Isnin, 13 September 2010

Amalkan sikap positif sepanjang masa

Sebahagian orang kampung yang tinggal di bandar saya percaya telah pulang ke kampung masing-masing menjelang Hari Raya Aidilfitri Jumaat lepas. Hari ini sebahagian besar dari mereka barangkali telah pun pulang semula ke bandar tempat kediaman mereka. Kelmarin ketika menziarahi kubur mentua di Tasik, Ipoh saya dapati laluan di lebuh raya hala ke selatan sudah mula sesak.

Terdapat juga eksiden di perjalanan yang melibatkan beberapa buah kereta `besar'. Laluan menjadi sesak berkilometer panjangnya. Kesesakan itu menandakan banyaknya kenderaan di jalan raya. Banyaknya kenderaan menggambarkan `mewah'nya kehidupan rakyat Malaysia. 

Jalan raya sama juga seperti sebuah negara. Ia diguna oleh pengguna tanpa mengira kaum dan agama. Negara juga dihuni oleh pelbagai kaum dan agama.

Ini semua kerana negara aman. Kalau tidak aman pasti suasana seperti ini sukar berlaku. Jadi, mengapa tidak keamanan itu dipelihara dengan baik. Elakkan permusuhan sesama sendiri. Mustahilkah dilakukan ?

Mengapa isu-isu perkaumana dibangkit dan dicongkilkan dari semasa ke semasa. Terimalah secara positif `kontrak sosial' yang diasaskan untuk tujuan berkenaan sebelum negara merdeka.

Mengapa ingin dirobekkan hanya kerana kepentingan politik yang tidak mengutungkan bangsa dan negara ? Janganlah racuni fikiran rakyat dengan isu-isu yang boleh membangkitkan pergaduhan. Inilah harapan kebanyakan rakyat Malaysia

Dan janganlah jadikan juga jalan raya tempat menonjol diri dan sombong diri ketika memandu sehingga mengancam nyawa orang lain. Amalkan sikap positif di jalan raya sama seperti bersikap sedemikian ketika menjalani kehidupan seharian di negara tercinta ini.

Tiada ulasan: