Rabu, 28 Julai 2010

Jelaskan perbazaan haram zati dan a'ridhi kepada umum

Isu terkini kepada umat Islam di Malaysia adalah berkaitan dengan sijil halal dan logo halal terutama di premis makanan/minuman. Sebuah restoran kopitiam di Kepong dilaporkan ditutup atas sebab berkaitan dengan dua perkara tersebut.

Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) adalah satu-satunya agensi kerajaan yang diberi kuasa khusus mengenai pengeluaran, pelesenan dan pemantauan berkaitan dengan penyediaan makanan/minuman halal di di negara ini .

Namun barangkali disebabkan terpengaruh dengan dasar penswastaan atau persyarikatan Malaysia yang diperkenalkan pada awal 1980-an dahulu, kedua-dua perkara itu juga turut diswastakan.

Justeru , dengan alasan berurusan dengan Jakim mengahdapi banyak `karenah' , `tidak cekap' dan prosedur yang ketat pihak pengusaha makanan/minuman , terutama restoran-restoran yang diusahakan oleh orang bukan Islam mengambil jalan mudah berurusan dengan pihak swasta.

Oleh kerana pihak swasta juga menguruskan tanggungjawab itu atas dasar `perniagaan' maka dipermudahkan lagi dengan hanya melalui telefon sahaja dan hanya ditanya dua soalan sahaja iaitu `adakah ada daging babi' atau `arak' lalu diluluskan permohonan dan dapatlah kedua-dua perkara itu .

Lalu yang menjadi mangsanya adalah umat Islam yang gemar mengunjungi tempat-tempat sedemikian. Yang menggelikan hati baru-baru ini media melaporkan Jakim sendiri `meragui' cara pengeluaran kedua-dua perkara tersebut oleh syarikat yang mereka sendiri berikan kebenaran.

Mengenai perkara haram dan halal ini sepatutnya tidak perlu kepada tolak ansur dari awal-awal lagi. Agensi agama Islam hendaklah dijadikan sebagai `pihak berkuasa tunggal' dalam pengurusan kedua-dua perkara tersebut , bukan dengan cara dikongsikan bersama pihak lain seperti pihak swasta. Apatah lagi jika di sana ada unsur-unsur `perniagaan' yang pastinya bermatlamatkan keuntungan.

Ini bukan apa, ia bertujuan supaya umat Islam terpelihara daripada mengambil makanan/minuman yang status haramnya bersifat a'ridhi seperti daging ayam, lembu dan sebagainya; bukan zati seperti daging babi. Maknanya soal haram itu bukan sahaja hanya kepada haram zati (daging babi) tetapi juga haram a'ridhi (daging ayam dan seumpama).

Oleh itu wajarlah jika Akta Perihal Perdagangan 1972 itu dipinda bagi membolehkan kuasa tunggal dalam pengeluarkan sijil halal dan logo halal ini diberikan hanya kepada pihak berkuasa agama Islam sahaja; baik di peringkat pusat atau negeri.

Agensi-agensi itu pula mestilah mengambil tanggungjawab sepenuhnya menguruskan kedua-dua perkara tersebut  dengan penuh kecekapan agar tidak menimbulkan kesusahan kepada pihak pengusaha dan boleh memberi gambaran buruk terhadap agama Islam dan terhadap institusi itu sendiiri.

Agensi agama Islam hendaklah juga sentiasa mengwar-warkan mengenai takrif atau konsep haram zati dan haram a'ridhi pada makanan/minuman khususnya, supaya umat Islam umumnya dapat memahami maksud halal dan haram dalam penyediaan makanan/minuman kepada umat Islam.

Tiada ulasan: