Sabtu, 28 Ogos 2010

Isu kehadiran MP DAP di dewan solat, tanda petunjuk Allah ?

Setiap isu boleh dilihat dalam berbagai sudut pandangan. Begitu dengan isu kehadiran Teo Chei Ming, Ahli Parlimen Dap Serdang di sebuah surau di Selangor yang dijemput oleh pihak jawatankuasa surau itu . Khabarnya surau itu ditadbir urus oleh Pas.

Sebagai orang Islam, penulis melihat isu itu dari sudut `balasan' Tuhan kepada Pas sendiri di atas sikapnya sejak sekian lama mempertikaikan Umno `berkawan' dengan orang `kafir' dalam memerintah negara. Pertikaian seumpama ini penulis dengar sejak tahun 1950-an lagi hinggalah apabila pendekatan baru politiknya diubah pada sekitar tahun 1990-an sehinggalah sekarang.

Sekarang dengan jelas demi keperluan politik Pas bukan sahaja menukar pendekatan dan strategi politiknya dengan `orang kafir' tapi, sehingga reda dengan pihak yang sebelum ini dianggap musuh itu berada di dalam rumah ibadat yang diletak taraf sebagai tempat suci.

Penulis tidak hendak mengatakan perbuatan itu harus atau tidak harus, betul atau salah tetapi yang ingin ditimbulkan ialah betapa Allah SWT yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan itu telah menunjukkan kepada kita akibat dari perbuatan mengutuk pihak lain dengan tujuan untuk dibenci atau untuk faedah lain  yang bukan maslahah agama itu.

Lagi pun, seingat penulis seburuk-buruk Umno pun tidaklah sampai ajak pihak yang tidak bersesuaian berada di dewan solat, cuma hanya berkongsi kuasa untuk maslahah ummah dan negara sahaja. Bukan nak kata semua Umno buat itu baik, tapi itu satu realiti yang semua orang tahu.

Maka pengajaran dari kejadian itu , ialah bahawa setiap kita (selaku seorang penganut Islam) perlu lebih berhati-hati untuk mempertikaikan atau mengutuk orang lain dengan melebal berbagai keburukan untuk dibenci oleh masyarakat dan orang lain.

Penulis yakin ajaran Islam tidak begitu tapi sebaliknya disuruh agar hanya memohon perlindungan Allah , jika sesuatu perkara itu benar-benar bertentangan dengan ajaran agama, agar yang dibenci itu tidak menimpa diri sendiri, bukan dengan cara mengutuk supaya sama-sama dibenci oleh ramai orang.

Selain itu , cara lain yang diajarkan ialah supaya lekas-lekas bermuhasabah serta memohon taubat kepada  Allah. Wallahu a'lam.

Tiada ulasan: