keraja tempatan dapat menampung keperluan sektor pekerjaan.

Dan begitu juga dengan jumlah penduduk yang ramai akan menambahkan lagi jumlah permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan dan ini akan membatu meningkatkan lagi aktiviti ekonomi negara. Ini pernah dijadikan rasional kepada rancangan 70 juta penduduk pada 1980-an dulu. Namun racangan itu tidak lagi kedengaran sekarang.

Ahad, 11 Julai 2010

Jakim perlu segera seragamkan fatwa

Ketidakseragaman di dalam merumuskan fatwa antara Mufti-Mufti di Malaysia wajar diberi perhatian serius oleh pihak berwajib agama, terutama di Jabatan Perdana Menteri kerana ia merupakan suatu isu yang besar yang mendatangkan kekeliruan serta kecelaruan di kalangan umat Islam dalam memahami hukum-hukum agama Islam . Lebih-lebih lagi negara ini bukan sahaja dihuni oleh umat Islam sahaja tetapi oleh orang-orang lain yang bukan beragama Islam. Imej Islam mungkin terjejas dengannya.

Memang benar Mufti bertugas mengikut negeri dan kapasiti (kuasanya) juga mengikut negeri disebabkan  Perlembagaan melakarkan sedemikian rupa. Namun dalam hal-hal atau isu-isu tertentu yang lebih bersifat `kebangsaan'  seperti misalnya isu modul program motivasi anjuran ESQ yang sedang dibahaskan sekarang .

Difahamkan program itu sudah melatih lebih 65,00 orang termasuk orang kenamaan dan keagamaan , malah sebahagiannya beberapa orang Mufti. Kini timbul isu ianya difatwakan `haram' oleh Mufti Wilayah persekutuan, sedangkan Mufti-Mufti lain tidak..

Justeru, perkara besar sebegini perlu ditangani segera. Tidak dinafikan berikutan timbul isu itu pihak Jakim telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya sedang meneliti perkembangan isu itu atau sedang mengkajinya, namun ia adalah isu lain.

Isu sebenar yang wajar diberi perhatian sama adalah isu ketidakseragaman mengeluarkan fatwa antara Mufti-Mufti negeri-negeri. Isu ini ada implikasinya terhadap pemahaman serta persepsi hukum syariat dan itikad. 

Oleh itu,  harapan yang amat tinggi oleh orang ramai agar satu peraturan atau undang-undang wajar dibuat bagi mengelak isu ketidakaseragaman fatwa itu timbul lagi pada masa depan. Mungkin mengenai isu lain pula. Ini adalah demi kebaikan bersama, baik untuk Mufti-Mufti, Jabatan agama Islam, Majlis Fatwa dan umat Islam seluruhnya.

Sabtu, 10 Julai 2010

Politik kampung atau......

Ada sesetengah pihak kata `politik kampung' itu ialah politik yang `tidak matang', `kebudak-budakan', `lurus bendul', ikut cakap orang tanpa usul periksa dan pelbagai ungkapan lagi yang menggambarkan `kebodohan'.

Benarkah begitu ? Dan wajarkah melebal sedemikian rupa kepada `orang kampung' ?.

Selaku seseorang yang diberanakkan di kampung , membesar di kampung, hidup di kampung dan masih berulang alik ke kampung kerana masih ramai saudara mara dan keluarga di kampung, walaupun kini menetap di bandar, saya percaya ungkapan itu sangat tidak patut.

Jika sekalipun mentang-mentang kita membesar di bandar, bersekolah di bandar, beruniversiti di bandar dan sebagainya tak bolehlah kita berasa angkuh sedemikian cara lantas memperlekehkan cara orang kampung berfikir dengan mengeluarkan ungkapan-ungkapan yang kurang manis yang menunjukkan suatu penghinaan kepada orang kampung , semata-mata mungkin kerana pandangan seseorang itu tidak sehebat pandangan kita yang ada `banyak ilmu' itu.

Kita perlu sedar kampung sekarang bukan lagi macam kampung dulu-dulu, orang kampung sekarang pun bukan lagi macam orang kampung dulu-dulu. Kampung sekarang sudah ada berbagai kemudahan asas. Orang kampung sekarang sudah banyak yang ada ijazah, bukan lagi buta huruf.
Seperti orang bukan kampung, orang kampung juga boleh berfikir dengan baik, boleh guna pelbagai sumber maklumat termasuk internet dan lain-lain.

Politik kampung sekarang bukan lagi ikut secara sembrono sahaja tetapi berdasar kepada  rasional akal, sebab itu jika ada mana-mana parti politk buat sesuatu yang tidak menasabah mereka kritik atau mereka berikan pandangan.

Salahkah jika mereka berikan pandangan walaupun mungkin tak setanding dengan orang bukan kampung ?

Tentu tidak salah kan ! Jadi, sama ada politik kampung atau politik bukan kampung, jika sesebuah parti politik itu sentiasa berubah-ubah kenyataannya atau kabur pendiriannya , khususnya yang berkaitan dengan dasar parti dan boleh menyebabkan timbul kekeliruan ramai orang kampung pun akan tegur juga, tapi cara orang kampunglah. 

Begitu juga jika sesebuah parti politik itu yang pucuk pimpinannya cakap lain, ketua sayap parti cakap lain pada isu sama , pun kena tengok-tengok juga kerana itu menggambarkan sesuatu yang `tidak kena' dengan pengurusan dasar parti berkenaan yang boleh menyebabkan orang ramai terkeliru dan sekali gus menggambarkan ketidak jelasan hala tuju parti politik berkenaan.

Oleh itu jika terdapat sesuatu tanggapan atau pandangan orang ramai , tak kiralah di mana atau siapa mereka , yang kita tafsirkan sebagai negatif janganlah pula kita cepat latah lalu melebalkan mereka itu  sebagai politik kampung dan sebagainya.

Kita pun kena sedar dan ingat juga selagi kita bernama bangsa Melayu, selagi itulah kita memang berdagingdarahkan orang kampung.Hanya amat sedikit yang berdagingdarahkan bukan kampung ,  sekiranya sekalipun kita bukan dilahirkan di kampung  namun asal usul kita memang dari kampung dan sudah tentu warna asal kita ialah warna kampung.

.

Jumaat, 9 Julai 2010

Renungan Jumaat - sempena sambutan Israk Mikraj

Maksud al-Quran dari surah al-Israk :

" Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari masjidil haram (di Makkah) ke masjidil aqsa (di Palestin) ,yang kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang amat mendengar lagi amat melihat". - ayat 1.

" Dan Kami telah memberikan kepada nabi Musa kitab (Taurat) dan Kami jadikan kitab itu pertunjuk hidayah bagi Bani Israel (serta Kami perintahkan kepada mereka); " Janganlah kamu jadikan yang lain daripada Ku sebagai Tuhan (untuk menyerahkan urusan kamu)." - ayat 2.

------------------------------

" Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu maka janganlah engkau berkata kepada mereka ( sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan `ah' , dan janganlah engkau menengking menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)" - ayat23

" Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata)" Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayang ketika memlihara dan mendidikku semasa kecil".- ayat 24.

Rabu, 7 Julai 2010

Halal cara demi matlamat

DAP, PKR dan Pas adalah merupakan rakan kongsi dalam Pakatan Rakyat (PR). Mereka kelihatan mempunyai matlamat yang satu tetapi objektif yang berbeza.

Matlamatnya ialah untuk menang di dalam pilihan raya, terutama pilihan raya umum kerana dengannya membolehkan mereka menubuhkan kerajaan di peringkat pusat atau negeri.

Objektifnya adalah jelas berbeza antara satu sama lain. Ini jelas kelihatan pada konsep negara yang akan ditubuhkan jika mereka menang.

Pas , seperti umum sedia maklum sejak dahulu lagi, ingin mengujudkan sebuah negara berkonsepkan `pemerintahan Islam' , sedangkan DAP pula secara jelas mahukan konsep sekular. Manakala PKR boleh dikatakan sama seperti DAP. Dalam erti kata lain ialah one Vs two.

Oleh kerana antara mereka terdapat objektif berbeza maka tidak hairanlah sekiranya antara mereka kerap berlaku `percanggahan kenyataan', terutama mengenai konsep kenegaraan.

Baru-baru ini misalnya berlaku lagi `kekecohan' mengenai konsep negara Islam yang menjadi cita-cita Pas sejak sekian lama. Gagasan Pas itu dipertikaikan oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh, malah menolaknya . Bukan sekali beliau menyatakan pendiriannya secara terbuka itu, bahkan berulang kali.

Walau pun begitu, Pas masih tidak kelihatan tersinggung dengan kenyataan itu dan mengambil kisah. Bahkan pada kali ini Pas menganggapkan kenyataan itu sebagai kenyataan `peribadi' Karpal sahaja dan bukan cerminan prinsip dan objektif perjuangan DAP .

Tak tahulah apa sebabnya, namun ia bolehlah diandaikan bahawa Pas ingin menjaga hati pemimpin lain dalam DAP dan juga para penyokongnya supaya mereka tidak tawar hati untuk memberi sokongan kepada Pas apbila tiba pilihan raya nanti.

Sekiranya itulah sebabnya maka ia bolehlah juga dikatakan sebagai `matlamat menghalalkan cara' di mana Pas mesti terima kenyataan itu sekalipun amat pahit baginya demi untuk mencapai matlamat `berkongsi kuasa' memerintah negara sekiranya menang dalam pilihan raya umum akan datang .

Justeru, tidak sukar untuk diandaikan sekiranya kenyataan `sekeras' itu terkeluar dari mulut pihak pesaingnya tentulah nada kenyataan balasnya agak berbeza .  Wallahu a'lam bissawab.

Selasa, 6 Julai 2010

Niat baik cara pelaksanaannya kena betul

Saya amat tertarik dengan kenyataan berikut:-

"Dari segi moralnya, berbogel di hadapan orang sudah salah, termasuklah ketika berlakon memang tidak boleh.. Ia salah di sisi agama dan juga undang-undang. Ini kerana membuka aurat juga sudah berdosa apatah lagi berbogel seperti itu".

"Orang dah buat filem beratus tahun, malah di negara ini Allahyarham Tan Sri P. Ramalee sendiri sudah menghasilkan banyak filem namun tidak sampai ke tahap perlu berbogel untuk mendidik".

Kenyataan di atas terdapat dalam laporan berita Utusan Malaysia terbitan hari ini di bawah tajuk " Jakim diarah siasat pelakon mengaku bogel"
Ia memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika beliau diminta mengulas kenyataan seorang pelakon lelaki filem `Dalam Botol', yang dikatakan mengaku berbogel di hadapan 10 orang krew filem tersebut kepada wartawan Mingguan Malaysia dan disiarkan dalam sisipan Pancaindera Ahad lalu.

Mungkin niat (tujuan) pelakon itu baik iaitu untuk menyampaikan sesuatu mesej yang `baik' yang boleh dijadikan `pengajaran' kepada penonton tetapi dari sudut lain caranya mempersembahkan niat itu tidak kena atau tepat , menjadikan niatnya tidak berjaya disampaikan .

 
Mudah-mudahan kenyataan tersebut memberi manfaat kepada kita semua dan tujuan saya memaparkan semula kenyataan tersebut pun adalah untuk kita sama-sama berkongsi ilmu pengetahuan , khususnya mengenai hukum hakam agama dan tata susila adat budaya bangsa.  

Isnin, 5 Julai 2010

Minta pantau harga barang keperluan menjelang Ramadhan

Biasanya pada setiap tahun menjelang bulan Ramadhan yang mana bulan untuk umat Islam berpuasa harga barang-barang keperluan harian terutamanya seperti ikan, sayur-sayuran, telor dan lain-lain akan naik mendadak . Kenaikan harga itu bukan sahaja di kedai-kedai runcit malah di mana-mana jua, termasuk pasar tani atau pekan nat .

Begitulah agaknya pada tahun ini.  Saya baru pulang dari pekan nat kerana membeli barang-barang keperluan harian. Sebahagian dari barang keperluan tersebut didapati sudah mula dinaikkan harganya. Harga cili merah misalnya sudah naik secara mendadak. Kelmarin, mengikut kata penjual, dijual dengan harga RM20 sekilogram dan sebelum itu hanya belasan ringgit sahaja tetapi hari ini sudah mencecah RM22. Esok belum tahu lagi !

Bulan puasa lagi sebulan . Apa akan terjadi ?  Kecuali barang-barang kawalan seperti tepung, dan gula, lain-lain barang-barang keperluan dijangka akan naik mendadak; bahkan mungkin terkeluar dari kadar "berpatutan".

Fama yang bertanggungjawab terhadap pasar tani di seluruh negara diharap tidak terlepas pandang mengenai pekara ini. Tolong lebih sikit pamantauan agar harga barang-barang keperluan di pasar tani tidak dinaikkan secara keterlaluan.

Selebih itu, juga diharapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK) agar memberi perhatian sama terhadap isu ini . Ini adalah harapan dari orang-orang kurang berada dan orang-orang kampung.

Ia bukan bertujuan untuk mengajar itik berenang tetapi sekadar merayu dan mengingatkan sahaja. Terima kasih.

Ahad, 4 Julai 2010

Umno kena tawan hati orang Melayu

Pilihan Raya Umum ke 13 akan datang merupakan ujian penting kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengambil alih tampuk pemerintahan selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Mac 2009.

Prestasi DS Najib selama tempoh `percubaan' itu akan dinilai oleh rakyatnya. Namun oleh kerana sistem pemerintahan negara ini berdasarkan kepada parti dan kebetulan parti yang menjadi pemerintah ialah BN, maka semua pihak yang dianggap sebagai pemimpin (BN) seperti menteri kabinet, wakil-wakil rakyat , malah pemimpin-pemimpin sayap parti gabungan , terutama Umno juga diambil kira rakyat.

Ini bermakna sekiranya DS Najib dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin tiada masalah  di dalam kepimpinannya , namun jika ada segolongan yang lain sering membuat masalah sehingga menyebabkan orang ramai `fed up' , sudah pasti padahnya akan menimpa BN secara keseluruahannya.

Perilaku seorang dua pemimpin sayap UMNO misalnya, yang mempamerkan perilaku yang  membawa masalah kepada imej baik Umno seperti memperlihatkan secara terbuka serta berulang kali perasaan bermusuh dengan NGO (Melayu) tertentu yang perjuangannya membela hak orang Melayu mengikut lunas Perlembagaan perlu dielakkan.

Apatah lagi apabila mengeluarkan kenyataan dengan pelbagai gelaran yang jijik hanya sanya kerana hendak mempertahankan kenyataan pihak lain yang kabur niatnya maka ini adalah petanda buruk yang tidak boleh dibiarkan berterusan .

Justeru pucuk pimpinan Umno kenalah berhati-hati dengan golongan ini kerana ia boleh mendatangkan padah kepada Umno sendiri pada pilihan raya akan datang. Padahnya ialah apabila orang Melayu sendiri merasa jelek dengan perilaku sedemikian itu dan diikuti dengan tindakan semasa mengundi.

Ingatlah antara punca orang Melayu menolak BN dan Umno khususnya pada pilihan raya umum 2008 lalu adalah disebabkan perasaan meluatnya dengan cara tidak betul yang dilakukan pada sebelum diadakan PRU itu.

Sepatutnya gejala itu dijadikan pengajaran bagi memperbaiki tingkah laku dan tindakan seterusnya, bukan mengulanginya lagi. Dan sepatutnya semua peringkat pemimpin Umno buat cara terbaik bagi memenangi serta menawan hati orang Melayu di samping hati orang lain, bukan dengan cara `mencari fasal' untuk bermusuh dengan orang Melayu .

Kasihanilah dengan DS Najib.

Jumaat, 2 Julai 2010

Renungan hari Jumaat

Maksud al-Quran, " Bandingan (perbelanjaan - derma) orang-orang yang membelanja hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji , dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah amat luas (rahmat) kurniaan-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya" .  Ayat  261, surah al-Baqarah.

Hari ini hari Jumaat - penghulu segala hari bagi umat Islam. Pada hari ini kita digalakkan membanyakkan ibadat seperti membaca al-Quran, zikirullah, selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, bersedekah, beriktikaf dan lain-lain.

Oleh itu sama-samalah kita ambil peluang yang ada pada kita untuk melakukannya sedaya mungkin.  Wallahu a'lam.

Khamis, 1 Julai 2010

Apakah salah ibu mengandung ?

Kesihan sungguh melihat nasib Melayu Pulau Pinang, tak habis-habis dirundung malang selepas PRU 2008.

Tidak lama selepas pilihan raya umum itu seorang ketua UMNO bahagian digantung keahliannya beberapa tahun kerana didakwa membuat kenyataan `menghasut' dan bersifat `perkauman' di suatu ceramah politik semasa kempen pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh. Bagaimanapun hukuman itu dikhabarkan ditarik balik baru-baru ini.

Selepas peristiwa itu dikhabarkan beberapa gerai makanan pula dirubuhkan. Yang paling mendapat perhatian media massa ialah sebuah gerai atas pokok yang diberi nama Do Re  Me cafe yang dirubuh lebih kurang sebulan sudah.

Terkini dikhabarkan pula 200 penduduk Kampung Jalan Pokok Asam , Jelutong yang tinggal di situ lebih 90 tahun `dihalau' keluar oleh sebuah syarikat pemaju hartanah yang berpangkalan di Kuala Lumpur bagi kerja-kerja projek kediaman bertingkat yang dianggar bernilai RM800,00 setiap unit.

Dikhabarkan juga penduduk di kampung itu bekerja sebagai nelayan dan berikutan pengambilan tanah itu mereka dikatakan akan dibayar pampasan RM75,000. Tetapi tiada ganti tempat kediaman .

Walau bagaimanapun dikhabarkan kes itu masih dalam proses rayuan di mahkamah dan pihak pemaju dikatakan bersetuju menangguh `pengusiran' itu hingga bulan Oktober depan.

Itulah sebahagian dari kisah duka yang diceritakan berlaku di Pulau Pinang selepas PRU ke-12 lalu. Bagaimana pula dengan PRU ke-13 akan datang. Hanya Allah SWT yang maha mengetahui.