Rabu, 28 Julai 2010

Persada politik negara kembali kepada asal

Tahniah kepada 140,000 pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48 kerana diizinkan mencebur diri secara aktif dalam politik mulai 1 Ogos depan. Ini bermakna mereka dibolehkan memegang atau dilantik memegang apa jua jawatan politik di semua peringkat.

Bagaimanapun ia bukan perkara baru dalam arena politik negara kerana ianya pernah diamalkan sebelum pindaan Perkara 21, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (kelakuan dan tatatertib) 1993.

CUEPACS pula dilaporkan memohon agar selain kumpulan pendidikan (DG) pun diberi kebenaran sama. Ini kerana mengikut skim gaji dan perjawatan dalam Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang digunapakai dalam perkhidmatan awam sekarang selain kumpulan DG terdapat banyak lagi seperti M, N, S, J, U,.DS dan sebagainya. Menurut CUEPACS kumpulan tersebut yang berada pada gred sama dianggarkan 350,000.

Saya bersetuju dengan cadangan CUEPACS itu asalkan penyandang gred-gred berkenaan tidak terlibat dalam tugas - tugas pentadbiran yang diberi kuasa membuat keputusan seperti ketrua jabatan misalnya . Ini kerana dibimbangi akan mempengaruhi sikap ketika membuat sesuatu keputusan dan tindakan terhadap i sesuatu isu , khususunya yang berkaitan dengan rakyat.

Saya rasa tidak ada apa salahnya jika mereka juga diberikan hak yang sama. Apa yang penting jawatan di dalam politik itu tidak digunakan untuk tujuan peribadi dan politik kepartian ketika menjalankan tugas-tugas awam di tempat kerja.

Andainya mereka juga diberikan kebenaran yang sama sudah pasti jumlahnya menjadi  490,000 kesemuanya dari jumlah keseluruhan 1.2 juta kakitangan awam. Ini suatu jumlah yang agak besar . Walaupun tidak mungkin semua mereka akan melibatkan diri secara aktif dalam politik namun, ruang sudah dibuka dan hanya terpulang kepada cita rasa mereka sahaja.

Apa pun setakat ini masyarakat umum tidak mengetahui setakat mana ruang kebenaran itu dibuka kerana tidak dinyatakan dengan jelas . Ini bermakna mereka boleh menyertai dan bergerak aktif dalam mana-mana parti jua , tidak kira kerajaan atau pembangkang. 

Dalam hal ini ada baik dan buruknya kepada kerajaan , namun dirasakan kerajaan tentu mempunyai pengalaman tertentu kerana ianya pernah diamalkan sebelum ini. Walau bagaimanapun dengan melihat kepada situasi politik semasa negara langkah yang diambil kerajaan itu diharapkan akan mendatangkan pulangan yang memberangsangkan dan bukan sebaliknya. Tidak kiralah sama ada mereka itu dari golongan perkhidmatan pendidikan atau lain-lain perkhidmatan (jika dibenarkan).     

Tiada ulasan: