Selasa, 31 Ogos 2010

Isu klip video: rakyat perlukan ketegasan kerajaan

Ada beberapa pedekatan yang diambil kerajaan terhadap beberapa `isu besar' kebelakangan ini dilihat tidak sejajar dengan bentuk sifat isu yang timbul seperti isu yang berat dan sangat dibencikan majoriti rakyat kerajaan mendepaninya secara berlembut, contohnya isu Meng Chee .

Kerajaan didapati masih menggunakan ungkapan berlembut atau berlapik ketika membuat kenyataan mengenai bakal tindakan yang akan diambil . Sama ada dia terbukti melakukan kesalahan atau sebaliknya maka itu bukan hujahnya kerana ia bergantung kepada siasatan polis . Serahkan perkara itu kepada polis .

Rakyat ketika ini mahukan kerajaan bukan sahaja tegas dalam tindakan terhadap isu-isu seperti ini, tetapi juga dalam membuat kenyataan supaya sejajar dengan perbuatan yang dilakukan . Dengan cara itu barulah ada gerunnya.  

Selain dari tindakan dan penggubalan dasar , kenyataan-kenyataan rasmi kerajaan juga boleh memberi impak kepada pembentukan sikap pengundi.

Beberapa insiden yang berlaku sebelum PRU ke 12 dulu misalnya, seperti `rusuhan' oleh sebuah kumpulan haram di sebuah kuil dekat Kuala Lumpur yang terang-terang dilakukan dan didedahkan pula oleh media tapi kesudahannya , atas campur tangan politik, kerajaan sendiri menarik balik dakwaan ke atas mereka. 

Akibatnya rakyat sangat marah dengan kerajaan dan kemarahan itu dizahirkan dalam petak undi. Sekarang apa sudah jadi. Inilah yang dibimbangkan.

Pada pandangan saya , pendekatan-pendekatan seperti itu seboleh-bolehnya hendaklah dielakkan , manakala yang lalu itu wajar dijadikan pengajaran  , di samping mengekalkan kepekaan terhadap perasaan dan sikap majoriti rakyat tanpa mengira kaum.

Saya cukup percaya bahawa semua kaum rakyat negara ini tidak suka perbuatan yang melampau yang dilakukan oleh mana-mana pihak .

Oleh itu ,  kerajaan patutlah hormati pendirian terbanyak rakyat, barulah pengaruh kerajaan tidak terjejas. Apa pun jangan biarkan rakyat rimas dan marah  .

Isnin, 30 Ogos 2010

Inisiatif Berita Harian hubungkan silaturrahim sentuh perasaan saya

Membaca kisah pertemuan tujuh beradik yang berumur antara tiga hingga 11 tahun dari Kuala Krai, Kelantan dengan kedua-dua ibu bapa mereka yang kini tinggal di Kuala Lumpur menerusi akhbar Berita Minggu (29/08/2010) amat menyentuh perasaan saya . Mungkin satu cerita terpencil bagi sesetengah orang namun bagi saya ia besar makna dari sudut kemanusiaannya . 

Sesekali dada saya terasa sebak dan tidak semena-mena air mata keluar mengalir. Pengalaman hidup sebagai anak yatim ketika kecil cerita-cerita begini membuatkan emosi saya mudah tersentuh . Mudah pilu  dan terharu, walau pada sesiapa  

Justeru, inisiatif Berita Minggu/Berita Harian itu cukup menjadikan perasaan saya terharu dan ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas. Meskipun yang ditemukan itu bukan dari daging darah saya, namun saya merasakan itu satu tindakan yang amat bermakna , lebih lagi ketika menjelang Aidilfitri ini.

Menyambung silatur rahim adalah satu usaha yang amat baik. Lebih lagi menemukan anak-anak yang masih kecil dengan kedua-dua ibu bapa mereka. Berlawanan dengan memutuskannya , kerana memutuskannya "tidak masuk syurga" sabda Rasulullah SAW. 

Hendaknya usaha itu dapat membuka mata minda masyarakat kita agar sama-sama mengelakkan diri dari menjadi penyebab kepada pemisahan antara anak dengan kedua-dua ibu bapa yang mungkin akhirnya boleh terputus hubungan silatur rahim.  

Secebis kenangan menyambut hari kemerdekaan

Esok 31 Ogos, hari ulang tahun kemerdekaan negara ini. Teringat semasa bekerja dulu telah beberapa tahun menyertai `pasukan perbarisan' jabatan yang mengandungi kira-kira 20 orang itu dan diketuai sendiri Pengarah.

Berlatihlah kami beberapa minggu berkawat supaya hayunan kaki dan tangan menjadi selari dan serentak. Maklumlah kami bukan dari pasukan beruniform. Patut-patutlah... 

Selalunya upacara perbarisan dan menaikkan bendera diadakan perkarangan stadium darul aman dan kawasan sekitarnya di Alor Setar. Seronok juga sekalipun usia ketika itu sudah melewati 40-an. Dapat juga  berkongsi pengalaman dan perasaan ketika menyambut hari kemerdekaan di samping dapat berinteraksi dengan rakan-rakan dari pelbagai jabatan kerajaan yang lain dan juga swasta.

Kini ia sudah tiada lagi. Ramai dari rakan-rakan `pasukan' itu pun sudah sama-sama bersara, yang tinggal hanya beberapa lagi yang masih bekerja . Ucapan kepada rakan-rakan yang masih bekerja dan menyertai pasukan perbarisan selamat berkawat ...dan menyambut hari kemerdekaan....merdeka..merdeka...merdeka.

Sabtu, 28 Ogos 2010

Kerja MCA smart

Dr. Chua Soi Lek yang baru dilantik memegang jawatan Presiden MCA kabarnya nak cadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri supaya menganugerahkan kad pengenalan biru kepada 25,751 orang pemegang kad pengenalan merah dari kalangan orang Cina yang berumur 60 tahun ke atas.

Mekanismenya sangat mudah iaitu melantik Datuk Lee Chee Liong yang juga timbalan menteri kementerian dalam negeri mengetuai sebuah jawatankuasa khas yang ditubuhkan . Maka itu dipercayai atas kapasitinya sebagai timbalan menteri di kementerian berkenaan , beliau bukan lagi dilihat sekadar mengemukakan cadangan MCA itu kepada KDN tetapi sebenarnya mengarahkan melaksanakannya.

Inilah gambaran kerja `smart' seorang ketua. Mudah sahaja kerjanya , gunakan segala ruang dan ambil sahaja segala kesempatan yang ada serta pakai apa sahaja kaedah yang sesuai bagi mencapai sesuatu kehendak , termasuk apa yang sering dinamakan sebagai `membela kaum sendiri'. Bagaimana dengan pemimpin `kaum lain' ?

Isu kehadiran MP DAP di dewan solat, tanda petunjuk Allah ?

Setiap isu boleh dilihat dalam berbagai sudut pandangan. Begitu dengan isu kehadiran Teo Chei Ming, Ahli Parlimen Dap Serdang di sebuah surau di Selangor yang dijemput oleh pihak jawatankuasa surau itu . Khabarnya surau itu ditadbir urus oleh Pas.

Sebagai orang Islam, penulis melihat isu itu dari sudut `balasan' Tuhan kepada Pas sendiri di atas sikapnya sejak sekian lama mempertikaikan Umno `berkawan' dengan orang `kafir' dalam memerintah negara. Pertikaian seumpama ini penulis dengar sejak tahun 1950-an lagi hinggalah apabila pendekatan baru politiknya diubah pada sekitar tahun 1990-an sehinggalah sekarang.

Sekarang dengan jelas demi keperluan politik Pas bukan sahaja menukar pendekatan dan strategi politiknya dengan `orang kafir' tapi, sehingga reda dengan pihak yang sebelum ini dianggap musuh itu berada di dalam rumah ibadat yang diletak taraf sebagai tempat suci.

Penulis tidak hendak mengatakan perbuatan itu harus atau tidak harus, betul atau salah tetapi yang ingin ditimbulkan ialah betapa Allah SWT yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan itu telah menunjukkan kepada kita akibat dari perbuatan mengutuk pihak lain dengan tujuan untuk dibenci atau untuk faedah lain  yang bukan maslahah agama itu.

Lagi pun, seingat penulis seburuk-buruk Umno pun tidaklah sampai ajak pihak yang tidak bersesuaian berada di dewan solat, cuma hanya berkongsi kuasa untuk maslahah ummah dan negara sahaja. Bukan nak kata semua Umno buat itu baik, tapi itu satu realiti yang semua orang tahu.

Maka pengajaran dari kejadian itu , ialah bahawa setiap kita (selaku seorang penganut Islam) perlu lebih berhati-hati untuk mempertikaikan atau mengutuk orang lain dengan melebal berbagai keburukan untuk dibenci oleh masyarakat dan orang lain.

Penulis yakin ajaran Islam tidak begitu tapi sebaliknya disuruh agar hanya memohon perlindungan Allah , jika sesuatu perkara itu benar-benar bertentangan dengan ajaran agama, agar yang dibenci itu tidak menimpa diri sendiri, bukan dengan cara mengutuk supaya sama-sama dibenci oleh ramai orang.

Selain itu , cara lain yang diajarkan ialah supaya lekas-lekas bermuhasabah serta memohon taubat kepada  Allah. Wallahu a'lam.

Khamis, 26 Ogos 2010

`Duit raya' RM500, antara nilai emosi dan material warga emas

Dua kategori rakyat Malaysia akan mendapat `duit raya' sebanyak RM500 setiap seorang daripada kerajaan menjelang Aidilfitri ini . Mereka adalah terdiri dari sebahagian besar kakitangan kerajaan yang sedang berkhidmat dan bekas kakitangannya (pesara).

Kategori yang masih berkhidmat adalah membabitkan 1.24 juta orang yang terdiri dari kumpulan sokongan serta kumpulan pengurusan dan profesional (gred 1 hingga 54) , walaupun sebahagian dari mereka mendapat elaun keraian.setiap bulan.

Sebanyak 590,000 pesara juga difahamkan akan mendapat `habuan' yang sama . Saya termasuk dalam kategori kedua ini dan lantaran itu saya amat berterima kasih kepada kerajaan dan bersyukur ke hadrat Allah SWT di atas limpahan rahmat-Nya itu.


Kerajaan difahamkan akan membelanjakan sebanyak RM934.6 juta bagi tujuan itu iaitu untuk kakitangan yang masih berkhidmat sebanyak  RM639.6 dan untuk pesara RM295 juta.

RM500 adalah jumlah yang agak besar bagi diri saya, meski pun nilai pasarannya tidak seberapa. Begitulah perjalanan emosi seorang warga emas. Nilai suatu `penghargaan' dan `penghormatan' itu melebihi nilai-nilai material lain bagi  mereka . Saya percaya kebanyakan warga emas mempunyai emosi seperti ini. 

Yang tidak diumumkan mendapat bantuan `duit raya' tersebut ialah kumpulan Jusa dan Turus..

Rabu, 25 Ogos 2010

Mercun bukan mainan kanak-kanak

Ketika setiap kali datangnya bulan Ramadan untuk ditunaikan kewajipan berpuasa serta melipatgandakan amalan soleh lain, ada-ada sahaja laporan mengenai kanak-kanak Islam (Melayu) tercedera atau malahan meninggal dunia akibat bermain mercun. Peliknya ini hanya diketahui berlaku di negara kita dan orang Melayu sahaja, tidak di negara dan bangsa lain. Wallahu a'lam.

Di Malaysia juga ada undang-undang tertentu bagi mencegah serta mengawal bahan api dan bahan letupan yang mendatangkan bahaya malah beberapa tindakan undang-undang telah, sedang dan mungkin akan diambil ke atas sesiapa yang melanggar undang-undang tersebut, namun ia bagai tiada kesan untuk menginsafinya. Di mana silapnya ? 
Berbalik kita kepada permainan mercun oleh kanak-kanak. Saya percaya ramai yang bersependapat dengan saya, bahawa mercun bukan barang mainan untuk kanak-kanak. Ia tidak seperti anak patung, basikal, kereta kayuh, bola sepak, gasing, layang-layang, ikan emas , papan longsur, dan lain-lain.

Ia mungkin barang `mainan' untuk orang dewasa. Tapi tentu ada perbezaan antara bentuk atau cara bermain orang dewasa dengan bentuk atau cara bermain kanak-kanak. Orang dewasa ketika bermain di dalam apa jua permainan dikawal oleh akal, namun kanak-kanak tidak.

Jadi, membiarkan kanak-kanak bermain dengan mercun bukan satu cara yang betul. Kanak-kanak selayaknya bermain dengan jenis permainan yang boleh mencergaskan jasmani, rohani dan akali mereka. Bukan dengan sesuatu yang orang dewasa boleh mengjangkakan akan mendatangkan kecelakaan kepada mereka.

Dengan sebab itu apabila kanak-kanak dibiarkan atau dibenarkan bermain mercun, lebih-lebih lagi jika tanpa kawalan orang dewasa, biasanya keburukan lebih banyak dari kebaikan dan kesedihan kemudiannya lebih lama dari keseronokan . 

Kita kena ingat akibat dari kecelakaan yang diterima kanak-kanak yang terlibat bukan sahaja ahli keluarga sahaja yang terasa sedih tetapi semua orang akan turut berasa sedemikian ketika mendengar , membaca , atau menonton laporan mengenai kanak-kanak tercedera , apatah lagi meinggal dunia akibat bermain dengan sesuatu yang bukan selayaknya mainan mereka .


Oleh itu, telah sampai masanya orang dewasa perlu berfikir lebih panjang dan bertindak lebih seimbang dengan cara akali serta jasmani bagi menegah kanak-kanak dari keinginan menjadikan mercun sebagai permainan. Segala-galanya di tangan orang dewasa , bukan di tangan kanak-kanak

Manfaatkan Ramadan sebagai bulan al-mubarak, dan bukan al-mudhar.

Isnin, 23 Ogos 2010

Tazkirah Ramadan - jauhi sifat sombong

Kita sudah memasuki fasa kedua berpuasa dalam bulan Ramadan. Kewajiban berpuasa adalah untuk memelihara segala desakan nafsu supaya melakukan sesuatu yang boleh menjuruskan kepada sifat-sifat mazmumah seperti sombong, bakhil, dan sebagainya. 

Islam mengajar kita untuk tidak merasakan diri kita lebih dari orang lain dalam segala-galanya. Seorang muslim yang sebenar harus tidak bersifat sombong, termasuk memalingkan mukanya di hadapan orang lain dan tidak angkuh .

Al-Quran telah memberi petunjuk untuk perasaan, pemikiran , hati, dan roh seseorang agar tidak berasa  sombong tetapi sebaliknya sedar bahawa sombong itu hanya akan merugikan dirinya sendiri di dunia dan juga di akhirat.

Perhatikan mafhum ayat-ayat suci al-Quran seperti berikut :

1 -  Ayat 83, surah al-Qasas, " Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmatnya) itu, Kami untukkan ia bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan ; dan kesudahan yang baik adalah orang-orang yang bertakwa".

2 -  Ayat 18, surah Luqman, " Dan janganlah kamu memalingkan muka mu dari manusia (sebab sombong) dan janganlah berjalan di atas muka bumi dengan angkuh. sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri". 

Semoga kita sama-sama beroleh manfaat daripadanya. Wallahu a'lam bissawab.

Sabtu, 21 Ogos 2010

Mendidik, mengajar, mendisiplin atau dipolitikkan ?

Sebuah jawatankuasa khas terpaksa ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan seorang pengetua sebuah sekolah menengah kebangsaan di Johor membuat ucapan `perkauman' baru-baru ini kepada pelajar-pelajarnya. Isu itu semacam diperbesarkan oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan (politik).

Sebagai orang awam kita hanya mengetahui cerita menerusi media sahaja. Justeru dengan berpandukan  laporan media isu `perkauman' yang diperbesarkan itu ialah apabila beliau dikatakan mengungkapkan sesuatu kepada pelajar-pelajarnya yang bukan Melayu dalam nada `marah'.

Tak pasti kepada pelajar Melayunya . Bagaimanapun, antara guru dengan pelajarnya kadang-kadang ungkapan-ungkapan `sensitif' tu biasalah .Kalau tidak `sensitif' dari segi kaum, `sensitif' dari segi peribadi dan sebagainya.  Bukan benci tapi untuk mendidik (mendisiplin) . Sama seperti ibu bapa dengan anak-anaknya. ada kala marah dan ada kala suka.

Ketika kita belajar dulu-dulu pun berlaku juga perkara seperti itu . Cuma pada zaman itu tidak ada siapa yang akan mengeksploitasikan apa-apa perkara yang berlaku antara guru dengan pelajarnya di sekolah. Kerana memikirkan itu satu proses pengajaran dan pembelajaran.

Oleh itu , isunya di sini saya kira adalah isu `hubungan' antara guru dengan pelajar. , bukan isu kaum .

Di samping itu sebagai seorang pengetua dan guru saya rasa tanggungjawabnya bukan semata-mata untuk  mentadbir dan mengurus hal ehwal sekolah, akademik, kakitangan tetapi juga untuk mendidik beribu-ribu pelajarnya  .

Dari satu sisi lain pula guru dan pengetua itu sendiri adalah manusia biasa. Pasti ada kelemahannya. Ada pelbagai keadaan emosinya serta pelbagai situasi persekitarannya seperti masalah disiplin pelajarnya yang melampau , tekanan dalam tugas dan tanggungjawabnya , masalah prestasi akademik dan lain-lain di sekolahnya yang tidak memuaskan hatinya dan sebagainya lagi. 

Semua aspek ini saya kira patut kita sama-sama lihat ; terutama sekali yang berkaitan dengan hubungan guru / pemgetua dengan pelajar-pelajarnya dan juga emosi seorang guru dengan pelajar-pelajarnya.

Bagi saya biasalah seorang guru marahkan pelajar-pelajarnya dalam bentuk apa sekalipun. Pasti mereka tidak pernah berniat untuk bermusuh dengan pelajar-pelajar mereka sendiri. Lebih-lebih pun sekadar untuk mendisiplinkan sahaja..

Saya kira kita janganlah terlalu berpolitik sangat sehingga perkara hendak mendidik dan mengajar anak-anak kita pun kita bawa masuk dalam bakul politik berkepentingan.

Justeru kenyataan ketua pemuda UMNO, amat-amat dikesali. Kenapa dia minta hukuman begitu `keras' dijatuhkan ke atas pengetua terbabit. Bunyi macam timbalan pendakwa raya sahaja. Saya bukan nak bela pengetua berkenaan, tapi cara seorang `pemimpin bangsa'  itu bercakap semacam penuh dengan muslihat politik .

Saya rasa cukuplah apa yang telah berlaku.dan jangan tambah lagi dengan kenyataan dan tindakan yang tidak membawa untung apa-apa kepada masyarakat  .

Janganlah panaskan lagi keadaan . Menteri pelajaran dan timbalannya orang Johor. Bagi mereka uruskan . Apa pun diharapkan tidak ada  muslihat politik dan kepentingan peribadi di sebaliknya.  .

Jumaat, 20 Ogos 2010

Doa khutbah Jumaat sebenarnya untuk siapa, minta penjelasan

Antara percaya dengan tidak. Tetapi ada baiknya kalau kita andaikan apa yang didakwa itu benar-benar berlaku. Ini untuk memudahkan kita mendapat pemahaman yang lebih mendalam dari pihak berwibawa dari segi kehendak sebenar perlembagaan negara dan ajaran agama Islam.

Sebagai rakyat Malaysia kita amat sedih sekali dan sebagai seorang Muslim kita tercelaru apabila terdapat dakwaan bahawa seseorang yang hanya bergelar setia agung sebuah parti politik dan kebetulan sebagai KM bagi sebuah negeri disamakan kedudukan dan tarafnya dengan kedudukan Ketua Negara , yang juga  Ketua Agama Islam , di mana dijadikan sebahagian daripada doa dalam khutbah Jumaat .

Subahanallah . Masya Allah ! Betul ke cara itu dan boleh ke tu dari segi syarak?

Pada pandangan penulis isu ini bukan isu untuk suka-suka atau seronok-seronok sebagai bahan untuk berjenaka. Apatah lagi di bulan Ramadan al-mubarak ini.

Isu ini, jika benar berlaku, ia merupakan isu berat kerana melibatkan hukum syarak dan pemahaman umum terhadap hukum itu sendiri. 

Harap pihak - pihak berkenaan dan berkuasa agama Islam di mana-mana negeri pun di negara ini dapat memberi penjelasan kepada umum.

Khamis, 19 Ogos 2010

Sambut kemerdekaan jangan lupa pejuangnya

Ini bulan Ogos, sudah lebih separuh berlalu. Bulan ini juga dikenali bulan kemerdekaan kerana negara ini memperoleh kemerdekaan pada 31 Ogos, tahun 1957.

Kemerdekaan yang diperoleh itu bukan macam dapati cabutan bertuah, tapi ada susah payah untuk mendapatkannya.

Di dalam buku sejarah ada diceritakan tentang susah payah oleh yang memperjuangkannya, sehingga ada yang terpaksa merengkok dalam penjara beberapa lama, malah ada yang dibunuh.

Derita yang ditanggung oleh pejuang-pejuang itu serta anak bini mereka dan keluarga mereka bukan kepalang dan tidak terbayar dengan duit ringgit atau harta benda.

Malangnya tiada antara mereka yang benar-benar merasai hasil titik peluh perjuangan yang disertai dengan pengorbanan itu.

Bagaimana pun tidak mengapa bagi mereka asalkan anak cucu cicit hidup senang dan pandai jaga harta peninggalan cukuplah, lagi pun kerana selalunya prinsip orang tua-tua berjuang dalam apa perkara pun mereka selalu kata " Ini semua untuk anak cucu cicitku, aku tak sempat pun tak mengapa".

Betul apa yang mereka selalu ungkapkan itu. Apa yang termaktub dalam Perlembagaan itu memang itulah sebahagian dari apa yang diperjuangkan mereka. Namun, mereka tak dapat rasa pun, yang kenyang bahkan ada yang sengkak hanya anak cucu cicit sahaja.

Sekarang ini, sejak lebih 50 tahun. Pun hanya yang balun secukup-cukupnya anak cucu cicit mereka iaitu generasi selepas merdeka. Tidak mengapa, Jika mereka masih ada lagi pun, mereka tetap rasa seronok juga.

Namun, apa yang amat tidak seronok ialah apabila ada cucu cicit yang berura-ura nak gadaikan hak yang mereka usahakan dan perjuangkan dengan begadai nyawa dan berganti darah itu demi mendapat sebatang tongkat emas.

Dan ada juga cucu cicit yang kurang prihatin dan leka kerana dapat macam-macam kesenangan lalu terlupa akan keperitan yang ditanggung oleh tok nenek mereka lalu mereka pun tak berasa sayang sangat kepada harta yang ditinggalkan itu dan dibuat sambil lewa sahaja.

Sambil menunggu saat menyambut tarikh kemerdekaan itu apalah salahnya pakat-pakat ingat kembali akan  datuk nenek kita yang bergadai nyawa bersabung darah untuk memperoleh sekeping erti kemerdekaan.

Beringat-ingat sebelum kena, berjimat sebelum habis, Terlajak perahu boleh diundur terlajak laku buruk padahnya,

Rabu, 18 Ogos 2010

Pendekatan Bijak JPJ di musim perayaan

Saya amat mengalu-alukan pendekatan baru Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam usaha mendepani kesesakan lalu lintas dan kemalangan jalan raya pada Ops Sikap ke 21 nanti di mana sekatan jalan raya tidak lagi digunakan, sebaliknya mengambil langkah menggunakan kaedah lain terutamanya rondaan dan pemantauan di lokasi terpilih.

Saya rasa inilah satu pendekatan perhubungan awam (PR) terbaik dan bijaksana. Ini kerana ia dapat mengelak kesesakan lalu lintas di jalan raya utama atau lebuh raya pada musim perayaan yang mana limpahan kenderaan memang boleh dijangka , melainkan kesesakan yang berlaku di luar jangkaan seperti berlakunya kemalangan.

Kita tentu tahu setiap kali berlaku kesesakan tetap akan menyusahkan ramai orang. Masing-masing membawa harapan untuk cepat sampai sebaik mungkin ke destinasi kerana ada panggilan sentimetal di sana.

Dan sekiranya ada gangguan yang sengaja dicipta sudah pasti mengancam ketenangan emosi dan minda. Ekorannya pihak berkuasa seperti JPJ sendiri akan dimarahi pengguna jalan raya. Tak fasal-fasal sahaja kena maki. Elakkan itu semua.

Saya yakin cara itu  pengguna jalan raya tidak akan terleka dan pasti memandu dengan cara sewajarnya, melainkan bagi pemandu keras kepala. Tidak mengapa, dengan cara rondaan dan apatah lagi dengan ditambah pendekatan secara menyamar sebagai orang ramai memudahkan JPJ mengambil tindakan ke atas golongan tersebut.

Syabas JPJ kerana ada inovasi di dalam perkhidmatan. Semoga langkah anda berjaya dan diharap pengguna jalan raya pada musim perayaan ini akan menghargai tugas anda.

Selasa, 17 Ogos 2010

Isu penggantian Perlembagaan

Isu penggantian Perlembagaan Persekutuan yang dibangkitkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria seperti disiarkan media massa merupakan suatu isu besar dan amat berat yang tidak boleh dipandang remeh oleh semua pihak - rakyat dan kerajaan.

Ia seharusnya menjadi agenda utama perbincangan MKN dan bukan lagi isu di bawah tanggungjawab pihak berkuasa di KDN sahaja, bahkan harus mencakupi semua pihak berkuasa keselamatan negara, termasuk kementerian Pertahanan dan Jabatan Perdana Menteri sendiri.

Malah lain-lain agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dengan komunikasi harus juga peka dan pro aktif dengan isu ini. Sikap rakyat di semua peringkat harus ditinjau dan dipantau, malah dikenal pasti sama ada mereka cenderung ke arah yang dicadangkan itu atau akan terus menerima pakai apa yang ada sekarang ini. 

Harus ingat bahawa isu ini sudah tersebar di dada media massa. Sudah tentunya bukan di media massa biasa sahaja tetapi di media pilihan juga. Justeru tidak ragu-ragu lagi sebahagian besar rakyat telah mengetahuinya dan sedang mengikutinya, termasuk golongan muda.

Isu ini jika tiada perhatian serius dan pemantauan rapi boleh mendatangkan implikasi buruk bukan sahaja terhadap politik negara tetapi dipercayai mencakupi kehidupan bernegara keseluruhannya, termasuk aspek keselamatan, ekonomi, sosial, dan sebagainya .

Sepertimana disebut oleh Mufti itu penggantian perlembagaan yang dirangka pihak tertentu itu akan menghapuskan sama sekali semua perkara yang telah dijadikan teras di dalam Perlembagaan yang sedang diguna pakai sekarang yang merujuk kepada prinsip `permuafakatan' antara kaum-kaum utama negara ini.

Dan harus dikaui oleh semua pihak bahawa dengan menjunjung prinsip tersebut semua pihak telah menikmati pelbagai kemakmuran dan keselesaan tanpa ada gangguan oleh unsur-unsur buruk seperti di negara lain di dunia . Oleh itu apa lagi yang dimahukan dan kenapa harus ada penggantian Perlembagaan ?

Isnin, 16 Ogos 2010

Banjir lumpur di Kedah

Banjir lumpur sekali lagi melanda negeri Kedah Darul Aman. Kira-kira 20 kampung di daerah Sik dan Baling terlibat. Kampung-kampung berkenaan terletak di sempadan kedua-dua daerah tersebut. Kejadian kali ini dikatakan paling teruk dalam tempoh 40 tahun.

Sejauh ingatan saya pada tahun 1980-an pernah juga berlaku kejadian banjir lumpur ini yang dikaitkan dengan berlakunya hakisan ketika hujan lebat akibat dari penggondolan hutan balak di puncak gunung Jerai. Beberapa buah kampung di bawah kaki gunung tersebut dilaporkan terlibat.

Maknanya sama juga seperti apa yang dilaporkan berlaku di daerah Sik dan Baling sekarang iaitu disebabkan kegiatan pembalakan yang `tidak terkawal'..

Kita tahu bahawa pembalakan merupakan antara sumber terpenting ekonomi negeri . Justeru, ia hendaklah ditadbir urus dengan baik dan hendaknya juga mendepani isu bencana alam seperti ini secara rasional ,  bukan diwarnai sentimen ideologi politik .  

Pemimpin politik tertentu di Kedah diharap tidak terlalu ghairah cuba mengaitkan isu itu dengan masalah politik di Kedah kerana dibimbangi akan wujud implikasi tidak menggalakkan sekiranya pendekatan seumpama itu gagal. 

 .

Ahad, 15 Ogos 2010

Jadikan Ramadan ruang bermuhasabah

Walaupun sebahagian orang melihat ribut, taufan, banjir, banjir lumpur, tsunami, kemarau panjang dan lain-lain seumpama sebagai fenomina alam yang lazim , namun bagi seorang Islam yang beriman , di samping itu kita seharusnya juga melihat semua itu sebagai bala (istilah yang digunakan berlawanan dengan nikmat) yang diturunkan oleh Allah Yang Maha Berkuasa kepada kita sebagai penghuni bumi dan khalifahnya .

Secara umum , mengikut apa yang difahamkan para ulama kepada kita bahawa setiap bala yang diturunkan kepada kita itu ada kaitannya dengan perbuatan maksiat (derhaka) yang keterlalauan yang dilakukan oleh sebahagian dari kita di muka bumi ini.

Dalam masyarakat kita di negara kita sekarang ini pun kita sudah dapat menyaksikan pelbagai bentuk maksiat yang keterlaluan sedang berlaku seperti pembuangan bayi, pembunuhan tanpa kebenaran syarak,  perzinaan, penderaan dan penindasan oleh golongan kuat terhadap golongan lemah, fitnah menfitnah, pemusnahan alam sekitar, penggondolan bukit bukau , penipuan dalam jual beli dan sebagainya.

Semua itu mungkin berlaku secara sedar atau tidak sedar atau secara terpaksa atau tamak harta dan sebagainya. lalu kita leka dan lupa bahawa semua nikmat yang ada pada kita itu adalah atas anugerah Allah Azza wajalla jua. Oleh itu Allah boleh, pada bila-bila masa, menarik balik semua nikmat itu dari kita dan menggnatikannya dengan bala. Maka bala diturunkan.

Bala yang diturunkan itu tidak pengecualiannya antara yang menderhaka atau yang tidak menderhaka.Jadi, sewajarnya setiap kali bala diturunkan kita tidak seharusnya mengaitkannya dengan perkara-perkara lain  . Sebaliknya kita mahu tidak mahu menjadikan bala itu untuk kita menginsafi diri serta mencari di mana kesilapan kita lakukan terhadap Allah dan kemudiannya disusuli dengan memohon tautbat kepada-Nya agar ditolak bala itu dari menimpa kita seterusnya.

Bulan Ramadan ini adalah ruang sebaik-baiknya untuk kita sama-sama melakukan muhasabah diri serta memohon taubat dan keampunan dari Allah SWT.

Sabtu, 14 Ogos 2010

Warga emas bukan nilai RM1,000

Dengar khabar DAP akan membayar kepada warga emas yang berusia 60 tahun ke atas RM1,000 sekiranya menyokong Pakatan Rakyat atau parti itu pada pilihan raya umum akan datang untuk membolehkan pakatan itu menduduki Putrajaya.

Wajarkah kenyataan seumpama itu dikeluarkan dan nampak sangat warga emas macam kanak-kanak yang boleh dibeli dengan gula-gula dan wang sebagai bayaran upah membuat sesuatu untuk kepentingan pihak yang mengupah.

DAP janganlah buat macam itu kepada warga emas yang lanjut usia. Hormatilah mereka yang lebih tua dari kita. Kenapa mempersendakan mereka.sedemikian rupa ? 

Takkan patut dibayar habuan macam tu, nak bantu mereka bantulah tapi bukan dengan cara tawar habuan macam tu, terasa sangat hinanya.

Janganlah mentang-mentang dah nampak ada sikit pengaruh politik kerana menguasai sebuah dua negeri kita dah boleh buat apa saja yang kita hendak, termasuk hina orang-orang tua.

Kita kena ingat satu hari nanti kita akan jadi tua juga . Dalam masyarakat dan budaya Melayu menghina orang tua dikira tidak berakhlak. 

Harga siling ayam wajar lebih awal

Harga siling ayam akan ditetapkan selama dua minggu menjelang raya aidil fitri. Langkah itu tidak mesra pengguna. Ia kerana dua minggu dari empat minggu pengguna tidak dilindungi sewajarnya daripada dipermainkan oleh pihak yang berkaitan pemerdagangan barangan tersebut.

Pada masa akan datang  , langkah mengawal kenaikan mendadak harga barang-barang penting pada bulan Ramadan wajar dilakukan dua minggu lebih awal.menjelangnya Ramadan, bukan dengan membiarkan harga naik dulu atau pengguna bising dulu baru hendak dikawal.

Manipulasi harga barangan seperti oleh pihak tertentu memang berlaku pada setiap tahun apabila menjelangnya Ramadan. Ia bukan lagi sesuatu di luar jangkaan tetapi adalah sebaliknya

Rabu, 11 Ogos 2010

Tak perlu tazkirah pada waktu solat tarawih

Antara keunikan bulan Ramadan ialah selain dari difardukan berpuasa pada siang hari disunatkan (sunat muakkad) mendirikan solat tarawih dan witir pada malam hari .

Secara tradisinya ia (tarawih) didirikan sebanyak 20 raka'at ; namun sesetengah ulamak berpendapat ia boleh juga dilakukan lapan raka'at sahaja,. kemudian diikuti dengan tiga raka'at solat witir.

Sedangkann solat witir itu sendiri bukanlah termasuk di dalam kumpulan solat sunat yang disunatkan berjamah pada bulan-bulan lain. Tetapi pada bulan Ramadan ia dibolehkan serta digalakkan. Ini menandakan satu kelebihan dan keunikan yang ada pada bulan Ramadan.

Maknanya umat Islam bukan sahaja diwajibkan berpuasa pada siang harinya tetapi juga digalakkan membuat pelbagai ibadat sebanyak mungkin dengan penuh ikhlas kepada Allah SWT seperti solat tarawih, solat witir, iktikaf, membaca al-Quran dan sebagainya, baik siang mahupun malam.

Namun semenjak beberapa tahun kebelakangan ini ketika asyik mendirikan solat tarawih itu, sama ada lapan atau 20 raka'at ada sesetengah tempat di negara ini diselangi pula dengan aktiviti apa yang dinamakan `tazkirah'.

Saya kurang faham apakah tujuan sebenar di sebalik ativiti tersebut. Ini kerana sekiranya dilihat dari segi tujuan untuk menyampaikan ilmu, ia ternyata tidak sesuai dan menepati masa dan keadaan . Ini kerana para khalayak yang terdiri dari pelbagai lapisan usia dan latar belakang itu telah menetapkan minda masing-masing datang ke masjid untuk solat , bukan mendengar ceramah.

Kalau pula dilihat ceramah (tazkirah) itu dalam konteks disiplin ilmu pengucapan awam, nyata sekali ia seolah-olah dilakukan tanpa `analisis khalayak' . Justeru, ia satu `kesalahan' besar yang memungkinkan mana-mana aktiviti ceramah atau ucapan gagal, jika tanpa analisis khalayak seperti sewajarnya.

Dan ini jelas, apabila ada orang yang memberi reaksi sepontan dengan bangun meninggalkan `majlis' . Ada pula sesetengah penyampai tazkirah marah-marah orang yang bangun meninggalkan majlsi itu. Ini saya pernah saksikan sendiri di sebuah masjid di tempat saya pada tahun lalu.

Seandainya inilah keadaannya yang wujud, buat apalah diadakan tazkirah (saya bukan enti tazkirah) , sedangkan tazkirah itu adalah suatu majlis ilmu yang perlu kepada bukan sahaja mendengar tetapi memahami isi yang disampaikan.

Kalau nak sekalipun diadakan tazkirah dalam bulan Ramadan pilihlah waktu lain yang lebih sesuai. Apa salahnya jika diadakan selepas solat asar atau menjelang waktu berbuka. Itu adalah lebih baik daripada diadakan pada waktu malam - waktu solat tarawih - kenalah ambil kira sama kehendak para jamaah.

Saya harap sama-sama kita fikirkan keadaan ini, biarlah waktu untuk menunaikan solat tarawih dan witir itu dipenuhi dengan aktiviti solat sahaja. Jangan ganggu masa dan tujuan orang yang datang ke masjid atau suarau pada malam hari bulan ramadan. Lebih membosankan apabila dalam `tazkirah' itu ada diselitkan dengan pandangan politik. Wah! Cukup mengelirukan sama ada ia `majlis ilmu' atau majlis politik.

Selasa, 10 Ogos 2010

Selamat berpuasa

Mulai esok umat Islam di Malaysia dan di negara-negara lain di seluruh dunia besar kemungkinan akan memulakan puasa wajib bulan Ramadan al-mubarak. 

Selama lebih kurang 30 hari mereka menunaikan kewajipan itu dengan penuh tawaduk dan khusyuk . Jadi, kepada saudara Muslimin dan Mukminin yang mengunjungi blog saya , saya ucapkan selamat berpuasa dan mendapat ganjaran sebaik mungkin dari fadhilat Ramadan.

Berpuasa dalam erti kata sebenar ia bukan semata-mata merujuk kepada perbuatan menahan nafsu makan dan minum dan nafsu syahwat terhadap pasangan suami / isteri tetapi lebih dari itu adalah menahan dari melakukan segala-galanya yang boleh merosakkan puasa itu sendiri.

Justeru, puasa yang sebaik-baiknya menurut ulamak ialah puasa yang mencakupi semua aspek penahanan diri dari melakukan segala perkara mungkar yang mungkin terjadi oleh anggota badan, panca indera, minda, hati, lidah dan sebagainya; selain nafsu makan /minum dan persetubuhan.

Apakah perkara-perkara itu ? Ia termasuk semua perkara yang dilarang (nahi) sama ada dalam bentuk makruh atau lebih-lebih lagi haram. 

Mungkin agak sukar untuk dilakukan tetapi itulah cabaran yang patut dihadapi olej umat Islam. Bulan Ramadan adalah bulan penuh ujian- luar dalam dalam.

Bagaimanapun semua cabaran itu tidak disia-siakan oleh Allah SWT, Tuhan Rabbul Alamin . Kesabaran menghadapi ujian itu akan diberikan ganjaran berganda berbanding bulan-bula lain.

Menurut ulamak ganjaran kepada amalan kebaikan (soleh) di bulan Ramadan akan digandakan berpuluh kali ganda daripada bulan-bulan lain. Buat apa sahaja kebaikan seperti membantu orang di dalam kesusahan, bersedekah dan sebagainya.

Amalan sunat sekalipun diberikan ganjaran setara dengan ganjaran amalan wajib yang dilakukan pada bulan-bulan lain , manakala amalan wajib pula digandakan ganjarannya sehingga berpuluh kali ganda.

Jadi, di sini saya ingin mengajak saudara-saudara Muslim dan Mukmin sekalian serta diri saya sendiri dan keluarga agar sama-sama kita kuatkan tekad dan azam untuk menjadikan puasa yang dilaksanakan tahun ini lebih baik dari tahyn sebelum ini atau berada pada tahap sebaik mungkin. Insya Allah . 

Bersamalah kita mohon restu dan hidayah Allah..

SELAMAT BERPUASA .... 

Sabtu, 7 Ogos 2010

Kenapa samakan UMNO dengan Pas

Dalam laporan akhbar arus perdana hari ini menyebut pemimpin tertinggi MCA mendakwa UMNO terikut-ikut dengan cara Pas menggunakan agama dalam meraih sokongan rakyat dan mengukuhkan kedudukaan parti itu.

Dengan sebab itu, katanya lagi UMNO telah menjadi sebuah parti konservatif disebabkan ingin bersaing dengan Pas dalam usaha meraih sokongan dan perhatian rakyat.

Saya kira ini satu dakwaan yang tidak wajar dan tidak berasaskan semangat setiakawan yang terjalin sejak lama. Sejauh ingatan saya ini juga merupakan dakwaan yang julung-julung kali dibuat oleh seorang pemimpin tertinggi sebuah parti komponen BN terhadap UMNO sejak kedua-duanya berkongsi kuasa memerintahkan negara.

Pada hal sebaliknya tidak pernah lagi sebelum ini seorang pun pemimpin UMNO secara terbuka melabelkan MCA atau parti-parti lain dalam BN dengan apa jua ungkapan yang menyakitkan hati.

Tidak tahulah apa motif sebenar di sebalik dakwaan tersebut tetapi apa pun sebarang dakwaan yang berbentuk menjatuhkan imej itu memang tidak wajar dilakukan sesama rakan sekumpulan, lebih-lebih lagi yang telah begitu lama berkawan baik.

Pemimpin UMNO pun kalau hendak dakwa MCA terikut-ikut dengan rentak DAP ketika mempertahankan atau seumpamanya mengenai isu-isu yang membabitkan orang Cina boleh berbuat demikian, namun mereka tidak pernah cuba melakukannya.

Oleh itu, buat apa pemimpin MCA sanggup melakukannya. Hormatilah prinsip setiakawan yang lama terjalin itu dan jangan jadi kawan makan kawan

Matlamat dan cara perjuangan antara UMNO dengan Pas sama sekali tidak sama. Semua orang politik dan kebanyakan rakyat tahu . Tak perlu diperjelaskan lagi. Cuma dari segi keahliannya sahaja mungkin hampir sama kerana kedua-duanya ditunjangi oleh orang Melayu dan bumiputera yang sebahagian besarnya beragama Islam.

Kesimpulannya UMNO bukan parti konservatif dan bukan parti pak turut.ke

Jumaat, 6 Ogos 2010

Kontrak KEDA: Jangan mangsakan rakyat

Sekiranya benar bagai dikata Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) akan terpaksa ditutup kerana masalah kewujudan jurang antara kerajaan negeri dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) seperti mana desas desus yang didengari sekarang maka ia merupakan satu berita buruk buat sebahagian rakyat negeri Kedah Darul Aman.

Ini kerana KEDA yang ditubuh seawal 1981 itu adalah merupakan satu-satunya agensi di peringkat negeri yang berfungsi untuk membantu membangunkan rakyat jelata negeri Kedah, khususnya penduduk miskin di kawasan luar bandar. Sehingga kini ia dilihat sangat berjaya di dalam melaksanakan fungsinya.

Sebuah agnesi yang diwujudkan menerusi akta tertentu dan diletakkan di bawah `jagaan' KKLBW itu bukan sahaja mempunyai sejumlah pegawai dan kakitangan serta aset-aset tersendiri seperti bangunan dan lain-lain hampir di setiap daerah tetapi juga mempunyai projek-projek tertentu yang berkaitan secara langsung dengan golongan miskin , khususnya luar bandar seperti bengkel latihan, perumahan, kawasan penempatan dan sebagainya.

Difahamkan hampir 90 peratus kawasan luar bandar di negeri Kedah diliputi agensi berkenaan. Oleh itu, sekiranya agensi ini `ditutup' atau dihentikan fungsinya atau sebagainya ia akan memberi kesan buruk bukan sahaja kepada sosio ekonomi sebahagian penduduk negeri Kedah , terutama mereka yang terlibat secara langsung dengan projek-projek KEDA tetapi juga kepada mereka yang bekerja dengannya. .

Apakah masalahnya sebenar tidak diketahui umum. Cumanya apa yang diketahui sekarang ini ialah masalah pertukaran kerajaan negeri sejak pilihan raya umum 2008 lalu iaitu daripada BN kepada PR yang dikaitkan sebagai penyebab kepada kemungkinan ia ditutup .

Ini berikutan `kontraknya' dengan KKLBW dikatakan belum disambung lagi, sedangkan hayat akhirnya pada bulan Mei tahun hadapan.

Jika itulah masalahnya , maka dalam erti katakan lain, masalahnya bukan berpunca dari faktor dalaman seperti pentadbiran atau tenaga kerja dan sebagainya dalam agensi tersebut tetapi merupakan lebih kepada faktor politik yang berlainan ideologi dan konteks antara kerajaan negeri dan pusat. 

Dan andainya itulah masalahnya diharapkan pihak terbabit hendaklah melupakannya dulu, sebaliknya berilah tumpuan kepada kesinambungan usaha untuk membantu rakyat jelata yang sangat-sangat memerlukan bantuan, terutama yang tinggal di kawasan luar bandar.

Hendaknya rakyat tidak dijadikan mangsa perbezaan poltik antara satu sama lain. 

  

Rabu, 4 Ogos 2010

Syabas kerajaan Melaka

Bagi saya kerajaan negeri Melaka telah mengambil pendekatan yang realistik dari segi hukum syarak apabila membenarkan remaja , termasuk pelajar sekolah berkahwin di bawah umur, bagi remaja lelaki 18 tahun dan  16 tahun bagi remaja perempuan dalam usahanya mendepani krisis moral yang membabitkan hamil di luar nikah dan gejala membuang bayi.

Inilah satu-satunya cara yang lebih sesuai berbanding dengan yang lain-lain jika dilihat di sisi syarak atau agama  Berkahwin adalah cara yang betul dan halal untuk melakukan persetubuhan, bukan dengan cara lain. Tanpa nikah yang sempurna mengikut syariat ia dinamakan zina. Apatah pula anak yang dilahirkan tanpa dosa itu dibuang ikut suka hati sahaja, tanpa kasihan belas. Semata-mata kononnya kerana untuk mengelak dari diaibkan.

Memang tidak dinafikan bagi mereka yang bersekolah perkahwinan itu akan mengganggu pembelajaran mereka, namun jika tidak dikahwinkan pun psikologi mereka akan terganggu juga , sekiranya sudah terlanjur dengan perbuatan tidak baik itu kerana `rahsia' sudah terbuka disebabkan mengandung, lebih-lebih lagi bila melahirkan anak. Malu dengan guru, malu dengan kawan-kawan dan sebagainya.

Oleh itu, mana lebih baik malu dengan sebab perbuatan yang tidak diterima agama dan masyarakat atau sedikit susah tetapi melakukan perbuatan yang diredai agama dan diterima masyarakat sendiri . Maruah keluarga juga turut terpelihara dari menanggung malu akibat perbuatan tidak baik itu.

Pada pandangan saya , lebih baiklah kita buat sesuatu yang diterima oleh semua - agama dan masyarakat.

Andai kata sayangkan pelajaran dan inginkan kehidupan penuh berilmu elakkan diri dari melakukan sesuatu yang boleh merosakkan pembelajaran dan begitu sebaliknya.

Syabas kerajaan negeri Melaka. Semoga apa yang dilakukan itu diterima majoriti masyarakat Islam serta  diberi taufik dan hidayah oleh Allah SWT.

Dalam aspek ini saya rasa  Melaka mendahului negeri-negeri lain, terutama negeri Kelantan dan Kedah. Bila pula kedua-dua negeri tersebut di bawah kepimpinan Pas akan mengambil langkah seperti yang dilakukan  Melaka. Yang baik hendaklah dicontohi, meskipun bertentangan ideologi politik.

Selasa, 3 Ogos 2010

Serahkan depot tahanan kepada agensi bersesuaian

Ruangan forum Utusan Malaysia hari ini menyiarkan komen seorang pembaca yang menamakan dirinya  PEMERHATI PENCEN dari Ampang mengenai 20 PATI mangsa pemerdagangan manusia yang meloloskan diri dari Depot Tahanan KLIA .

Mengikut pandangan beliau tugas menjaga pusat tahanan tidak wajar diserahkan kepada jabatan Imigresen kerana fungsi utama jabatan itu ialah lebih kepada perkhidmatan kaunter, terutama dari segi pengeluaran pasport antarabangsa dan lain-lain yang berkaitan dengan hal ehwal keluar masuk negara.

Pada beliau tugas menjaga depot tahanan sewajarnya diserahkan sama ada kepada polis atau jabatan penjara. Saya setuju dengan pandangan beliau itu.

Saya fikir eloklah pihak tertinggi di KDN melihat cadangan tersebut dengan penuh rasional dan seterusnya mengambil tindakan susulan semoga cerita meloloskan diri oleh rakyat asing dari depot tahanan kita tidak berlaku berulang kali dalam tempoh masa yang agak kerap. Ini memalukan negara.

Untuk menyalahkan seratus peratus kepada jabatan Imigresen pun, sehingga hendak menukar KPnya pun saya rasa kurang wajar juga. Apatah lagi jika tugas itu bukan tugas utama mereka yang memungkinkan mereka tidak dilatih secara mendalam , profesional dan holistik mengenai tugas berkenaan.

Jadi, apa salahnya jika tugas itu diberikan kepada agensi yang sememangnya tugas hakiki atau tugas utamanya menjaga tahanan. Ini kerana dengan kerusus khas yang diperolehi mereka, sudah pasti tugas dan tanggungjawab itu dapat mereka  kendalikan dengan berkesan dan sempurna.

Oleh itu, saya percaya kepimpinan tertinggi KDN tidak ambil mudah cadangan tersebut dan tidak terburu-buru mengambil tindakan `keras' ke atas KP Imigeresn dan anak buahnya. Saya bukan berniat untuk membelanya (siapalah saya) tetapi saya lihat cara itu tidak `smart'.

Sebagai gantinya kembalikan mereka kepada tugas utama mereka dan serahkan tugas menjaga tahanan itu kepada pihak yang lebih relevan. Meletak sesuatu pada tempatnya itu dinamakan adil dan bijaksana. 

Isnin, 2 Ogos 2010

Dasar pendidikan dalam pembentukan negara bangsa

Kelmarin saya pergi ke sebuah kedai jahitan di bandar Sungai Petani untuk menempah sepasang baju Melayu untuk anak lelaki saya . Beliau minta tolong saya membuat tempahan di kedai itu kerana beliau yang tinggal dan bekerja di Alor Setar tiada sempat . Juga diberikan sekali contoh pakaian yang sudah siap.

Sebaik sahaja memasuki kedai yang dilengkapi pendingin udara itu saya telah `disambut' dengan senyuman oleh seorang wanita Cina dalam lingkungan usia 40-an. Dalam kedai itu saya dapati ketika itu ada tiga orang pekerja. Dua Cina dan seorang India (wanita). Seorang darinya lelaki (Cina). Mungkin `tauke' kedai itu.

Setelah selesai urusan pesanan termasuk bayaran pendahuluan saya diberikan resit penerimaan. Saya terkejut kerana resit itu ditulis dalam bahasa yang bukan bahasa Melayu atau Manderin. Selalunya resit seumpama itu ditulis sama ada dalam Manderin atau Melayu. Tetapi ini tidak, sebaliknya dalam bahasa Thai.

Saya tanya wanita itu kenapa tidak dalam salah satu dari dua bahasa tersebut; jawapannya dia `tidak belajar'. Kesimpulan saya daripada jawapannya itu adalah betapa dasar pendidikan di Thailand jauh berbeza dengan negara kita dan kelihatan impaknya cukup bermakna dalam pembentukan negara bangsa.

Ahad, 1 Ogos 2010

Skuad pantau , berfaedah atau membazir ?

Kerajaan akan menubuhkan dua skuad pemantau di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan di bawah pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi memantu kakitangan awam yang disyakki `curi tulang' di lokasi-lokasi tertentu sekitar Puterajaya. Ia adalah ekoran komplen oarng ramai terhadap kakitangan awam bersembang lama di kafetaria dan berkeliaran di pusat membeli belah.

Pasukan tersebut difahamkan akan turut berkeliaran dan lepak di kawasan-kawasan yang dikenal pasti adanya kakitangan yang curi tulang . Pasukan Pemantau akan menahan sesiapa yang disyakki dan seterusnya diserahkan kepada jabatan masing-masing untuk tindakan lanjut setelah butiran peribadi direkodkan.

Saya tertanya-tanya siapakah yang akan dilantik menjadi skuad berkenaan ? Sekiranya dilantik dari kalangan yang sudah ada jawatan tertentu dan tugas hakiki maka siapa pula yang akan menjalankan tugas hakiki mereka ? Adakah mereka akan dibayar elaun khas dan sebagainya,

Sekiranya mereka sudah ada tugas hakiki, adakah mereka juga akan curi tulang kerana tinggalkan kerja di pejabat dan keluar pejabat melilau di sana sini semata-mata mencari orang lain yang curi tulang ; lalu orang ramai (orang lain) yang tidak mengenali mereka menganggap mereka juga curi tulang . 

Andainya ini terjadi , timbul pula persoalan siapa pantau siapa ? Ini kerana isu ini pun timbul dari orang ramai, bukan ketua jabatan berkenaan yang lebih arif tentang jenis dan bentuk tugas kakitangan masing-masing.

Bagi saya penubuhan skuad seumpama itu mengundang lebih banyak lagi persoalan , sedangkan apa yang dikomlenkan itu, jika benar sekali pun berlaku, cuma sedikit sahaja . Apa salahnya ketua jabatan masing-masing yang mengambil tindakan mengikut budi bicara masing-masing dengan beralaskan peraturan dan kuasa yang sedia ada.

Justeru, timbul persoalan sama ada langkah ini satu kebaikan atau satu pembaziran ?