Sabtu, 10 Julai 2010

Politik kampung atau......

Ada sesetengah pihak kata `politik kampung' itu ialah politik yang `tidak matang', `kebudak-budakan', `lurus bendul', ikut cakap orang tanpa usul periksa dan pelbagai ungkapan lagi yang menggambarkan `kebodohan'.

Benarkah begitu ? Dan wajarkah melebal sedemikian rupa kepada `orang kampung' ?.

Selaku seseorang yang diberanakkan di kampung , membesar di kampung, hidup di kampung dan masih berulang alik ke kampung kerana masih ramai saudara mara dan keluarga di kampung, walaupun kini menetap di bandar, saya percaya ungkapan itu sangat tidak patut.

Jika sekalipun mentang-mentang kita membesar di bandar, bersekolah di bandar, beruniversiti di bandar dan sebagainya tak bolehlah kita berasa angkuh sedemikian cara lantas memperlekehkan cara orang kampung berfikir dengan mengeluarkan ungkapan-ungkapan yang kurang manis yang menunjukkan suatu penghinaan kepada orang kampung , semata-mata mungkin kerana pandangan seseorang itu tidak sehebat pandangan kita yang ada `banyak ilmu' itu.

Kita perlu sedar kampung sekarang bukan lagi macam kampung dulu-dulu, orang kampung sekarang pun bukan lagi macam orang kampung dulu-dulu. Kampung sekarang sudah ada berbagai kemudahan asas. Orang kampung sekarang sudah banyak yang ada ijazah, bukan lagi buta huruf.
Seperti orang bukan kampung, orang kampung juga boleh berfikir dengan baik, boleh guna pelbagai sumber maklumat termasuk internet dan lain-lain.

Politik kampung sekarang bukan lagi ikut secara sembrono sahaja tetapi berdasar kepada  rasional akal, sebab itu jika ada mana-mana parti politk buat sesuatu yang tidak menasabah mereka kritik atau mereka berikan pandangan.

Salahkah jika mereka berikan pandangan walaupun mungkin tak setanding dengan orang bukan kampung ?

Tentu tidak salah kan ! Jadi, sama ada politik kampung atau politik bukan kampung, jika sesebuah parti politik itu sentiasa berubah-ubah kenyataannya atau kabur pendiriannya , khususnya yang berkaitan dengan dasar parti dan boleh menyebabkan timbul kekeliruan ramai orang kampung pun akan tegur juga, tapi cara orang kampunglah. 

Begitu juga jika sesebuah parti politik itu yang pucuk pimpinannya cakap lain, ketua sayap parti cakap lain pada isu sama , pun kena tengok-tengok juga kerana itu menggambarkan sesuatu yang `tidak kena' dengan pengurusan dasar parti berkenaan yang boleh menyebabkan orang ramai terkeliru dan sekali gus menggambarkan ketidak jelasan hala tuju parti politik berkenaan.

Oleh itu jika terdapat sesuatu tanggapan atau pandangan orang ramai , tak kiralah di mana atau siapa mereka , yang kita tafsirkan sebagai negatif janganlah pula kita cepat latah lalu melebalkan mereka itu  sebagai politik kampung dan sebagainya.

Kita pun kena sedar dan ingat juga selagi kita bernama bangsa Melayu, selagi itulah kita memang berdagingdarahkan orang kampung.Hanya amat sedikit yang berdagingdarahkan bukan kampung ,  sekiranya sekalipun kita bukan dilahirkan di kampung  namun asal usul kita memang dari kampung dan sudah tentu warna asal kita ialah warna kampung.

.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

orang kampung menjadi tunjang kepada politik di Malaysia. Tanpa orang kampung persada politik di Malaysia tidak hidup