Isnin, 30 Ogos 2010

Inisiatif Berita Harian hubungkan silaturrahim sentuh perasaan saya

Membaca kisah pertemuan tujuh beradik yang berumur antara tiga hingga 11 tahun dari Kuala Krai, Kelantan dengan kedua-dua ibu bapa mereka yang kini tinggal di Kuala Lumpur menerusi akhbar Berita Minggu (29/08/2010) amat menyentuh perasaan saya . Mungkin satu cerita terpencil bagi sesetengah orang namun bagi saya ia besar makna dari sudut kemanusiaannya . 

Sesekali dada saya terasa sebak dan tidak semena-mena air mata keluar mengalir. Pengalaman hidup sebagai anak yatim ketika kecil cerita-cerita begini membuatkan emosi saya mudah tersentuh . Mudah pilu  dan terharu, walau pada sesiapa  

Justeru, inisiatif Berita Minggu/Berita Harian itu cukup menjadikan perasaan saya terharu dan ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas. Meskipun yang ditemukan itu bukan dari daging darah saya, namun saya merasakan itu satu tindakan yang amat bermakna , lebih lagi ketika menjelang Aidilfitri ini.

Menyambung silatur rahim adalah satu usaha yang amat baik. Lebih lagi menemukan anak-anak yang masih kecil dengan kedua-dua ibu bapa mereka. Berlawanan dengan memutuskannya , kerana memutuskannya "tidak masuk syurga" sabda Rasulullah SAW. 

Hendaknya usaha itu dapat membuka mata minda masyarakat kita agar sama-sama mengelakkan diri dari menjadi penyebab kepada pemisahan antara anak dengan kedua-dua ibu bapa yang mungkin akhirnya boleh terputus hubungan silatur rahim.  

Tiada ulasan: