Khamis, 2 September 2010

Pertukaran pimpinan tertinggi PDRM

Tahniah kepada Tan Sri Ismail Omar yang bakal dilantik ke jawatan Ketua Polis Negara tidak lama lagi iaitu sebaik sahaja kontrak Tan Sri Musa Hassan yang menyandang jawatan itu sekarang berakhir pada 12 September ini.

Sudah tentulah tugas yang sedang menanti Tan Sri Ismail sangat berat dan lebih mencabar kerana suasana yang mencabar dan mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat dilihat semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini; baik dari dalam mahu pun dari luar negara. Namun kita percaya Tan Sri Ismail mampu melaksanakannya dengan baik dengan petunjuk Allah dan kerjasama semua pihak, termasuk orang politik dan orang ramai.

Tidak lupa juga diucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Musa di atas perkhidmatan cemerlang beliau ketika memimpin pasukan keselamatan utama negara itu. Beliau difahamkan telah berkhidmat dengan pasukan itu selama 41 tahun- suatu tempoh yang agak lama.

Difahamkan juga Tan Sri Musa selaku KPN telah banyak melakukan transformasi dalam pasukan itu, ia termasuk menaikkan taraf perjawatan pegawai dan anggota pasukan itu dari segi skim perkhidmatan serta kedudukan gaji .

Dalam bahasa mudah tindakan itu disebut sebagai `ambil berat terhadap kakitangan bawahan'. Ini merupakan satu pendekatan yang amat baik.  Ia kerana melibatkan perkara `keperluan asas' sebenar dalam dari sudut kemanusiaan. Sedangkan faktor itu sendiri merupakan elemen penting di dalam menjana produktiviti sesuatu kerja atau perkhidmatan , justeru jika ini dapat diberikan perhatian ia akan memberi kesan positif kepada produktiviti, kerana kehidupan yang selesa akan membuahkan semangat kerja yang tinggi. Saya rasa mana-mana sektor pun memerlukan perhatian lebih terhadap faktor ini.

Selain itu, memang sudah jelas PDRM dilihat sangat komited terhadap penjagaan ketenteraman dan keselamatan awam daripada perkara `kecil' seperti lalu lintas di jalan raya kepada perkara `besar' seperti  rompakan, pembunuhan , penculikan, rusuhan dan sebagainya.

Dalam keadaan negara yang sedang berhadapan dengan pelbagai bentuk ancaman dari dalam dan luar ini kekuatan, kejituan, keutuhan serta kecekapan pasukan keselamatan seperti PDRM adalah sangat-sangat diperlukan bagi menjamin negara dan rakyat berada di dalam sejehtera dan aman.

Oleh itu, harapan rakyat kepada PDRM, lebih-lebih lagi pucuk pimpinannya amatlah tinggi. Semoga harapan itu dapat dipenuhi dengan penuh keikhlasan.  

Tiada ulasan: