Khamis, 23 September 2010

Daftar pemilih tidak dapat sambutan, jangan salahkan SPR

Elemen yang terpenting dalam proses pelaksanaan sistem pemerintahan demokrasi adalah pengundi. Di tangan merekalah terletak `kuasa' untuk menaikkan atau menjatuhkan kerajaan. Malaysia yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi tidak sunyi daripada keperluan sejumlah pengundi.

Badan yang sah mendaftar pengundi di Malaysia ialah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Penubuhan dan fungsinya dimaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Menjadi pengundi berdaftar di Malaysia sehingga kini belum diwajibkan lagi. Dengan sebab itu orang ramai sama ada hendak menjadi pengundi berdaftar atau sebaliknya tidak terikat dengan apa-apa implikasi undang-undang.

Oleh itu, ia amat bergantung kepada `kesedaran' rakyat terhadap peranan mereka semata-mata di dalam memenuhi kehendak sistem demokrasi itu. Sekiranya mereka ada kesedaran mereka tanpa dipaksa akan terus berdaftar dan yang tidak ada perasaan sedemikian akan mengabaikannya.

Namun sebaliknya yang nampak `bersusah payah' untuk menambahkan jumlah pengundi ialah SPR. Buat macam-macam kaedah, macam-macam kempen , namun hasilnya tidak sebagaimana yang diharapkan .

Saya kira SPR perlu tukar `peranannya' dalam mencari bakal pengundi. Serahkan sahaja kepada parti-parti politik bagi menjalankan kerja itu kerana yang memerlukan seberapa banyak jumlah pengundi adalah mereka, bukan SPR.

Ini bermakna kalau sambutan orang ramai terhadap pendaftaran pemilih tidak menggalakkan SPR tidak boleh `disalahkan'. Itu bukan tugas SPR , tugas SPR hanya mendaftar serta menguruskan perjalanan pilihan raya sahaja. Oleh itu mengapa dibebankan kepada SPR ?

Isnin, 20 September 2010

Antara anjing dan manusia.......

Intro Laporan Berita  Utusan Malaysia (20/09/2010) pada muka 4 di bawah tajuk 9 anjing suspek ditembak , berbunyi, " KUALA LANGAT 19 Sept - Sembilan ekor anjing yang dipercayai dibela suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya di ladang miliknya di Ladang Gadong di sini terpaksa ditembak oleh Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) kerana bertindak ganas dan agresif dipercayai akibat kelaparan "

POK:   Anjing memang terkenal dengan sifat ganas dan agresif...kerana dia hanya ada naluri rangsangan semata-mata, tiada perasaan dan  fikiran.. Tapi kerana dia dari spesis binatang dia cepat menerima hukuman di atas kelakuan dan perbuatannya itu.  

Ahad, 19 September 2010

Saranan Najib hendaklah disambut pemimpin lain

Datuk Seri Najib dalam suatu ucapan pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kawasan Parlimennya kelmarin dipetik media sebagai berkata, "Pemimpin juga perlu berhemah dan sentiasa sanggup bersama rakyat tanpa mengira masa, terutama ketika mereka berada di dalam kesusahan".

Oleh itu, kata beliau lagi, " apabila musibah atau mala petaka menimpa rakyat, pemimpin seharusnya berada di barisan hadapan dan menjiwai kesusahan rakyat serta membantu mereka".

Kata-katanya itu mengingatkan saya ketika belajar sedikit mengenai komunikasi / perhubungan awam dulu, kepada istilah "masuk ke dalam kasut", jika ingin merasai penderitaan orang lain.

Kaedah ini sebenarnya telah lama diamalkan oleh para pemimpin kita di semua peringkat, cuma ada sedikit sahaja yang tidak mahu berbuat begitu, mungkin mereka berasa sombong atau `merak'  dengan kedudukan dan jawatan yang dipegangi mereka.

Justeru jika golongan ini dapat disingkirkan dari arus perdana politik negara saya yakin rakyat tidaklah sangat benci kepada parti politik arus perdana seperti Umno.

.

Rabu, 15 September 2010

Isytihar menjauhi Perkasa kerana Umno serba salah ?

Demi menjaga hati rakan seperjuangan di dalam kerajaan (Barisan Nasional) , Umno baru-baru ini nampaknya terpaksa membuat kenyataan `politik'  apabila secara terbuka parti itu melalui setiausaha agungnya mengisytiharkan pendirian `menjauhi' Perkasa, sebuah NGO Melayu yang dikenali memperjuangkan hak-hak Melayu atau pun kontrak sosial yang mana Umno sendiri turut terlibat mengasaskannya seketika dulu dan dimaktubkan di dalam perlembagaan. 

Deringan nada ini agak memeranjatkan kebanyakan orang Melayu kerana ia kelihatan sama dengan parti-parti komponen lain dalam BN. Namun bagi Umno sendiri mungkin dengan menyamakan nada dering ini membolehkan Umno berseiringan jalan  dengan rakan-rakannya dalam BN bagi menghadapi PRU akan datang. Jika tidak, Umno meragui kesetiaan mereka kerana sering menyuarakan `kebencian'  terhadap Perkasa. Justeru itu, Umno bimbang akan kehilangan sokongan daripada orang bukan Melayu dalam PRU akan datang sekiranya nada dering tidak sama. Dan ini akan menyebabkan kehilangan kerusi di Parlimen atau DUN.

Dengan mengisytiharkan persamaan `nada dering' itu Umno yakin orang bukan Melayu akan memberi sokongan padu kepada BN atau Umno sendiri. Pada Umno barangkali sokongan orang Melayu tidak menggusarkannya kerana Umno itu memang parti orang Melayu. Namun, rasanya pada masa sama Umno juga sayangkan Perkasa, sebab itu tiada kenyataan pemimpin tertinggi parti itu yang menggambarkannya `kebencian' kepada Perkasa;  apatah lagi sebahagian ahli Perkasa itu dikatakan terdiri daripada orang Umno. 

Apa pun sebenarnya Umno berada dalam keadaan serba salah dan amat menyulitkan selepas PRU ke 12 lalu. Ia ibarat kain `tidak cukup ela' - ditarik ke atas nampak yang di bawah, ditarik ke bawah nampak yang di atas. Untuk menutup kesemuanya kain tidak cukup. Kain yang `tidak cukup' itu sebahagian faktornya dikatakan berpunca dek kerana adanya `gunting dalam lipatan' di dalam Umno sendiri pada ketika itu dan mungkin masih lagi pada ketika ini.

Sekiranya benar, maka Umno tidaklah boleh membiarkan `gunting di dalam lipatan' itu terus berada bersama Umno, kerana yang demikian itu akan menyusahkannya sepanjang masa. 

Isnin, 13 September 2010

Amalkan sikap positif sepanjang masa

Sebahagian orang kampung yang tinggal di bandar saya percaya telah pulang ke kampung masing-masing menjelang Hari Raya Aidilfitri Jumaat lepas. Hari ini sebahagian besar dari mereka barangkali telah pun pulang semula ke bandar tempat kediaman mereka. Kelmarin ketika menziarahi kubur mentua di Tasik, Ipoh saya dapati laluan di lebuh raya hala ke selatan sudah mula sesak.

Terdapat juga eksiden di perjalanan yang melibatkan beberapa buah kereta `besar'. Laluan menjadi sesak berkilometer panjangnya. Kesesakan itu menandakan banyaknya kenderaan di jalan raya. Banyaknya kenderaan menggambarkan `mewah'nya kehidupan rakyat Malaysia. 

Jalan raya sama juga seperti sebuah negara. Ia diguna oleh pengguna tanpa mengira kaum dan agama. Negara juga dihuni oleh pelbagai kaum dan agama.

Ini semua kerana negara aman. Kalau tidak aman pasti suasana seperti ini sukar berlaku. Jadi, mengapa tidak keamanan itu dipelihara dengan baik. Elakkan permusuhan sesama sendiri. Mustahilkah dilakukan ?

Mengapa isu-isu perkaumana dibangkit dan dicongkilkan dari semasa ke semasa. Terimalah secara positif `kontrak sosial' yang diasaskan untuk tujuan berkenaan sebelum negara merdeka.

Mengapa ingin dirobekkan hanya kerana kepentingan politik yang tidak mengutungkan bangsa dan negara ? Janganlah racuni fikiran rakyat dengan isu-isu yang boleh membangkitkan pergaduhan. Inilah harapan kebanyakan rakyat Malaysia

Dan janganlah jadikan juga jalan raya tempat menonjol diri dan sombong diri ketika memandu sehingga mengancam nyawa orang lain. Amalkan sikap positif di jalan raya sama seperti bersikap sedemikian ketika menjalani kehidupan seharian di negara tercinta ini.

Jumaat, 10 September 2010

Sekadar renungan

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam komen balasnya terhadap kenyataan Ketua Pemuda UMNO yang juga Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin sebelum itu yang mencadangkan kerajaan membawa pulang duta Malaysia ke Indonesia berikutan tunjuk perasaan segelintir rakyat negara tersebut terhadap negara ini di Jakarta baru-baru ini sebagai "pemimpin pandai tapi tidak bijak" - Utusan Malaysia.( hari ini )

2.  Allah SWT menganugerahkan sifat Fathanah (pandai lagi bijaksana) kepada Nabi Muhammad SAW , di samping tiga lagi sifat iaitu Tabligh (penyampaian) , Siddiq ( tidak menipu/tidak berbohong) , Amanah (bertanggungjawab/jujur) sebelum baginda dilantik menjadi rasul yang akan menjadi pemimpin kepada umat manusia di seluruh maya pada ini hingga ke hari kiamat kelak..

3.  Demikianlah petunjuk Allah kepada hamba-hamba-Nya agar dapat dijadikan renungan dan panduan ketika memilih pemimpin di kalangan mereka.

Khamis, 9 September 2010

Fikir habis-habis sebelum bawa pulang duta kita

Terdapat cadangan pihak tertentu yang agak berpengaruh agar kerajaan membawa pulang duta Malaysia di Indonesia sekiranya aktiviti `rusuhan' dan tunjuk perasaan terhadap kedutaan kita di negara tersebut tidak dihentikan oleh kerajaannya.

Buat masa ini Pandangan Orang Kampung tidak nampak kebaikan jangka panjang dengan tindakan seumpama itu, malah ia akan lebih meruncingkan lagi keadaan. Usaha-usaha diplomasi masih lagi diperlukan dan didoakan berjaya. Bagaimanapun, dalam apa keadaan sekalipun kita mesti jaga hubungan dua hala dengan Indonesia. Ini kerana terdapat beberapa faktor yang mewajarkan kita berbuat demikian, antaranya faktor keselamatan rakyat dan negara secara keseluruhannya.

Kita perlu sedar bahawa jika berlaku sesuatu yang tidak dingini,  rakyat Malaysia keseluruhannya tidak akan mendapat apa-apa keuntungan dan faedah, melainkan pihak-pihak yang ada kepentingan tertentu dan yang ada kedudukan dan kekayaan serta pengaruh. Mereka ada ruang untuk `melarikan diri' daripada bahana musibah besar, sekiranya berlaku.

Kita juga harus sedar bahawa tidak mustahil di sebalik `serangan' dan tunjuk perasaan di hadapan pejabat kedutaan kita dan tempat lain di negara tersebut ada pihak ketiga atau pihak yang akan beroleh keberuntungan dengan `ketegangan' antara Malaysia dengan Indonesia. Tidak mustahil juga ada pihak yang akan mengambil kesempatan di air keruh.

Oleh itu, amat diharapkan kerajaan tidak terpengaruh dan akur dengan cadangan serta saranan pihak tertentu di negara kita itu. Penelitian yang rapi hendaklah dibuat oleh kerajaan dan pihak berkuasa keselamatan kita terhadap cadangan itu demi melihat motif sebenar di sebaliknya . 

Ini kerana ada beberapa isu penting dalam negara , yang masyarakat melihatnya sangat perlu untuk diberi perhatian serta tindakan oleh pihak tertentu itu, seperti isu-isu sensitif , perlembagaan dan kontrak sosial , namun ianya tidak berlaku sewajarnya. Sebaliknya pihak tertentu itu lebih banyak `berdiam diri' dari berkata apa-apa , kenapa ?

Mengapa pula perkara yang sangat jelas boleh mendatangkan akibat buruk kepada negara dan rakyat ini cepat-cepat menyarankan kerajaan agar mengambil tindakan tegas ? Semacam ada unsur provokasi sahaja . 

Selasa, 7 September 2010

Prasarana di pos kawalan sempadan yang menyedihkan

Agak menghairankan kenapa penyediaan prasarana penting seperti elektrik dan air tidak dibekalkan sebaiknya di pos kawalan  sempadan negara antara Malaysia- Thailand dekat Bukit Kayu Hitam sepertimana didedahkan di media kelmarin , sedangkan kawasan itu merupakan kawasan yang cukup penting (strategik) di mana pasukan keselamatan negara yang bertugas mengawal sempadan ditempatkan.  Difahamkan tiang dan kabel elektrik ada tapi tak berfungsi.

Oleh kerana ia merupakan kawasan penempatan pasukan keselamatan maka bukan sahaja ianya perlu kepada kawalan keselamatan yang rapi  malahan juga perlu kepada penyediaan prasarana yang berpadanan dan hal ini pun semua orang maklum , cuma apa yang disebut di sini hanyalah sekadar luahan rasa sedih  semata-mata kerana mengenangkan kawasan yang sepenting itu dilaporkan tiada kemudahan elektrik dan air untuk dimanfaatkan oleh pasukan keselamatan bagi  menyempurnakan tugas dan kerja mereka.

Macam manalah agaknya mereka dapat jalankan tugas dengan sempurna sedangkan kemudahan asas yang sempurna tidak disediakan. Barangkali mujurnya ada lawatan ahli Parlimen kawasan itu , Datuk Johari Bahrum , ke pos itu boleh juga ianya didedahkan, jika tidak sampai bila agaknya ia berkeadaan seperti itu. Sedangkan kedua-dua kemudahan prasarana itu  sangat penting . Pihak berkuasa tentulah perlu siasat di mana kesilapannya serta mencari jalan penyelesaian sewajarnya. Kenyataan Datuk Johari Baharum untuk membawa isu itu ke mesyuarat tertentu, memang sangat - sangat diharapkan.

Ahad, 5 September 2010

Amaran sahaja tidak mencukupi

Ketika saya di zaman remaja dahulu orang tua-tua di kampung saya sering menasihatkan saya agar , apabila saya berumah tangga pada suatu ketika nanti, tidak kerap menjerkah (tengking) anak-anak tatatkala memarahi mereka kerana kesalahan yang mereka lakukan, sebaliknya hanya sekali dan dua sahaja selain itu hendaklah terus menghukum mereka dengan hukuman yang sesuai seperti pukul dan sebagainya. Ini kerana, kata mereka , jika asyik jerkah tapi tidak diikuti dengan hukuman `setimpal' maka anak-anak tidak akan gerun (takut) dengan kita. Mereka tahu kita cakap sahaja tapi tak buat apa-apa pun.

Nasihat itu ternyata benar sekali. Apabila saya dewasa dan berumah tangga dan mempunyai beberapa orang anak dan malah beberapa orang cucu ketika ini saya dapati memang marah (amaran) sahaja tanpa diikuti dengan hukuman tegas , ianya tidak memberi apa-apa kesan ; apatah lagi `anak-anak' di zaman ini katakan !.

Begitulah juga apa yang saya nampak pada kelompok yang lebih besar. Sekiranya asyik dengan amaran sahaja, walau sekeras mana sekalipun, namun ia tidak ke mana-mana , melainkan MESTI bertindak tegas,  barulah orang gerun dan hormati kita.  

Sabtu, 4 September 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri - maaf zahir batin

Selamat balik kampung kepada perantauan yang ingin pulang ke kampung masing-masing untuk meziarahi keluarga, sahabat handai, kampung halaman yang lama ditinggalkan, dan yang lebih penting menziarahi kubur arwah-arwah ahli keluarga yang telah terlebih dahulu meniggalkan kita , mudah-mudahan dengan itu akan menginsafi kita dan mengingati akan kematian.

Semasa di jalan raya memandulah dengan berhemah, bertimbang rasa dan jangan hanya pentingkan diri sendiri sahaja tapi hendaklah ambil peduli hak orang lain sama seperti mana kita ingin diri kita dipedulikan . Ingatlah pesanan Rasulullah SAW bahawa orang-orang beriman hendaklah mengasihi orang lain sama seperti dia mengasihi dirinya sendiri, demikian mafhum sabda Rasulullah dalam sebuah hadis.

 Selamat Hari Raya Aidilfitri- maasf zahir batin.

Khamis, 2 September 2010

Pertukaran pimpinan tertinggi PDRM

Tahniah kepada Tan Sri Ismail Omar yang bakal dilantik ke jawatan Ketua Polis Negara tidak lama lagi iaitu sebaik sahaja kontrak Tan Sri Musa Hassan yang menyandang jawatan itu sekarang berakhir pada 12 September ini.

Sudah tentulah tugas yang sedang menanti Tan Sri Ismail sangat berat dan lebih mencabar kerana suasana yang mencabar dan mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat dilihat semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini; baik dari dalam mahu pun dari luar negara. Namun kita percaya Tan Sri Ismail mampu melaksanakannya dengan baik dengan petunjuk Allah dan kerjasama semua pihak, termasuk orang politik dan orang ramai.

Tidak lupa juga diucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Musa di atas perkhidmatan cemerlang beliau ketika memimpin pasukan keselamatan utama negara itu. Beliau difahamkan telah berkhidmat dengan pasukan itu selama 41 tahun- suatu tempoh yang agak lama.

Difahamkan juga Tan Sri Musa selaku KPN telah banyak melakukan transformasi dalam pasukan itu, ia termasuk menaikkan taraf perjawatan pegawai dan anggota pasukan itu dari segi skim perkhidmatan serta kedudukan gaji .

Dalam bahasa mudah tindakan itu disebut sebagai `ambil berat terhadap kakitangan bawahan'. Ini merupakan satu pendekatan yang amat baik.  Ia kerana melibatkan perkara `keperluan asas' sebenar dalam dari sudut kemanusiaan. Sedangkan faktor itu sendiri merupakan elemen penting di dalam menjana produktiviti sesuatu kerja atau perkhidmatan , justeru jika ini dapat diberikan perhatian ia akan memberi kesan positif kepada produktiviti, kerana kehidupan yang selesa akan membuahkan semangat kerja yang tinggi. Saya rasa mana-mana sektor pun memerlukan perhatian lebih terhadap faktor ini.

Selain itu, memang sudah jelas PDRM dilihat sangat komited terhadap penjagaan ketenteraman dan keselamatan awam daripada perkara `kecil' seperti lalu lintas di jalan raya kepada perkara `besar' seperti  rompakan, pembunuhan , penculikan, rusuhan dan sebagainya.

Dalam keadaan negara yang sedang berhadapan dengan pelbagai bentuk ancaman dari dalam dan luar ini kekuatan, kejituan, keutuhan serta kecekapan pasukan keselamatan seperti PDRM adalah sangat-sangat diperlukan bagi menjamin negara dan rakyat berada di dalam sejehtera dan aman.

Oleh itu, harapan rakyat kepada PDRM, lebih-lebih lagi pucuk pimpinannya amatlah tinggi. Semoga harapan itu dapat dipenuhi dengan penuh keikhlasan.  

Rabu, 1 September 2010

Selesaikan konflik menerusi saluran diplomatik, bukan demonstrasi jalanan


Saya setuju dengan pandangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya konfliks antara Malaysia dengan Indonesia diselesaikan menerusi saluran diplomatik, bukan di jalanan sebagaimana yang berlaku di Indonesia sekarang.

Sama ada untuk isu besar seperti isu persempadanan antara dua negara atau isu-isu yang lebih kecil seperti isu tenaga kerja, kesenian dan warisan atau sekalipun amah hendaklah diselesaikan secara berhemah yang antara lainnya menerusi saluran diplomatik. Kalau hendak selesaikan sesuatu isu/konfliks secara jalanan, misalnya menerusi `demonstrasi jalanan ', buat apa diwujudkan sistem kedutaan atau diplomat di antara dua negara , buang duit dan buang masa sahaja.

Oleh sebab itu,  saya juga bersetuju dengan pendapat supaya kita tidak perlu bertindak balas terhadap demonstrasi yang sedang berlaku di negara itu dengan cara yang sama di negara kita. Kerana itu tiada memberi faedah langsung. Bahkan kita akan dicap sebagai `negara bodoh'.

Kita harus yakin dengan kebijaksanaan pemimpin kita mengurus setiap isu yang berbangkit yang melibatkan kepentingan antara dua negara, malah kepentingan antara rakyat dengan rakyat. Hanya dengan menerusi kebijaksanaan akal fikiran sahaja segala masalah boleh selesai dengan penghasilan natijah yang baik dan berfaedah .

Biarlah orang lain dengan cara itu tetapi kita jangan. Kita berharap rakyat negara kita tidak terikut-ikut dengan apa yang orang lain buat dan hendaknya tidak menjadikan cara itu sebagai satu sumber pendapatan. Justeru, untuk tujuan itu dasar peningkatan taraf hidup rakyat hendaklah sentiasa diberi keutamaan di dalam merangka dasar-dasar pembangunan sosio ekonomi negara kita.