Rabu, 25 Ogos 2010

Mercun bukan mainan kanak-kanak

Ketika setiap kali datangnya bulan Ramadan untuk ditunaikan kewajipan berpuasa serta melipatgandakan amalan soleh lain, ada-ada sahaja laporan mengenai kanak-kanak Islam (Melayu) tercedera atau malahan meninggal dunia akibat bermain mercun. Peliknya ini hanya diketahui berlaku di negara kita dan orang Melayu sahaja, tidak di negara dan bangsa lain. Wallahu a'lam.

Di Malaysia juga ada undang-undang tertentu bagi mencegah serta mengawal bahan api dan bahan letupan yang mendatangkan bahaya malah beberapa tindakan undang-undang telah, sedang dan mungkin akan diambil ke atas sesiapa yang melanggar undang-undang tersebut, namun ia bagai tiada kesan untuk menginsafinya. Di mana silapnya ? 
Berbalik kita kepada permainan mercun oleh kanak-kanak. Saya percaya ramai yang bersependapat dengan saya, bahawa mercun bukan barang mainan untuk kanak-kanak. Ia tidak seperti anak patung, basikal, kereta kayuh, bola sepak, gasing, layang-layang, ikan emas , papan longsur, dan lain-lain.

Ia mungkin barang `mainan' untuk orang dewasa. Tapi tentu ada perbezaan antara bentuk atau cara bermain orang dewasa dengan bentuk atau cara bermain kanak-kanak. Orang dewasa ketika bermain di dalam apa jua permainan dikawal oleh akal, namun kanak-kanak tidak.

Jadi, membiarkan kanak-kanak bermain dengan mercun bukan satu cara yang betul. Kanak-kanak selayaknya bermain dengan jenis permainan yang boleh mencergaskan jasmani, rohani dan akali mereka. Bukan dengan sesuatu yang orang dewasa boleh mengjangkakan akan mendatangkan kecelakaan kepada mereka.

Dengan sebab itu apabila kanak-kanak dibiarkan atau dibenarkan bermain mercun, lebih-lebih lagi jika tanpa kawalan orang dewasa, biasanya keburukan lebih banyak dari kebaikan dan kesedihan kemudiannya lebih lama dari keseronokan . 

Kita kena ingat akibat dari kecelakaan yang diterima kanak-kanak yang terlibat bukan sahaja ahli keluarga sahaja yang terasa sedih tetapi semua orang akan turut berasa sedemikian ketika mendengar , membaca , atau menonton laporan mengenai kanak-kanak tercedera , apatah lagi meinggal dunia akibat bermain dengan sesuatu yang bukan selayaknya mainan mereka .


Oleh itu, telah sampai masanya orang dewasa perlu berfikir lebih panjang dan bertindak lebih seimbang dengan cara akali serta jasmani bagi menegah kanak-kanak dari keinginan menjadikan mercun sebagai permainan. Segala-galanya di tangan orang dewasa , bukan di tangan kanak-kanak

Manfaatkan Ramadan sebagai bulan al-mubarak, dan bukan al-mudhar.

Tiada ulasan: