Rabu, 15 September 2010

Isytihar menjauhi Perkasa kerana Umno serba salah ?

Demi menjaga hati rakan seperjuangan di dalam kerajaan (Barisan Nasional) , Umno baru-baru ini nampaknya terpaksa membuat kenyataan `politik'  apabila secara terbuka parti itu melalui setiausaha agungnya mengisytiharkan pendirian `menjauhi' Perkasa, sebuah NGO Melayu yang dikenali memperjuangkan hak-hak Melayu atau pun kontrak sosial yang mana Umno sendiri turut terlibat mengasaskannya seketika dulu dan dimaktubkan di dalam perlembagaan. 

Deringan nada ini agak memeranjatkan kebanyakan orang Melayu kerana ia kelihatan sama dengan parti-parti komponen lain dalam BN. Namun bagi Umno sendiri mungkin dengan menyamakan nada dering ini membolehkan Umno berseiringan jalan  dengan rakan-rakannya dalam BN bagi menghadapi PRU akan datang. Jika tidak, Umno meragui kesetiaan mereka kerana sering menyuarakan `kebencian'  terhadap Perkasa. Justeru itu, Umno bimbang akan kehilangan sokongan daripada orang bukan Melayu dalam PRU akan datang sekiranya nada dering tidak sama. Dan ini akan menyebabkan kehilangan kerusi di Parlimen atau DUN.

Dengan mengisytiharkan persamaan `nada dering' itu Umno yakin orang bukan Melayu akan memberi sokongan padu kepada BN atau Umno sendiri. Pada Umno barangkali sokongan orang Melayu tidak menggusarkannya kerana Umno itu memang parti orang Melayu. Namun, rasanya pada masa sama Umno juga sayangkan Perkasa, sebab itu tiada kenyataan pemimpin tertinggi parti itu yang menggambarkannya `kebencian' kepada Perkasa;  apatah lagi sebahagian ahli Perkasa itu dikatakan terdiri daripada orang Umno. 

Apa pun sebenarnya Umno berada dalam keadaan serba salah dan amat menyulitkan selepas PRU ke 12 lalu. Ia ibarat kain `tidak cukup ela' - ditarik ke atas nampak yang di bawah, ditarik ke bawah nampak yang di atas. Untuk menutup kesemuanya kain tidak cukup. Kain yang `tidak cukup' itu sebahagian faktornya dikatakan berpunca dek kerana adanya `gunting dalam lipatan' di dalam Umno sendiri pada ketika itu dan mungkin masih lagi pada ketika ini.

Sekiranya benar, maka Umno tidaklah boleh membiarkan `gunting di dalam lipatan' itu terus berada bersama Umno, kerana yang demikian itu akan menyusahkannya sepanjang masa. 

Tiada ulasan: