Selasa, 7 September 2010

Prasarana di pos kawalan sempadan yang menyedihkan

Agak menghairankan kenapa penyediaan prasarana penting seperti elektrik dan air tidak dibekalkan sebaiknya di pos kawalan  sempadan negara antara Malaysia- Thailand dekat Bukit Kayu Hitam sepertimana didedahkan di media kelmarin , sedangkan kawasan itu merupakan kawasan yang cukup penting (strategik) di mana pasukan keselamatan negara yang bertugas mengawal sempadan ditempatkan.  Difahamkan tiang dan kabel elektrik ada tapi tak berfungsi.

Oleh kerana ia merupakan kawasan penempatan pasukan keselamatan maka bukan sahaja ianya perlu kepada kawalan keselamatan yang rapi  malahan juga perlu kepada penyediaan prasarana yang berpadanan dan hal ini pun semua orang maklum , cuma apa yang disebut di sini hanyalah sekadar luahan rasa sedih  semata-mata kerana mengenangkan kawasan yang sepenting itu dilaporkan tiada kemudahan elektrik dan air untuk dimanfaatkan oleh pasukan keselamatan bagi  menyempurnakan tugas dan kerja mereka.

Macam manalah agaknya mereka dapat jalankan tugas dengan sempurna sedangkan kemudahan asas yang sempurna tidak disediakan. Barangkali mujurnya ada lawatan ahli Parlimen kawasan itu , Datuk Johari Bahrum , ke pos itu boleh juga ianya didedahkan, jika tidak sampai bila agaknya ia berkeadaan seperti itu. Sedangkan kedua-dua kemudahan prasarana itu  sangat penting . Pihak berkuasa tentulah perlu siasat di mana kesilapannya serta mencari jalan penyelesaian sewajarnya. Kenyataan Datuk Johari Baharum untuk membawa isu itu ke mesyuarat tertentu, memang sangat - sangat diharapkan.

Tiada ulasan: