Ahad, 31 Oktober 2010

Hidupkan semula Kuiz Kenegaraan Jabatan Penerangan

Utusan Malaysia baru-baru ini telah memilih 200 orang rakyat Malaysia (yang tidak diperincikan keturunan kaumnya) untuk dijadikan responden kepada kajiannya mengenai pemahaman sejarah dan kenegaraan Malaysia. Seperti yang dilaporkan dapatan daripada kajian itu ialah kebanyakan mereka tidak menghayati sejarah dan kenegaraan Malaysia. Mereka adalah terdiri daripada golongan yang berumur antara 15 hingga 50 tahun.

Pada saya ia tidak begitu mengejutkan sangat meskipun cukup mengeciwakan. Ini kerana ada beberapa faktor agak saya yang memungkinkan keadaan itu wujud. Antaranya ialah sistem pendidikan kebangsaan kita sendiri sejak kebelakangan ini yang tidak lagi begitu memberi penekanan terhadap subjek sejarah dan kenegaraan.

Selain itu mungkin cara pemberian taraf kewarganegaraan kepada orang asing juga agak longgar dan tidak memberi penekanan dan tumpuan kepada aspek kenegaraan Malaysia , termasuk mengambil kira keupayaan menguasai bahasa kebangsaan kita, iaitu bahasa Melayu. Dengan sebab itu kita lihat ada mereka yang didakwa sebagai warga negara tetapi tidak fasih berbahasa kebangsaan. Jauh sekali barangkali untuk memahamai sejarah dan mengambil berat mengenai kenegaraan Malaysia.

Sekiranya ibu bapa sendiri berkeadaan begitu tidak myustahil keadaan itu akan diwarisi pula oleh generasi berikutnya. Maka akan lahirlah generasi demi generasi Malaysia yang tidak memahami sejarah dan kenagaraan negara ini.

Oleh itu, usaha perlu dilakukan oleh banyak pihak untuk memulihkan keadaan ini kepada yang lebih positif dan memberangsangkan. Pada pandangan saya selain Kementerian Pelajaran, Pendidikan Tinggi , Kementerian Penerangan , Komunikasi dan Kebudayaan juga perlu mengambil daya usaha dan langkah tegas bagi menjayakan program `penghayatan' sejarah dan kenegaraan Malaysia.

Pernah sepanjang tahun 1990-an hingga awal 2000 Jabatan Penerangan telah menganjurkan program Kuiz Kenegaraan dangan menjadikan salah satu aspek soalannya mengenai sejarah, politik dan kenagaraan. Tujuannya ialah untuk menyebar luaskan `kesedaran sivik' mengenai persejarahan dan kenegaraan Malaysia. Program itu dianjurkan pada peringkat daerah, zon dan pusat . Sasaran utamanya ialah pelajar-pelajar sekolah menengah.

Sekarang saya difahamkan ia tiada lagi. Jadi, tidakkah boleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menghidupkan serta menjenamakan semula program itu secara lebih meluas dan efisen lagi ?

Khamis, 28 Oktober 2010

Anugerah Merdeka 2010 kepada Faaland memang tepat

Memang sesuai pada orangnya dan tepat pada waktunya kerajaan memilih  Tan Sri Just Faaland , seorang tokoh ekonomi serta Perunding Kanan Chr. Michelsen , Norway untuk diberikan Anugerah Merdeka 2010 baru-baru ini. Ini kerana beliau adalah merupakan di antara `orang penting' yang bertanggungjawab menggubal Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancar pada tahun 1970 - 1990.

Selama ini kebanyakan rakyat Malaysia menganggap DEB itu digubal oleh pemimpin kerajaan yang dikuasai orang Melayu dan pegawai kanan kerajaan (Melayu) . Lantas isu mengenai DEB ini sering menjadi isu `hangat' yang tidak berkesudahan hingga ke hari ini, meskipun tempohnya telah tamat.

DEB juga telah dijadikan isu `perkauman' oleh sesetengah pihak bagi menggambarkan ianya pencetus ketidakadilan sosial dan agihan ekonomi antara kaum di negara ini iaitu dengan hanya menitikberatkan agihan ekonomi kepada satu kaum sahaja, pada hal secara praktiknya semua kaum di negara ini memperoleh nikmatnya.

Dengan memilih Faaland sebagai penerima anugerah itu, ia diharapkan dapat memberi gambaran jelas kepada seluruh rakyat Malysia bahawa penggubalan DEB itu memang berasaskan kepada rasional ekonomi sebenar yang ada hubung kaitnya dengan keperluan situasi politik, sosial dan ekonomi negara ini.

Justeru, diharapkan juga agar rakyat Malaysia akan faham bahawa DEB bukanlah sesuatu yang sengaja direka untuk kepentingan satu kaum sahaja atau berasaskan sentimen perkauman semata-mata sebagaimana yang disangka selama ini. Tapi sebenarnya ia adalah sebaliknya.

Oleh itu, saranan beliau supaya semangat serta sasaran DEB itu perlu diteruskan bersama dengan dasar-dasar baru ekonomi negara ini wajar diambil peduli oleh semua pihak yang terlibat dan agar tidak ada lagi mana-mana pihak mempertikaikannya secara penuh prasangka. 

Rabu, 27 Oktober 2010

Dasar baru Dr. Rais

Buat pertama kali dalam gerakan kempen pilihan raya di negara ini parti pembangkang diberi ruang menggunakan saluran media rasmi kerajaan (RTM) walau pun  secara `bersyarat'. Dasar baru itu diumumkan oleh Menteri Penerangan , Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim di Gua Musang kelmarin. Ia sempena dengan bermulanya kempen PRK DUN Galas dalam Parlimen Gua Musang. 

Sungguhpun ia bersyarat tapi adalah satu perubahan dasar yang sebelum ini dilihat sangat `ketat'. Dengan keterbukaan dasar itu sekurang-kurangnya ada `transformasi' dalam penggunaan saluran media milik penuh kerajaan dan sejajar dengan beberapa perubahan dalam dasar pembangunan negara.

Usaha pembangkang untuk mendapat ruang itu selama ini kini nampaknya berjaya. Oleh itu, mereka secara adab dan adatnya perlu berterima kasih kepada Dr. Rais di samping tahu menggunakan kesempatan serta letakkan diri. Mereka juga, kalau mahu mesej mereka sampai kepada khalayak dan rakyat dengan lebih luas lagi maka mestilah juga bersedia mengawal dan memelihara segala perkataannya.

Ini semestinya, kerana waimma pihak kerajaan sendiri di RTM itu ada `gate keeper'nya yang akan menentukan `lampu hijau' atau `lampu merah' bagi setiap perkataan yang akan diudarakan. Ini kena difahami terlebih dulu . Cuma diharapkan tiada yang terlepas pandang dan terlepas tangan di pihak RTM sendiri.


Selasa, 26 Oktober 2010

Angka bukan tidak penting

Angka bukan tidak penting dalam kempen pilihan raya, tetapi sehingga kini di kebanyakan tempat di Malaysia kempen pilihan raya masih mementingkan kaedah mempergunakan emosi dalam membentuk nilai dan persepsi dan seterusnya sikap pengundi, terutama di kawasan-kawasan luar bandar.

Ini bererti sesiapa yang bijak memainkan atau mempergunakan emosi pengundi atau orang ramai nescaya mudah bagi partinya menawan hati dan perasaan pengundi , walaupun dari segi kebenaran hujahannya masih boleh diperdebatkan .

Mengenengahkan fakta dan angka semata-mata tanpa disertai dengan seni permainan emosi ia belum tentu mampu menawan hati dan perasaan pengundi untuk membina persepsi positif terhadap sesebuah parti yang bertanding itu.  

Oleh itu pada saya, mungkin sekalipun dicap sebagai `buta angka' , namun dalam hal ini saya masih yakin dengan pendirian bahawa emosi mengatasi angka dalam kempen pilihan raya. Justeru siapa bijak mempengaruhi emosi pengundi harapan untuk partinya memperoleh kemenangan adalah lebih cerah. 

Inilah senario tanggapan atau pendirian kebanyakan pengundi yang terdapat di Malaysia sejak merdeka hingga sekarang. Mulai hari ini kempen pilihan raya kecil sedang berlaku di dua tempat berasingan di Malaysia yang mana parti pemerintah pusat (BN) berhadapan dengan parti Pas di DUN Galas, Kelantan dan dua parti lain (PKR & SAPP) di Parlimen Batu Sapi, Sabah. Sama-samalah kita perhati dan nantikan.

Isnin, 25 Oktober 2010

Tukang cakap dan tukang masak

Saya lihat beberapa tahun kebelakangan ini pantun, seloka dan gurindam telah dijadikan bahan penting di dalam persembahan ucapan dan perbahasan di dalam mesyuarat agung Umno, seolah-olah ia suatu kemestian dan trend yang tidak boleh dipisahkan. 

Pada era ketika mana ia mula-mula digunakan dahulu hanya beberapa orang perwakilan sahaja yang dilihat menggunakan genre-genre sastra Melayu tersebut di dalam persembahan perbahasan/ucapan mereka , lalu ia kelihatan cukup menarik serta menghiburkan. Nampak keunikan dan cukup menawan.

Tetapi apabila ia digunakan secara `keterlaluan' seperti sekarang saya dapati seolah-olah impak atau `serinya' sudah hilang . Ini kerana kelihatan semua pihak cuba sedaya mungkin menggunakannya walaupun dilihat kurang penting.

Tidak dinafikan demi menghidupkan seni sastera bangsa kita itu, ia wajar digunakan lebih-lebih di dalam sesuatu majlis perjumpaan `agung' pertubuhan yang mewakili komuniti Melayu seperti Umno tetapi hendaklah berpatutan pada tempat dan orangnya. Ini kerana supaya ia sentiasa dirasa lebih terhibur, menarik serta unggul .

Oleh itu, para perwakilan atau pemimpin perlu mengubah gaya persembahan masing-masing agar lebih segar, menarik dan berkesan.  Ia tidak semestinya menggunakan seloka, gurindam, pantun dan seumpama . Mesej boleh dimasukkan walaupun bukan melalui bidang-bidang tersebut.

Biarlah orang-orang tertentu serta dengan kebolehan dan bakat mereka sahaja menggunakan persembahan cara sedemikian. Malah lagi banyak gaya persembahan lagi lebih baik dan menarik. Ingatlah sesuatu masakan itu akan lebih sedap jika tukang masak tahu mengadunkan rempah ratus dalam resipi masakannya.   

Selasa, 19 Oktober 2010

Perhimpunan Agung UMNO 2010

Hampir 5,000 orang perwakilan UMNO kini berada di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) di Kuala Lumpur kerana menghadiri Perhimpunan Agung parti itu pada 2010.

Seperti pada perhimpunan-perhimpunan lalu, perhimpunan kali ini juga parti itu dijangka akan membincangkan isu-isu yang berkaitan langsung dengan perjuangan, hala tuju, dan lain-lain yang berkaitan dengan fungsi serta kedudukannya sebagai parti dominan dalam pemerintahan negara sejak lebih 50 tahun lalu.

Kekalahan teruk BN yang ditunjanginya pada pilihan raya umum lalu menyebabkan kedudukan pengaruh dirinya sendiri juga menjadi goyah, jika tidak pun tumbang; sedangkan ada parti komponennya boleh dikatakan terus tumbang . Dalam kedudukan yang lemah itu UMNO sebagai tulang belakang mesti mencari `jalan selamat' supaya ia dan rakan-rakannya mampu terus menerajui pemerintahan negara.

Namun dalam mencari jalan itu, hendaknya UMNO tidak harus tersasar dari landasan dasar perjuangan asalnya iaitu `memperjuangkan nasib bangsa dan agama' yang mendukunginya dan `negara' yang diperintahnya dan bukan memperjudikannya.

Dalam kegigihan dan keghairahan mencari perubahan bagi mencapai hasrat membina semula pengaruh dan kekuatan itu UMNO boleh melakukan macam-macam strategi dan kaedah, namun mesti berhati-hati agar ia tidak menjadi mangsa kepada mana-mana pihak berselindung di sebalik kejujuran dalam merangka sebarang perubahan. 

Jika tidak berhati-hati dalam hal ini, dibimbangi UMNO juga besar kemungkinan akan menerima nasib yang sama seperti rakan komponennya yang lain. Ini mungkin berlaku jika perasaan dan hati kaum (bangsa) yang mengdukunginya itu terluka parah akibat tindak tanduk pemimpinnya yang tidak relevan dengan asas perjuangan sehingga membawa kepada mereka rela segala-galanya, termasuk melepaskan UMNO dan memilih yang lain. Memang benar perubahan perlu dan penting tetapi mestilah konsisten dengan asas perjuangan dan matlamat asalnya. Jika sebaliknya ia akan mengundang banyak masalah.

Oleh itu, para pemimpin dan para perwakilan yang menghadiri PAT kali ini harus lebih-lebih berhati-hati dalam membawa usul dan hujah maka harus juga terfikir sama kesan buruk jika tersilap `mecari jalan keluar' daripada kesan himpitan keputusan PRU lalu itu. Jangan biarkan tindak tinduk yang tidak `betul' pada masa lalu itu kembali menghantui lagi pada PRU akan datang.  Wallahu alam.

Isnin, 18 Oktober 2010

CUEPACS ! Jangan hanya minta bonus sahaja, perjuangkan sama nasib pekerja kontrak.

Semacam tiada agenda lain bagi CUEPACS, justeru setiap kali belanjawan negara dibentangkan tuntutan yang dibuat ialah supaya bonus dua bulan gaji dibayar kepada kakitangan kerajaan. Gejala tuntutan bonus dua bulan gaji itu menyebabkan PM terpaksa menjelaskan secara terbuka sebab-sebab ketidakbolehan kerajaan memenuhi tuntutan itu selepas pembentangan belanjawan 2011 baru-baru ini  Bagaimanapun sagu hati dibayar juga sebanyak RM500 kepada setiap kakitangan kerajaan sehingga Gred 54 , termasuk pesara . All-hamdulillah, syukur !

Bukanlah tidak boleh sama sekali membuat tuntutan bonus itu tapi adakah itu sahaja kerja CEUPACS , sedangkan kalau tidak silap saya masih terdapat 50,000 pegawai/kakitangan kerajaan yang perkhidmatannya masih bertaraf  KONTRAK yang mana bukan sahaja di peringkat sokongan tetapi juga peringkat pengurusan dan profesional Gred 41dan lain-lain.

Sayugia diambil perhatian bahawa selagi  seseorang berada dalam perkhidmatan kontrak kedudukan masa depannya terlalu kabur berbanding dengan perkhidmatan tetap dan berpencen. Mengapa dalam hal ini tidak nampak kesungguhan daripada CEUPACS memperjuangkan nasib mereka  ?

Sesungguhnya memperjuangkan nasib mereka itu adalah lebih baik daripada memperjuangkan bermati-matian mengenai bonus tahunan dua bulan gaji. Apakah kerana mereka daripada kelompok `kecil' dan barangkali kerana bukan dari golongan `orang kuat'   CEUPACS menyebabkan perjuangan nasib mereka hanya timbul sekali sekala sahaja ?

Pada pandangan saya CUEPACS perlulah berusaha bersungguh-sungguh supaya skim kontrak itu dikaji semula oleh pihak kerajaan atau memastikan bahawa mereka yang berada di dalam perkhidmatan kontrak itu diserapkan ke perkhidmatan tetap dalam tempoh tertentu agar masa depan mereka tidak begitu kabur seperti sekarang. Kita kena ingat bahawa mereka pun ada anak bini yang perlu diberi nafkah dan pelajaran. Bayangkan kalau kita sendiri berada di tempat mereka ? 

Ahad, 17 Oktober 2010

Syawal, Zulqaidah , Sebahagian Zulhijjah adalah bulan haji - sama-samalah kita hormatinya

Mengikut kalendar Islam, bulan ini adalah bulan Zulqaidah-iaitu bulan kesesebelas . Sebelumnya ialah bulan Syawal. Mulai 1Syawal hingga ke 10 Zulahijjah dinamakan juga `Bulan Haji'. Oleh kerana itu bakal-bakal haji dari seleruh dunia sedang bergerak dengan pelbagai cara menuju ke tanah suci - Mekah dan Madinah bagi menunaikan ibadat haji serta umrah.

Untuk mengerjakan kedua-dua ibadat tersebut seseorang (Muslim/Muslimat) itu dikehendaki berihram (memakai pakaian tiada berjahit,  berwarna putih) berserta dengan niat mengerjakan ibadat tersebut mengikut syarat-syarat tertentu. Malah mesti mematuhi beberapa `pantang larang' sepanjang masa berihram itu .

Itu bagi mereka yang sedang mengerjakan kedua-dua ibadat tersebut itu, tapi bagaimana pula dengan kita yang tidak terlibat dengan kedua-duanya. Sudah pastilah kita tidak terikat terlalu rigit dan keseluruhannya dengan pantang larang itu namun,  apalah salahnya jika mempunyai keazaman walau pun untuk sekadar menghoramti bulan haji itu dengan sekurang-kurangnya membanyakkan ibadat zikrullah, selawat ke atas Nabi serta , kalau mampu kurangkan pertengkaran , banyakkan muhasabah diri, beristighfar dan seumpamanya.

Khamis, 14 Oktober 2010

Guna ISA untuk pengancam keselamatan negara satu tindakan betul

Pihak berkuasa keselamatan negara menahan sembilan individu kelmarin yang terdiri daripada tujuh staf jabatan imigresen dan dua warga asing yang tidak didedahkan identiti negara mereka di bawah ISA kerana didakwa terlibat dengan sindiket penyeludupan `orang asing' ke negara ini yang dipercayai boleh menjejaskan keselamatan negara; atau dengan kata-kata lain sebagai mengkhianati kedaulatan negara ini menerusi perbuatan mereka.

Seluruh rakyat Malaysia wajar sekali menghormati dan mengalu-alukan tindakan tersebut demi menjunjung kedaulatan negara dan memelihara perhubungan baik antara rakyat . Barangkali itulah `hukuman' yang agaknya lebih setimpal dengan perbuatan seperti itu.

Namun tindakan seumpama juga amat diharapkan agar dapat dilakukan ke atas mereka yang melakukan perbuatan yang hampir sama iaitu yang menghina lagu Negaraku, Perlembagaan Negara, Raja-raja Melayu, Agama Islam, Hak Peribumi mengikut Perlembagaan dan sebagainya yang semuanya itu boleh disimpulkan sebagai bersifat antinasional dan mengapi-apikan perasaan perkauman di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama negara ini . 

Apakah perbuatan mereka itu tidak boleh ditakrifkan sebagai sebahagian daripada bentuk ancaman terhadap keselamatan negara dan apakah mereka itu tidak wajar diberikan hukuman yang sama untuk diberikan `kursus sivik' di tempat yang sama ?  

Isnin, 11 Oktober 2010

Tolong hentikan tekanan terhadap isu koata Bumiputera

Pemimpin tertinggi MCA sekali lagi mengeluarkan kenyataan terbukanya supaya koata untuk Bumiputera yang dicipta semasa memperkenalkan dasar ekonomi baru (DEB) dulu dihapuskan.

Kenyataan itu merupakan kenyataan ulangan beliau. Entah berapa kali lagi akan diulangnya permintaan itu , selagi pemimpin UMNO tidak melayannya, tidaklah diketahui. Namun kenyataan itu sangat mengguriskan hati orang Melayu yang kini merupakan golongan minoriti. Malah koata itu sebenarnya kalau diteliti secara mendalam hanya lebih merupakan `di atas kertas' sahaja kerana secara hakikatnya nikmat di sebalik koata itu semua orang, termasuk orang Cina merasainya.

Ini jelas , misalnya kalau Bumiputera dapat lesen kontraktor sekali pun, hanya lesennya sahaja tetapi segala keperluan lain terutama bahan-bahan keperluan untuk sesuatu projek dibeli dari kedai siapa ? bukankah dari kedai-kedai milik orang Cina. Maka hasilnya sudah tentu diperoleh orang Cina juga. Ini satu contoh yang yang mudah difahami, atau contoh cara orang kampung sahaja. Begitulah dengan hal-hal yang lebih besar dan bersifat international dan sebagainya.

 Oleh itu, apalah beria-ia sangat mendesak kerajaan pimpinan UMNO dengan isu itu tidak habis-habis. Apakah sebenarnya perjuangan `suci' setiap parti politik di negara ini, adakah mereka berjuang dan bertungkus lumus untuk mengisi kemerdekaan negara atau bertungkus lumus untuk mengisi tembolok kepentingan politik kaum sendiri, atau diri sendiri, atau apa-apa jua yang boleh menyusahkan kebanyakan orang dan berpontensi menjadikan negara tidak stabil.

Apatahlagi jika ia datang dari parti-parti yang mengdukungi kerajaan yang memerintah negara. Dan apatah lagi jika ia datang dari orang-orang bijak pandai . Tak kan tak faham bahawa pelabur asing tidak akan melabur di sesebuah negara yang keadaan masyarakatnya yang kucar kacir atau politiknya tidak stabil. Mustahil ! Kerana orang kampung pun tahu dan faham.

Oleh itu, amat diharapkan agar mana-mana pihak sekali pun tolonglah hentikan dari membangkit isu-isu seperti ini lagi. Kasihanilah kepada negara yang sudah lebih 50 tahun `bebas' dari penjajahan dan kasihanilah juga rakyat yang tidak ada apa-apa kepentingan kedudukan dan jawatan serta kuasa.

Para pemimpin politik, khususunya dari parti Cina kurangkanlah tekanan anda dalam menuntut `ketentuan' hak antara kaum di negar ini, sedangkan ketentuan itu telah dipersetujui bersama oleh para pemimpin kaum di negara ini sebelum anda.

Sabtu, 9 Oktober 2010

Terima sahajalah teguran terbuka Tengku Nan tu !

Pemuda dan Puteri UMNO telah ditegur secara terbuka oleh setiausaha agung UMNO sendiri, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur, baru-baru ini di ats sikap mereka yang digambarkan sebagai berjuang hanya untuk `mengejar jawatan' , termasuk jawatan dalam kerajaan.

Teguran itu mendapat reaksi `kurang positif' oleh kedua-dua pemimpin sayap itu sepertimana laporan media hari ini, terutama pemimpin pemuda yang nampak macam nak marah saja. . Bagi rakyat biasa teguran terbuka itu ada baiknya , lebih-lebih lagi apabila ia datang daripada seseorang yang sudah lama dalam parti dan bermula dari bawah pula. Pastilah beliau sudah lama memerhati sikap atau cara orang muda bekerja dan bertindak dan barangkali juga sudah lama terbuku di hatinya sesuatu yang kedua-dua sayap itu patut buat tapi tak buat. .

Mungkin juga selaku orang `tua' dan orang `lama' beliau sudah menoleh ke kiri dan ke kanan, ke atas dan ke bawah sebelum membuat teguran terbuka itu. Mesti ada sebabnya. Kalau tidak tak kan beliau sanggup berbuat demikian,

Oleh itu apalah salahnya jika beliau buat teguran seperti itu. dan pemimpin kedua-dua sayap itu patut terimalah  sahaja teguran itu dan cuba muhasabah diri sendiri . Memang pun sejak ke belakangan ini tindak tanduk kedua-dua sayap itu, terutama sejauh yang berkaitan dengan isu-isu yang membabitkan kepentingan orang Melayu dan Islam, tidak nampak menyerlah pun. Orang kampung pun tahu. Jadi tak usahlah berkata itu dan ini lagi. Diam sahaja cukuplah.   

Selasa, 5 Oktober 2010

Azizan vs Mahdzir fasal tarif air

MB Kedah, Datuk Seri Azizan Abd. Razak dilaporkan akan mendedahkan nama-nama mereka yang ada saham dalam syarikat yang mendapat kontrak rawatan air di Langkawi ketika BN memerintah sebelum ini iaitu hasil dari langkah penswastaan air .

`Ugutan' itu timbul apabila bekas MB lalu , Datuk Seri Mahzdir Khalid , mempertikaikan cara kerajaan negeri sekarang merasionalkan langkah menaikkan kadar tarif air sehingga 27 peratus. Elok juga jika didedahkan, rakyat boleh buat penilaian sendiri , namun kenaikan sebanyak itu , juga dilihat agak tinggi.  

Isnin, 4 Oktober 2010

Isu judi dijangka antara isu hangat dalam kempen PRK Galas

Isu yang boleh dijangka dibangkitkan dalam kempen pilihan raya kecil DUN Galas di Kelantan tidak lama lagi ialah isu `wang ehsan' warga emas di Pulau Pinang yang dikaitkan daripada sumber perjudian.

Sekarang ini isu itu sudah gah, bukan saja di negeri itu tetapi juga di seluruh negara. Ini berikutan dengan tindakan berpuluh-puluh warga emas yang menerima pemberian itu memulangkan semula wang itu.

Pakatan Rakyat (PR) mengaitkan tindakan itu sebagai ada unsur `campur tangan' Umno. Saya ada juga dengar hujah-hujah daripada pihak tertentu bahawa isu itu sengaja diputar belitkan dan dipolitikkan oleh pihak tertentu, khasnya Umno.

Jawapan kepada isu itu oleh pihak PR yang saya pernah dengar ialah kerajan BN sendiri yang menjadi punca kepada wujudnya aktiviti perjudian di negara ini , kerana BN lah yang `menghalalkannya' bukan sahaja terdapat di Pulau Pinang tetapi juga di seluruh negara- dari yang sekecil-kecilnya hinggalah yang paling besar (kasino).

Dakwa mereka kalau kerajaan BN tidak luluskan lesen judi di seluruh negara, masakan judi boleh ada di mana-mana tempat di negara ini. Oleh itu, saya lihat isu ini jika dibangkitkan ia akan memberi sedikit lebihan kepada PR berbanding BN .

BN mesti bersedia dengan hujah yang lebih meyakinkan pengundi dari kalangan rakyat biasa. Ulama BN kenalah bersedia merongkaikannya secara mudah difahami masyarakat biasa dan pada masa sama jangan lupa bahawa ia bukan saja isu politik tetapi juga agama - syariat dan akidah- yang memerlukan langkah lebih berhati-hati   

Sabtu, 2 Oktober 2010

BN tak perlu panik pilih calon di Galas

Mungkin kerana ketokohannya ahli Parlimen Gua musang, Teng. Razaliegh Hamzah kabarnya dicadang untuk dipilih sebagai calon untuk mewakili BN dalam pilihan raya kecil DUN Galas yang kosong akibat penyandangnya dari parti Pas meninggal dunia baru-baru ini.Pada waktu yang sama juga pucuk pimpinan BN atau Umno berhasrat melantik beliau sebagai pengarah pilihan raya kecil itu. Begitulah agaknya `rezeki' Teng. Razaliegh . Galas terletak dalam kawasan parlimen Gua Musang. 

Namun ada baiknya jika beliau hanya dilantik sebagai pengarah PRK sahaja, dan bukan untuk menjadi calon. Mustahillah dalam parlimen Gua Musang tiada tokoh lain yang disukai ramai pengundi . Siapa sebenarnya tokoh atau sebaliknya dalam kawasan itu wajar sangat perkara ini diserahkan kepada TR untuk memilihnya.

Beliau sebagai Ketua bahagian Umno dan sekali gus sebagai wakli parlimen kawasan itu pasti tahu orangnya. Pilihlah seseorang yang ada pengaruh dan disukai ramai pengundi, kalau tidak nasib sama akan menimpa BN sepertimana berlaku pada beberapa PRK yang telah lalu selepas PRU ke 12, 2008 dulu. Kalau boleh buat tinjauan pendapat umum terlebih dahulu dan pastikan yang terbaik sahaja dipilih, barulah ada harapan menang. 

Cari jalan atasi kemalangan maut polis akibat kejar mat rempit

Seorang pegawai polis dilaporkan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ketika `mengejar' mat rempit di suatu kawasan di ibu kota kelmarin. Kejadian berlaku dikatakan kerana terlanggar dengan sebuah kenderaan yang keluar secara tiba-tiba di suatu simpang.

Cerita kemalangan pegawai polis atau anggotanya akibat mengejar mat rempit  atau sebagainya , malah sehingga membawa maut rasanya tidaklah boleh lagi dianggap sebagai kes terpencil, kerana sejak kebelakangan ini kejadian seumpama ini agak kerap berlaku. Kita pun turut bersimpati serta merasa sedih dengan kemalangan seperti itu, namun apa boleh buat.

Oleh itu , jika boleh , kita nak cadangkan kepada pihak berwajib agar mana-mana pegawai atau anggota polis nak kejar mat rempit atau seumpamanya gunakanlah kenderaan yang ada siren. Bunyikan siren agar pengguna jalan raya lain tahu bahawa di sana ada polis sedang bertugas dalam keadaan `kritikal' dan justeru mereka harus berwaspada dan memberi laluan sepenuhnya. Ini supaya alasan `tidak nampak', `tidak tahu' dan sebagainya tidak wujud lagi. Kerjasama seperti ini rasanya amat perlu.