Selasa, 17 Ogos 2010

Isu penggantian Perlembagaan

Isu penggantian Perlembagaan Persekutuan yang dibangkitkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria seperti disiarkan media massa merupakan suatu isu besar dan amat berat yang tidak boleh dipandang remeh oleh semua pihak - rakyat dan kerajaan.

Ia seharusnya menjadi agenda utama perbincangan MKN dan bukan lagi isu di bawah tanggungjawab pihak berkuasa di KDN sahaja, bahkan harus mencakupi semua pihak berkuasa keselamatan negara, termasuk kementerian Pertahanan dan Jabatan Perdana Menteri sendiri.

Malah lain-lain agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dengan komunikasi harus juga peka dan pro aktif dengan isu ini. Sikap rakyat di semua peringkat harus ditinjau dan dipantau, malah dikenal pasti sama ada mereka cenderung ke arah yang dicadangkan itu atau akan terus menerima pakai apa yang ada sekarang ini. 

Harus ingat bahawa isu ini sudah tersebar di dada media massa. Sudah tentunya bukan di media massa biasa sahaja tetapi di media pilihan juga. Justeru tidak ragu-ragu lagi sebahagian besar rakyat telah mengetahuinya dan sedang mengikutinya, termasuk golongan muda.

Isu ini jika tiada perhatian serius dan pemantauan rapi boleh mendatangkan implikasi buruk bukan sahaja terhadap politik negara tetapi dipercayai mencakupi kehidupan bernegara keseluruhannya, termasuk aspek keselamatan, ekonomi, sosial, dan sebagainya .

Sepertimana disebut oleh Mufti itu penggantian perlembagaan yang dirangka pihak tertentu itu akan menghapuskan sama sekali semua perkara yang telah dijadikan teras di dalam Perlembagaan yang sedang diguna pakai sekarang yang merujuk kepada prinsip `permuafakatan' antara kaum-kaum utama negara ini.

Dan harus dikaui oleh semua pihak bahawa dengan menjunjung prinsip tersebut semua pihak telah menikmati pelbagai kemakmuran dan keselesaan tanpa ada gangguan oleh unsur-unsur buruk seperti di negara lain di dunia . Oleh itu apa lagi yang dimahukan dan kenapa harus ada penggantian Perlembagaan ?

Tiada ulasan: