Khamis, 19 Ogos 2010

Sambut kemerdekaan jangan lupa pejuangnya

Ini bulan Ogos, sudah lebih separuh berlalu. Bulan ini juga dikenali bulan kemerdekaan kerana negara ini memperoleh kemerdekaan pada 31 Ogos, tahun 1957.

Kemerdekaan yang diperoleh itu bukan macam dapati cabutan bertuah, tapi ada susah payah untuk mendapatkannya.

Di dalam buku sejarah ada diceritakan tentang susah payah oleh yang memperjuangkannya, sehingga ada yang terpaksa merengkok dalam penjara beberapa lama, malah ada yang dibunuh.

Derita yang ditanggung oleh pejuang-pejuang itu serta anak bini mereka dan keluarga mereka bukan kepalang dan tidak terbayar dengan duit ringgit atau harta benda.

Malangnya tiada antara mereka yang benar-benar merasai hasil titik peluh perjuangan yang disertai dengan pengorbanan itu.

Bagaimana pun tidak mengapa bagi mereka asalkan anak cucu cicit hidup senang dan pandai jaga harta peninggalan cukuplah, lagi pun kerana selalunya prinsip orang tua-tua berjuang dalam apa perkara pun mereka selalu kata " Ini semua untuk anak cucu cicitku, aku tak sempat pun tak mengapa".

Betul apa yang mereka selalu ungkapkan itu. Apa yang termaktub dalam Perlembagaan itu memang itulah sebahagian dari apa yang diperjuangkan mereka. Namun, mereka tak dapat rasa pun, yang kenyang bahkan ada yang sengkak hanya anak cucu cicit sahaja.

Sekarang ini, sejak lebih 50 tahun. Pun hanya yang balun secukup-cukupnya anak cucu cicit mereka iaitu generasi selepas merdeka. Tidak mengapa, Jika mereka masih ada lagi pun, mereka tetap rasa seronok juga.

Namun, apa yang amat tidak seronok ialah apabila ada cucu cicit yang berura-ura nak gadaikan hak yang mereka usahakan dan perjuangkan dengan begadai nyawa dan berganti darah itu demi mendapat sebatang tongkat emas.

Dan ada juga cucu cicit yang kurang prihatin dan leka kerana dapat macam-macam kesenangan lalu terlupa akan keperitan yang ditanggung oleh tok nenek mereka lalu mereka pun tak berasa sayang sangat kepada harta yang ditinggalkan itu dan dibuat sambil lewa sahaja.

Sambil menunggu saat menyambut tarikh kemerdekaan itu apalah salahnya pakat-pakat ingat kembali akan  datuk nenek kita yang bergadai nyawa bersabung darah untuk memperoleh sekeping erti kemerdekaan.

Beringat-ingat sebelum kena, berjimat sebelum habis, Terlajak perahu boleh diundur terlajak laku buruk padahnya,

Tiada ulasan: