Selasa, 13 Julai 2010

Peratus penurunan kelahiran bayi dan akta buruh 1955

Malaysia kini sedang berhadapan dengan dua masalah utama kependudukan iaitu masalah penguncupan kadar kelahiran bayi dan pembesaran saiz warga tuanya.

Mengikut kenyataan Timbalan Meneteri Pembangunan Wanita , Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seia Kie dalam satu sidang akhbar pada 12 Julai 2010, kadar kelahiran bayi adalah 2.2 peratus ketika ini berbanding 2.6 peratus pada tahun 2000 dan angka itu dijangka menguncup lagi pada 2030.

Dengan wujudnya fenomena itu dan di samping meingkatnya jangka hayat di kalangan warga tua , maka saiz jumlah warga golongan berkenaan dijangka mengembang.

Mengikut beliau lagi, perkembangan itu cukup membimbangkan kerana ia bukan sahaja akan memberi kesan kepada pertumbuhan penduduk tetapi juga kepada daya produktiviti dan maju negara.

Pada pandangan penulis , situasi itu berlaku kerana berpunca daripada masalah tekanan hidup yang melampau serta kian menjadi-jadi sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Jika sebelum ini pendapatan lebih RM1,500 sebulan dengan dua orang anak boleh mencukupi tetapi sekarang sudah tidak lagi. Apatah lagi sekiranya tinggal di bandar-bandar besar.

Justeru, warga muda yang baru berkahwin akan lebih berhati-hati tentang jumlah anak-anak. Bukan setakat untuk memberi makan dan pakai sahaja tetapi lebih penting lagi untuk memberi pelajaran dan jagaan. Semuanya menghendakki perbelanjaan yang besar.

Kerajaan pasti sedar perkara ini. Mungkin kerajaan juga akan berhadapan dengan situasi delima dalam meningkatkan taraf kesihatan dan taraf hidup rakyat.

Pertambahan usia warga tua salah satu faktornya kerana taraf perkhidmatan kesihatan yang baik yang diberikan kerajaan. Dengan segala kemudahan kesihatan yang ada kebelakangan ini telah membantu kelanjutan usia masyarakat.

Untuk menggalakkan peningkatan kadar kelahiran pula saya rasa bukan sahaja perlu kepada perkhidmatan nasihat atau rundingcara kependudukan tetapi juga mengenai keperluan peningkatan taraf hidup yang antaranya mungkin melibatkan kajian terhadap beberapa undang-undanh yang membabitkan pekerja, misalnya Undang-Undang Buruh 1955.

Saya difahamkan pekerja-pekerja di sektor swasta yang mendapat gaji melebihi RM1,500 sebulan tidak layak menerima elaun lebih masa. Kebanyakan mereka dari golongan eksekutif dan supervisor . Ini menyebabkan mereka yang berada di tangga gaji berkenaan menghadapi masalah kewangan. 

Oleh itu, adalah baik sekiranya peruntukan seumpama itu di dalam akta buruh berkenaan dikaji semula dan had itu dinaikkan kepada sekurang-kurangnya RM2,000 misalnya,  supaya secara tidak langsung taraf hidup mereka dapat dipertingkatkan.

Sewbagaimana kita sedia maklum pengecilan saiz kelahiran ada baik dan buruknya. Buruknya lebih kepada bertambahnya gejala sosial dan jenayah, tetapi baiknya dari segi pembangunan ekonomi di mana mereka adalah sumber tenaga yang penting. Bahkan secara teorinya kemasukkan pekerja asing juga boleh dihadkan apabila tenaga keraja tempatan dapat menampung keperluan sektor pekerjaan.

Dan begitu juga dengan jumlah penduduk yang ramai akan menambahkan lagi jumlah permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan dan ini akan membatu meningkatkan lagi aktiviti ekonomi negara. Ini pernah dijadikan rasional kepada rancangan 70 juta penduduk pada 1980-an dulu. Namun racangan itu tidak lagi kedengaran sekarang.

Tiada ulasan: