Khamis, 29 Julai 2010

Penghakisan hak orang Melayu, salah siapa ?

Pada suatu ketika dulu seorang watak penting dalam epik Melayu, Hang Tuah, pernah meninggalkan ungkapan bermakna iaitu: "Melayu tak akan hilang di dunia".

Ungkapan itu berlaku beratus-ratus tahun lalu ketika kegemilangan kuasa Melayu di rantau Nusantara ini. Waktu itu semua orang tahu kekuasaan Melayu cukup kuat  sehingga wilayah taklukannya merentasi kepuluan Melayu di rantau ini.

Kekuasaan itu, walaupun mengecil kemudiannya yang hanya di sekitar Tanah Melayu sahaja ketika mencapai kemerdekaan pada 1957, namun kekuatan itu terus kekal sehinggalah pilihan raya umum Mac 2008. . Kekuatan itu diperkukuhkan lagi dengan penubuhan negara baru yang diberi nama Malaysia pada 1963 di mana Sarawak dan Sabah turut menjadi sebahagian daripadanya.

Singapura yang pada mulanya turut serta tetapi kemudiannya keluar untuk menjadi sebuah negara `asing' pada tahun 1965 dan ditadbir oleh sebuat parti politik yang diberi nama People Action Party (PAP) yang  berdasarkan prinsip kesamarataan dan menggunakan sistem meritokrasi.

Sebuah parti yang juga hampir sama konsepnya ditubuhkan di Malaysia. Parti itu diberi nama Democratic Action Party (DAP). Kebanyakan parti itu dianggotai bukan Melayu atau Bumiputra.   

Selepas pilihan raya umum 2008 parti itu menguasai dan menerajui secara langsung negeri Pulau Pinang dan tidak langsung di Selangor dan Perak, namun atas beberapa sebab Perak terjatuh kembali ke tangan BN. Yang masih kekal tinggal ialah Pulau Pinang dan Selangor.

Pelbagai isu yang berkaitan dengan hak Bumiputra terus berbangkit di negeri-negei berkenaan. Terbaru adalah mengenai penghakisan hak potongan nilai harga pemilikan hartanah untuk Bumiputra khususnya di Selangor yang dibangkitkan oleh salah seorang wakil rakyat DAP. Riuh rendahlah sekampung orang Melayu dibuatnya.

Tetapi apa boleh buat nasi hampir menjadi bubur. Lagi pun seperti kata peribahasa Melayu " Anjing menyalak bukit tak kan  runtuh " !

Kesilapannya saya rasa adalah orang Melayu juga. Ketika diberi kuasa selama lebih 50 tahun orang Melayu akhirnya leka atau terlalu ghairah dengan kuasa yang ada atau mungkin sebahagian kecilnya ada niat tidak ikhlas dalam mengurus kuasa sehingga kuasa hilang agak banyak bak darah mengalir ketika luka membesar.

Justeru, sesiapa pun dari kalangan orang Melayu sama ada yang ada hak untuk memberi kuasa (rakyat) atau yang berhak menerima kuasa (kerajaan) perlulah mengambil ini sebagai iktibar dan pengajaran yang cukup besar dan jangan berulang lagi pada masa akan datang.

Ruang untuk seiapa pun , yang mungkin telah terkhilaf langkah atau membuat keputusan , masih ada untuk membuat pembetulan. Buatlah pembetulan dan beringat-ingatlah selalu. Pilihan Raya Umum untuk kali seterusnya masih ada dan semakin hari semakin hampir.

Maka gunakanlah kesempatan itu sebaik-baiknya. Yang lalu itu biarlah berlalu , masa berlalu tidak akan berpatah balik. Namun hanya yang baik sahaja dijadikan tauladan, manakala yang buruk mesti dijadikan sempadan. Ingat pesanan orang tua-tua buat baik berpada-pada , buat jahat jangan sekali . 


Tiada ulasan: