Rabu, 4 Ogos 2010

Syabas kerajaan Melaka

Bagi saya kerajaan negeri Melaka telah mengambil pendekatan yang realistik dari segi hukum syarak apabila membenarkan remaja , termasuk pelajar sekolah berkahwin di bawah umur, bagi remaja lelaki 18 tahun dan  16 tahun bagi remaja perempuan dalam usahanya mendepani krisis moral yang membabitkan hamil di luar nikah dan gejala membuang bayi.

Inilah satu-satunya cara yang lebih sesuai berbanding dengan yang lain-lain jika dilihat di sisi syarak atau agama  Berkahwin adalah cara yang betul dan halal untuk melakukan persetubuhan, bukan dengan cara lain. Tanpa nikah yang sempurna mengikut syariat ia dinamakan zina. Apatah pula anak yang dilahirkan tanpa dosa itu dibuang ikut suka hati sahaja, tanpa kasihan belas. Semata-mata kononnya kerana untuk mengelak dari diaibkan.

Memang tidak dinafikan bagi mereka yang bersekolah perkahwinan itu akan mengganggu pembelajaran mereka, namun jika tidak dikahwinkan pun psikologi mereka akan terganggu juga , sekiranya sudah terlanjur dengan perbuatan tidak baik itu kerana `rahsia' sudah terbuka disebabkan mengandung, lebih-lebih lagi bila melahirkan anak. Malu dengan guru, malu dengan kawan-kawan dan sebagainya.

Oleh itu, mana lebih baik malu dengan sebab perbuatan yang tidak diterima agama dan masyarakat atau sedikit susah tetapi melakukan perbuatan yang diredai agama dan diterima masyarakat sendiri . Maruah keluarga juga turut terpelihara dari menanggung malu akibat perbuatan tidak baik itu.

Pada pandangan saya , lebih baiklah kita buat sesuatu yang diterima oleh semua - agama dan masyarakat.

Andai kata sayangkan pelajaran dan inginkan kehidupan penuh berilmu elakkan diri dari melakukan sesuatu yang boleh merosakkan pembelajaran dan begitu sebaliknya.

Syabas kerajaan negeri Melaka. Semoga apa yang dilakukan itu diterima majoriti masyarakat Islam serta  diberi taufik dan hidayah oleh Allah SWT.

Dalam aspek ini saya rasa  Melaka mendahului negeri-negeri lain, terutama negeri Kelantan dan Kedah. Bila pula kedua-dua negeri tersebut di bawah kepimpinan Pas akan mengambil langkah seperti yang dilakukan  Melaka. Yang baik hendaklah dicontohi, meskipun bertentangan ideologi politik.

Tiada ulasan: