Jumaat, 6 Ogos 2010

Kontrak KEDA: Jangan mangsakan rakyat

Sekiranya benar bagai dikata Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) akan terpaksa ditutup kerana masalah kewujudan jurang antara kerajaan negeri dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) seperti mana desas desus yang didengari sekarang maka ia merupakan satu berita buruk buat sebahagian rakyat negeri Kedah Darul Aman.

Ini kerana KEDA yang ditubuh seawal 1981 itu adalah merupakan satu-satunya agensi di peringkat negeri yang berfungsi untuk membantu membangunkan rakyat jelata negeri Kedah, khususnya penduduk miskin di kawasan luar bandar. Sehingga kini ia dilihat sangat berjaya di dalam melaksanakan fungsinya.

Sebuah agnesi yang diwujudkan menerusi akta tertentu dan diletakkan di bawah `jagaan' KKLBW itu bukan sahaja mempunyai sejumlah pegawai dan kakitangan serta aset-aset tersendiri seperti bangunan dan lain-lain hampir di setiap daerah tetapi juga mempunyai projek-projek tertentu yang berkaitan secara langsung dengan golongan miskin , khususnya luar bandar seperti bengkel latihan, perumahan, kawasan penempatan dan sebagainya.

Difahamkan hampir 90 peratus kawasan luar bandar di negeri Kedah diliputi agensi berkenaan. Oleh itu, sekiranya agensi ini `ditutup' atau dihentikan fungsinya atau sebagainya ia akan memberi kesan buruk bukan sahaja kepada sosio ekonomi sebahagian penduduk negeri Kedah , terutama mereka yang terlibat secara langsung dengan projek-projek KEDA tetapi juga kepada mereka yang bekerja dengannya. .

Apakah masalahnya sebenar tidak diketahui umum. Cumanya apa yang diketahui sekarang ini ialah masalah pertukaran kerajaan negeri sejak pilihan raya umum 2008 lalu iaitu daripada BN kepada PR yang dikaitkan sebagai penyebab kepada kemungkinan ia ditutup .

Ini berikutan `kontraknya' dengan KKLBW dikatakan belum disambung lagi, sedangkan hayat akhirnya pada bulan Mei tahun hadapan.

Jika itulah masalahnya , maka dalam erti katakan lain, masalahnya bukan berpunca dari faktor dalaman seperti pentadbiran atau tenaga kerja dan sebagainya dalam agensi tersebut tetapi merupakan lebih kepada faktor politik yang berlainan ideologi dan konteks antara kerajaan negeri dan pusat. 

Dan andainya itulah masalahnya diharapkan pihak terbabit hendaklah melupakannya dulu, sebaliknya berilah tumpuan kepada kesinambungan usaha untuk membantu rakyat jelata yang sangat-sangat memerlukan bantuan, terutama yang tinggal di kawasan luar bandar.

Hendaknya rakyat tidak dijadikan mangsa perbezaan poltik antara satu sama lain. 

  

Tiada ulasan: