Selasa, 10 Ogos 2010

Selamat berpuasa

Mulai esok umat Islam di Malaysia dan di negara-negara lain di seluruh dunia besar kemungkinan akan memulakan puasa wajib bulan Ramadan al-mubarak. 

Selama lebih kurang 30 hari mereka menunaikan kewajipan itu dengan penuh tawaduk dan khusyuk . Jadi, kepada saudara Muslimin dan Mukminin yang mengunjungi blog saya , saya ucapkan selamat berpuasa dan mendapat ganjaran sebaik mungkin dari fadhilat Ramadan.

Berpuasa dalam erti kata sebenar ia bukan semata-mata merujuk kepada perbuatan menahan nafsu makan dan minum dan nafsu syahwat terhadap pasangan suami / isteri tetapi lebih dari itu adalah menahan dari melakukan segala-galanya yang boleh merosakkan puasa itu sendiri.

Justeru, puasa yang sebaik-baiknya menurut ulamak ialah puasa yang mencakupi semua aspek penahanan diri dari melakukan segala perkara mungkar yang mungkin terjadi oleh anggota badan, panca indera, minda, hati, lidah dan sebagainya; selain nafsu makan /minum dan persetubuhan.

Apakah perkara-perkara itu ? Ia termasuk semua perkara yang dilarang (nahi) sama ada dalam bentuk makruh atau lebih-lebih lagi haram. 

Mungkin agak sukar untuk dilakukan tetapi itulah cabaran yang patut dihadapi olej umat Islam. Bulan Ramadan adalah bulan penuh ujian- luar dalam dalam.

Bagaimanapun semua cabaran itu tidak disia-siakan oleh Allah SWT, Tuhan Rabbul Alamin . Kesabaran menghadapi ujian itu akan diberikan ganjaran berganda berbanding bulan-bula lain.

Menurut ulamak ganjaran kepada amalan kebaikan (soleh) di bulan Ramadan akan digandakan berpuluh kali ganda daripada bulan-bulan lain. Buat apa sahaja kebaikan seperti membantu orang di dalam kesusahan, bersedekah dan sebagainya.

Amalan sunat sekalipun diberikan ganjaran setara dengan ganjaran amalan wajib yang dilakukan pada bulan-bulan lain , manakala amalan wajib pula digandakan ganjarannya sehingga berpuluh kali ganda.

Jadi, di sini saya ingin mengajak saudara-saudara Muslim dan Mukmin sekalian serta diri saya sendiri dan keluarga agar sama-sama kita kuatkan tekad dan azam untuk menjadikan puasa yang dilaksanakan tahun ini lebih baik dari tahyn sebelum ini atau berada pada tahap sebaik mungkin. Insya Allah . 

Bersamalah kita mohon restu dan hidayah Allah..

SELAMAT BERPUASA .... 

Tiada ulasan: