Rabu, 14 Julai 2010

Penyatuan Umno dan Pas tidak mustahil

Baru-baru ini bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammad mengatakan orang-orang Melayu menjadi semakin sedikit atau peratusannya semakin menguncup kerana berpecah kepada tiga puak mengikut parti politik terbesar; iaitu satu untuk UMNO , satu untuk Pas dan satu untuk PKR.

Dari segi kependudukan bangsa Melayu dikatakan berada dalam golongan `majoriti' kerana mewakili 60 peratus dari jumlah keseluruhan penduduk, namun apabila dibahagi secara kasar mengikut sifir paling mudah dalam konteks `kuasa politik'nya orang Melayu adalah golongan paling kecil iaitu 20 peratus sahaja.

Pandangan mantan PM itu, yang juga mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam politik dan pentadbiran negara,  sangat tepat dan bermakna . Wajar untuk dilihat, direnungi dan diambil iktibar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula kelmarin, membuat pengumuman UMNO bersedia untuk bekerjasama dan bersatu dengan Pas untuk kepentingan Islam orang Melayu. Difahamkan pengumuman itu mendapat respon positif daripada Datuk Nik Abd. Aziz Nik Mat selaku Mursyidul Am Pas.

Tahniah kepada kedua-duanya. Ada cahaya di sebalik terowong. Ada sinar di tirai senja dan ada nur di sudut nurani. 

Sememangnya pun UMNO dan Pas boleh bersatu atau disatukan. Kedua-duanya mempunyai `lapangan rujuk' yang sama seperti persamaan dari segi keturunan, agama, kebudayaan, adat resam, sosio ekonomi dan berbagai-bagai lagi. Yang tidak samanya ideologi politik dan cara persembahannya kepada rakyat sahaja.

Pas mempersembahkan ideologi politiknya dengan mengaitkan perjuangannya untuk membentuk negara Islam, dan UMNO pula dikaitkan sebagai mempejuangkan nasionalisme. Itu sahaja. Namun natijahnya umat Melayu menjadi kucar kacir.

Negara Islam sebagaimana pernah dilaungkan boleh ditegakkan menerusi langkah memperbanyakkan program-program dan aktiviti muamalat seperti bank , insuran, pajak gadai, pentadbiran dan lain-lain . Ini kerana dari segi ibadat dan munkahat telah lama berjalan.


Saya percaya jika cara `persembahan' itu dapat diubahsuai sejajar dengan kehendak politik semasa seperti mana Pas lakukan terhadap rakan kongsinya DAP di dalam pakatan pembangkang sekarang, tidak mustahil UMNO dan Pas boleh bersatu atau disatukan dalam tempoh terdekat ini dan tidak perlu kepada orang tengah.

Yang pentingnya sikap pemimpin perlu sama berubah dan di samping itu semangat ke arah penyatuan itu mestilah konsisten serta kuat semata-mata dengan niat untuk kebaikan agama, bangsa dan tanah air menerusi wasilah politik. Oleh itu titik persamaannya ialah keikhlasan niat dan hala tuju perjuangan iaitu ke arah mana .



Tiada ulasan: