Selasa, 26 Oktober 2010

Angka bukan tidak penting

Angka bukan tidak penting dalam kempen pilihan raya, tetapi sehingga kini di kebanyakan tempat di Malaysia kempen pilihan raya masih mementingkan kaedah mempergunakan emosi dalam membentuk nilai dan persepsi dan seterusnya sikap pengundi, terutama di kawasan-kawasan luar bandar.

Ini bererti sesiapa yang bijak memainkan atau mempergunakan emosi pengundi atau orang ramai nescaya mudah bagi partinya menawan hati dan perasaan pengundi , walaupun dari segi kebenaran hujahannya masih boleh diperdebatkan .

Mengenengahkan fakta dan angka semata-mata tanpa disertai dengan seni permainan emosi ia belum tentu mampu menawan hati dan perasaan pengundi untuk membina persepsi positif terhadap sesebuah parti yang bertanding itu.  

Oleh itu pada saya, mungkin sekalipun dicap sebagai `buta angka' , namun dalam hal ini saya masih yakin dengan pendirian bahawa emosi mengatasi angka dalam kempen pilihan raya. Justeru siapa bijak mempengaruhi emosi pengundi harapan untuk partinya memperoleh kemenangan adalah lebih cerah. 

Inilah senario tanggapan atau pendirian kebanyakan pengundi yang terdapat di Malaysia sejak merdeka hingga sekarang. Mulai hari ini kempen pilihan raya kecil sedang berlaku di dua tempat berasingan di Malaysia yang mana parti pemerintah pusat (BN) berhadapan dengan parti Pas di DUN Galas, Kelantan dan dua parti lain (PKR & SAPP) di Parlimen Batu Sapi, Sabah. Sama-samalah kita perhati dan nantikan.

Tiada ulasan: