Rabu, 1 September 2010

Selesaikan konflik menerusi saluran diplomatik, bukan demonstrasi jalanan


Saya setuju dengan pandangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya konfliks antara Malaysia dengan Indonesia diselesaikan menerusi saluran diplomatik, bukan di jalanan sebagaimana yang berlaku di Indonesia sekarang.

Sama ada untuk isu besar seperti isu persempadanan antara dua negara atau isu-isu yang lebih kecil seperti isu tenaga kerja, kesenian dan warisan atau sekalipun amah hendaklah diselesaikan secara berhemah yang antara lainnya menerusi saluran diplomatik. Kalau hendak selesaikan sesuatu isu/konfliks secara jalanan, misalnya menerusi `demonstrasi jalanan ', buat apa diwujudkan sistem kedutaan atau diplomat di antara dua negara , buang duit dan buang masa sahaja.

Oleh sebab itu,  saya juga bersetuju dengan pendapat supaya kita tidak perlu bertindak balas terhadap demonstrasi yang sedang berlaku di negara itu dengan cara yang sama di negara kita. Kerana itu tiada memberi faedah langsung. Bahkan kita akan dicap sebagai `negara bodoh'.

Kita harus yakin dengan kebijaksanaan pemimpin kita mengurus setiap isu yang berbangkit yang melibatkan kepentingan antara dua negara, malah kepentingan antara rakyat dengan rakyat. Hanya dengan menerusi kebijaksanaan akal fikiran sahaja segala masalah boleh selesai dengan penghasilan natijah yang baik dan berfaedah .

Biarlah orang lain dengan cara itu tetapi kita jangan. Kita berharap rakyat negara kita tidak terikut-ikut dengan apa yang orang lain buat dan hendaknya tidak menjadikan cara itu sebagai satu sumber pendapatan. Justeru, untuk tujuan itu dasar peningkatan taraf hidup rakyat hendaklah sentiasa diberi keutamaan di dalam merangka dasar-dasar pembangunan sosio ekonomi negara kita.

Tiada ulasan: