Khamis, 23 September 2010

Daftar pemilih tidak dapat sambutan, jangan salahkan SPR

Elemen yang terpenting dalam proses pelaksanaan sistem pemerintahan demokrasi adalah pengundi. Di tangan merekalah terletak `kuasa' untuk menaikkan atau menjatuhkan kerajaan. Malaysia yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi tidak sunyi daripada keperluan sejumlah pengundi.

Badan yang sah mendaftar pengundi di Malaysia ialah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Penubuhan dan fungsinya dimaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Menjadi pengundi berdaftar di Malaysia sehingga kini belum diwajibkan lagi. Dengan sebab itu orang ramai sama ada hendak menjadi pengundi berdaftar atau sebaliknya tidak terikat dengan apa-apa implikasi undang-undang.

Oleh itu, ia amat bergantung kepada `kesedaran' rakyat terhadap peranan mereka semata-mata di dalam memenuhi kehendak sistem demokrasi itu. Sekiranya mereka ada kesedaran mereka tanpa dipaksa akan terus berdaftar dan yang tidak ada perasaan sedemikian akan mengabaikannya.

Namun sebaliknya yang nampak `bersusah payah' untuk menambahkan jumlah pengundi ialah SPR. Buat macam-macam kaedah, macam-macam kempen , namun hasilnya tidak sebagaimana yang diharapkan .

Saya kira SPR perlu tukar `peranannya' dalam mencari bakal pengundi. Serahkan sahaja kepada parti-parti politik bagi menjalankan kerja itu kerana yang memerlukan seberapa banyak jumlah pengundi adalah mereka, bukan SPR.

Ini bermakna kalau sambutan orang ramai terhadap pendaftaran pemilih tidak menggalakkan SPR tidak boleh `disalahkan'. Itu bukan tugas SPR , tugas SPR hanya mendaftar serta menguruskan perjalanan pilihan raya sahaja. Oleh itu mengapa dibebankan kepada SPR ?

Tiada ulasan: