Khamis, 9 September 2010

Fikir habis-habis sebelum bawa pulang duta kita

Terdapat cadangan pihak tertentu yang agak berpengaruh agar kerajaan membawa pulang duta Malaysia di Indonesia sekiranya aktiviti `rusuhan' dan tunjuk perasaan terhadap kedutaan kita di negara tersebut tidak dihentikan oleh kerajaannya.

Buat masa ini Pandangan Orang Kampung tidak nampak kebaikan jangka panjang dengan tindakan seumpama itu, malah ia akan lebih meruncingkan lagi keadaan. Usaha-usaha diplomasi masih lagi diperlukan dan didoakan berjaya. Bagaimanapun, dalam apa keadaan sekalipun kita mesti jaga hubungan dua hala dengan Indonesia. Ini kerana terdapat beberapa faktor yang mewajarkan kita berbuat demikian, antaranya faktor keselamatan rakyat dan negara secara keseluruhannya.

Kita perlu sedar bahawa jika berlaku sesuatu yang tidak dingini,  rakyat Malaysia keseluruhannya tidak akan mendapat apa-apa keuntungan dan faedah, melainkan pihak-pihak yang ada kepentingan tertentu dan yang ada kedudukan dan kekayaan serta pengaruh. Mereka ada ruang untuk `melarikan diri' daripada bahana musibah besar, sekiranya berlaku.

Kita juga harus sedar bahawa tidak mustahil di sebalik `serangan' dan tunjuk perasaan di hadapan pejabat kedutaan kita dan tempat lain di negara tersebut ada pihak ketiga atau pihak yang akan beroleh keberuntungan dengan `ketegangan' antara Malaysia dengan Indonesia. Tidak mustahil juga ada pihak yang akan mengambil kesempatan di air keruh.

Oleh itu, amat diharapkan kerajaan tidak terpengaruh dan akur dengan cadangan serta saranan pihak tertentu di negara kita itu. Penelitian yang rapi hendaklah dibuat oleh kerajaan dan pihak berkuasa keselamatan kita terhadap cadangan itu demi melihat motif sebenar di sebaliknya . 

Ini kerana ada beberapa isu penting dalam negara , yang masyarakat melihatnya sangat perlu untuk diberi perhatian serta tindakan oleh pihak tertentu itu, seperti isu-isu sensitif , perlembagaan dan kontrak sosial , namun ianya tidak berlaku sewajarnya. Sebaliknya pihak tertentu itu lebih banyak `berdiam diri' dari berkata apa-apa , kenapa ?

Mengapa pula perkara yang sangat jelas boleh mendatangkan akibat buruk kepada negara dan rakyat ini cepat-cepat menyarankan kerajaan agar mengambil tindakan tegas ? Semacam ada unsur provokasi sahaja . 

Tiada ulasan: