Rabu, 11 Ogos 2010

Tak perlu tazkirah pada waktu solat tarawih

Antara keunikan bulan Ramadan ialah selain dari difardukan berpuasa pada siang hari disunatkan (sunat muakkad) mendirikan solat tarawih dan witir pada malam hari .

Secara tradisinya ia (tarawih) didirikan sebanyak 20 raka'at ; namun sesetengah ulamak berpendapat ia boleh juga dilakukan lapan raka'at sahaja,. kemudian diikuti dengan tiga raka'at solat witir.

Sedangkann solat witir itu sendiri bukanlah termasuk di dalam kumpulan solat sunat yang disunatkan berjamah pada bulan-bulan lain. Tetapi pada bulan Ramadan ia dibolehkan serta digalakkan. Ini menandakan satu kelebihan dan keunikan yang ada pada bulan Ramadan.

Maknanya umat Islam bukan sahaja diwajibkan berpuasa pada siang harinya tetapi juga digalakkan membuat pelbagai ibadat sebanyak mungkin dengan penuh ikhlas kepada Allah SWT seperti solat tarawih, solat witir, iktikaf, membaca al-Quran dan sebagainya, baik siang mahupun malam.

Namun semenjak beberapa tahun kebelakangan ini ketika asyik mendirikan solat tarawih itu, sama ada lapan atau 20 raka'at ada sesetengah tempat di negara ini diselangi pula dengan aktiviti apa yang dinamakan `tazkirah'.

Saya kurang faham apakah tujuan sebenar di sebalik ativiti tersebut. Ini kerana sekiranya dilihat dari segi tujuan untuk menyampaikan ilmu, ia ternyata tidak sesuai dan menepati masa dan keadaan . Ini kerana para khalayak yang terdiri dari pelbagai lapisan usia dan latar belakang itu telah menetapkan minda masing-masing datang ke masjid untuk solat , bukan mendengar ceramah.

Kalau pula dilihat ceramah (tazkirah) itu dalam konteks disiplin ilmu pengucapan awam, nyata sekali ia seolah-olah dilakukan tanpa `analisis khalayak' . Justeru, ia satu `kesalahan' besar yang memungkinkan mana-mana aktiviti ceramah atau ucapan gagal, jika tanpa analisis khalayak seperti sewajarnya.

Dan ini jelas, apabila ada orang yang memberi reaksi sepontan dengan bangun meninggalkan `majlis' . Ada pula sesetengah penyampai tazkirah marah-marah orang yang bangun meninggalkan majlsi itu. Ini saya pernah saksikan sendiri di sebuah masjid di tempat saya pada tahun lalu.

Seandainya inilah keadaannya yang wujud, buat apalah diadakan tazkirah (saya bukan enti tazkirah) , sedangkan tazkirah itu adalah suatu majlis ilmu yang perlu kepada bukan sahaja mendengar tetapi memahami isi yang disampaikan.

Kalau nak sekalipun diadakan tazkirah dalam bulan Ramadan pilihlah waktu lain yang lebih sesuai. Apa salahnya jika diadakan selepas solat asar atau menjelang waktu berbuka. Itu adalah lebih baik daripada diadakan pada waktu malam - waktu solat tarawih - kenalah ambil kira sama kehendak para jamaah.

Saya harap sama-sama kita fikirkan keadaan ini, biarlah waktu untuk menunaikan solat tarawih dan witir itu dipenuhi dengan aktiviti solat sahaja. Jangan ganggu masa dan tujuan orang yang datang ke masjid atau suarau pada malam hari bulan ramadan. Lebih membosankan apabila dalam `tazkirah' itu ada diselitkan dengan pandangan politik. Wah! Cukup mengelirukan sama ada ia `majlis ilmu' atau majlis politik.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya setuju. Penceramah sering tidak mematuhi masa. Perkara dibincangkan seringkali tidak berfokus dan melompat-lompat. Ramai yang menggunakan pendekatan berlawak, macam gelanggang raja lawak. Terdapat juga yang berani mengeluarkan hadis atau sirah tanpa dinyatakan sumbernya.
Kalau rasa tazkirah ni penting sangat, buatlah. Tapi competency penceramah kena diambil kira. Saya sendiri taklah mengaku berilmu mana, tapi para jamaah pasti akan menghargai penceramah yang prepare dan berdisiplin. Sudahnya, budak-budak riuh bermain dan ramai para jamaah yang pilih surau lain yang tiada majlis atau tak payah tarawih.